Emel aku kepada adik aku. Dia jatuh semangat kerana dia merasakan dia tidak mampu untuk mengikuti pengajian di matrikulasi dan dia mengambil keputusan untuk berhenti. Aku rakamkan di blog ini emel ini sebagai kenangan motivasi buatku dan pembaca.
Assalamualaikum.
Perkara pertama yang harus ditetapkan ialah niat dan matlamat yang ingin dicapai dalam hidup kita yang singkat ini.
Masalah kamu ini, orang dah jumpa ramai dah. Orang di dalam lingkungan manusia yang kebanyakannya masalahnya macam kamu.
Ada yang buat keputusan yang betul dan ada yang buat keputusan yang silap. Keputusan betul atau silap bukan dalam kekuasaan kita. Allah yang menentukan.
Firman Allah SWT: “…Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Al-Baqarah: 217
Pada pandangan orang, kamu masih berada di peringkat awal. Ketakutan yang kamu hadapi ialah tanda-tanda bahawa kamu tidak yakin dan tidak berani untuk mencuba. Kamu juga takut untuk menghadapi kegagalan dan sedang berputus asa.
Memang setiap daripada kita punya minat masing-masing. Namun begitu, tidak semua perkara dalam hidup ini mampu kita capai. Dugaan dan rintangan, kesusahan dan kepayahan, itu semua lumrah hidup.
Segala yang kamu hadapi ini, kamu harus anggapnya sebagai rencah kehidupan. Positif dalam mendepaninya akan membantu kamu menghadapinya dengan tenang.
Kalau kamu buat keputusan untuk keluar matriks, barangkali itu yang terbaik. Tetapi, cuba bayangkan kalau kamu tak boleh juga bawa di UiTM nanti, adakah kamu nak melakukan perkara yang sama, berhenti dan masuk kursus lain?Perkara ini umpama kitaran yang akan berulang-ulang. Perjalanan yang ditempuhi harus ditamatkan. Kita nilai dan muhasabah semula perjalanan yang dilalui, periksa mana-mana kesilapan untuk dibetulkan.
Apakah kegagalan pada fahaman kamu? Adakah gagal peperiksaan itu kegagalan? Bukankah anggapan gagal peperiksaan itu adalah suatu persepsi yang dicipta manusia?
Bagaimana kalau kita cipta persepsi sendiri? Kegagalan itu ialah tangga kejayaan. Orang suka kenangkan kisah Thomas Edison yang gagal banyak kali dalam usahanya mencipta mentol.
Dia ada sebut “Many of life’s failures are people who did not realize how close they were to success when they gave up”.
Maksudnya, “Kebanyakan kegagalan dalam kehidupan ini ialah apabila seseorang itu tidak menyedari betapa hampirnya dia kepada kejayaan ketika dia berputus asa”.
Bilakah kejayaannya? Kita tidak tahu. Kita kena berani untuk menghadapi berjuta-juta kegagalan dalam hidup untuk memperoleh satu kejayaan.
Adakah kamu punya impian? Adakah kehidupan kamu sekarang tidak menuju kepada impian?
Orang pun punya impian. Kehidupan orang sekarang sangat jauh daripada impian itu. Namun, orang tanam dalam diri, orang harus capai impian itu. Bagaimana?
Orang anggap kehidupan orang sekarang ini bagaikan penjara. Impian orang berada di luar penjara. Perlukah orang lari dari penjara ini? Atau duduk di penjara sampai habis tempoh?
Orang ambil keputusan untuk terus duduk di penjara ini sampai habis tempohnya. Cuma, berbaloikah untuk orang merintih, meratap dan mengeluh apabila berada di dalam penjara ini?
Tidak. Orang harus menikmati kehidupan di dalam penjara ini. Enjoy. Memanfaatkan kehidupan di sini. Menyediakan diri untuk mencapai impian. Apabila sampai masanya, orang akan mengejar impian orang.
Segala yang kita lalui sekarang, akan jadi sejarah pada masa hadapan nanti. Semuanya akan dikenang semula sebagai suatu pengalaman yang berharga. Hiasi kehidupan kini untuk mencipta kenangan yang indah nanti.
Cadangan orang, kamu tetap di matriks, sampai tempohnya denganusaha yang tanpa jemu dan sentiasa positif. Hayati kehidupan kini, apabila tamatmatriks, dengan apa-apa pun keputusan, teruskan kehidupan untuk mengejar impian dan kejayaan.


