KERDAU, 5 Mac – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sikap pembangkang yang cuba mewujudkan pergolakan politik seperti yang terjadi di beberapa negara Asia Barat adalah satu tindakan yang amat membahayakan keselamatan negara.
“Sememangnya telah menjadi trend pembangkang sekarang ini mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat provokasi terutamanya yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum-kaum di negara ini.
“Saya percaya dan yakin, trend seumpama ini bukan sahaja untuk menang pilihan raya malah lebih daripada itu. Tujuan mereka hanya satu iaitu ingin menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan pucuk pimpinan semata-mata ingin berkuasa.
“Mereka tidak kisah impak daripada perbuatan mereka boleh menyebabkan rakyat yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni menjadi kucar kacir. Sebab itu mereka sering memperbesarkan isu rasis dan interlok,” jelas Rosnah.
Ujarnya lagi, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pembangkang inilah, pergerakan haram Hindraf berani mengadakan tunjuk perasaan mencemarkan imej negara.
“Sebenarnya pembangkang hanya mahu mempergunakan hindraf demi kepentingan mereka. Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pergerakan haram ini, mereka mula memainkan isu kerajaan zalim.
“Zalimkah kerajaan sekiranya ingin melindungi negara dan rakyat dari gangguan anasir yang cuba diwujudkan oleh pembangkang. Kerajaan hanya mementingkan keselamatan rakyat,” katanya.
Katanya, ini jelas menunjukkan pembangkang ketandusan idea dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan keselamatan rakyat sekaligus negara semata-mata kepentingan diri sendiri.
“Telah terbukti, kerajaan BN yang mampu menjaga kepentingan dan membuat yang terbaik untuk rakyat sedangkan pembangkang hanya menyebabkan negara kucar kacir.
“Saya berharap, rakyat sedar akan agenda tersembunyi pembangkang. Mereka tidak pernah telus dan sentiasa menimbulkan masalah. Saya nasihatkan orang ramai agar jangan terlibat dengan agenda pembangkang yang mahu menimbulkan huru hara,” ujarnya kepada UMNO-Online.




































