Mujahid & Mujahidah Ansarullah

Archive for September 2008

Sebelum kita menyambut Syawal, marilah sama-sama kita berMuhasabah ..apakah ibadah kita diterima Allah

Hari Raya Hari Kemenangan
Hari Kesyukuran dilimpahi kemuliaan
Di lipatan seni mehnah Ilahi
Ada maksud murni yang lebih hakiki

Pada nafsu yang dilentur lapar dahaga
Pada fikiran di sinar wahyu dan sabda
Pada hati bersih di solat terawikh
Apakah semuanya telah dimiliki

Puasa mengajar erti ketabahan
Menghadap ujian berlandaskan iman
Puasa perisai yang sangat maknawi
Penyingkap hijab antara hamba dengan Ilahi

Puasa sempurna menahan rohani dan rasa
Puasa sederhana menahan indera dan juga anggota
Puasa biasa hanya melawan lapar dan dahaga
Lalu di manakah puasa kita
Adakah masih di tahap lama

Lalu muhasabah di hujung Ramadhan
Sudahkah terbangun jiwa teguh dan kukuh
Atau kolam jiwa masih tercemar keruh
Oleh sembilu dosa duri angkara

Ketika bertasbih, bertakbir, bertahmid
Terasakah kita hamba Ilahi
Yang hanya mampu mengukir tadbir
Sedangkan pada Nya segala takdir

Ramadhan semakin meninggalkan kita…sedih kerana amalan masih juga tidak berganda..

Dulu..semasa rumah kita sempit, kereta usang dan gaji kecil..kita mampu isikan Ramadhan dengan tadarus, i’tikaf dan qiamullail. Namun kini tatkala rumah makin luas, kereta mewah dan gaji besar, apakah Ramadhan tetap sama atau semakin baik?

Ya Allah..ampuni kami..kurniakan kami istiqamah dan lepaskan kami dari ikatan dunia ini..moga ku mampu mengharungi hari-hari terakhir Ramadhan dengan sebaik mungkin..amin

Ramadan bulan istimewa apabila setiap amalan dijanjikan ganjaran berlipat ganda

KEDATANGAN Ramadan memang ditunggu umat Islam dengan perasaan gembira. Namun, ada juga sebilangan kecil umat Islam yang berasa tidak selesa, gelisah dan ceria dengan kedatangan Ramadan kerana terpaksa menjalani ibadat puasa.

Bagi golongan kedua ini mereka berasakan satu beban berat kepada mereka dengan kehadiran Ramadan. Apa pun, suka atau tidak, Ramadan daripada perkiraan Islam cukup istimewa dan penuh dengan limpahan ganjaran pahala daripada Allah.

Ibadat puasa Ramadan dan puasa sunat pada bulan lain bertujuan melatih diri supaya menjadi orang yang murqarrabin (orang yang dekat dengan Allah). Puasa juga boleh menginsafkan diri bahawa kita ini adalah hamba Allah yang lemah di sisi-Nya.

Bagi orang berpuasa pada Ramadan dengan hati tulus ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah, akan diampuni Allah dosanya yang lalu.

Berpuasa itu juga adalah sebagai tanda kita syukur dan terima kasih kepada Allah yang tidak putus memberi rezeki-Nya serta nikmat (kesihatan, keselamatan, ketenangan dan banyak lagi) yang tidak terhingga kepada kita selama ini.

Sesungguhnya Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya jika dibandingkan dengan bulan lain dalam kalendar Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk perbezaan di antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa.” – (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain berpuasa melatih diri supaya bersifat sabar ketika berdepan dengan ujian, berpuasa juga menurut beberapa penyelidik ahli ilmu perubatan boleh menghindarkan penyakit dalam tubuh manusia. Demikian antara hikmah bagi orang yang berpuasa.

Menyentuh ibadat puasa ini, menurut Imam Al-Ghazali ada tiga tingkat puasa iaitu puasa umum, puasa istimewa dan puasa paling istimewa.

Puasa umum, ujar Imam al-Ghazali, ialah menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan anggota seks daripada memuaskan nafsu. Puasa istimewa pula ialah puasa yang dapat menghindar dan mengawasi pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan sebarang dosa.

Puasa paling istimewa, menurut Imam al-Ghazali, iaitu puasa yang ditambah lagi dengan puasa hati daripada semua keinginan yang rendah dan fikiran keduniaan. Inilah puasa yang paling tinggi darjatnya dan puasa semacam inilah yang dikehendaki Allah.

Beruntung orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa dalam erti kata sebenar-benarnya seperti puasa paling istimewa yang disebut Iman al-Ghazali.

Walau apa pun, ada dua kesenangan bagi orang yang mengerjakan puasa seperti diterangkan hadis Rasulullah SAW, iaitu kesenangan di kala berbuka dan kesenangan di kala bertemu dengan Allah di padang Mahsyar.

Oleh kerana Ramadan adalah bulan mulia, maka umat Islam diingatkan supaya sentiasa menjaga kemuliaannya dengan tidak melakukan perbuatan atau pun tingkah-laku yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan itu.

Mencemarkan kemuliaan Ramadan bukan saja dengan melakukan makan minum di tempat terdedah kepada mata orang ramai di waktu siang, bahkan tidak bersolat, bercakap bohong serta mengumpat dan mengata orang juga boleh dikira mencemarkan bulan Ramadan. Sewajarnya sifat negatif itu tidak dilakukan dalam bulan Ramadan dan bulan lain juga.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah mengeluarkan perkataan yang kotor dan jangan bertengkar. Jika kamu dicaci orang atau pun diajak berlawan, maka katakanlah sesungguhnya aku berpuasa.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Musim)

Puasa Ramadan adalah perintah Allah. Orang yang berjaya menyempurnakan perintah Allah ini dan sekali gus berjaya melawan ujian serta godaan hawa nafsu dihadapkan kepadanya, maka sesungguhnya mereka adalah orang yang beroleh kemenangan besar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa.” – (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sama-samalah kita ikhlaskan niat dalam beribadah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah…Wallhua’lam


Top Clicks

  • None

Jumlah Pengunjung

  • 234,901 kunjungan

RSS Saifulislam.Com

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.

RSS Dr. Hasanah

  • An error has occurred; the feed is probably down. Try again later.
Design a site like this with WordPress.com
Get started