09 Februari 2013

Nahnu musytaqun jiddan 'alaika, ya Habibuna Rasulullah S.A.W!



Adakah cukup untuk kita mengatakan "Kami cinta & rindu Rasulullah S.A.W"?! Sedangkan kita sedang asyik dalam keenakan dunia tanpa meluahkan rasa cinta dan rindu itu! Andai mukjizatnya setinggi martabatnya, sebutkan sahaja namanya! Pasti bisa menghidupkan tulang yang lata. Tiada keharuman melebihi tanah buana yang menguburi jasad Baginda junjungan mulia. Bertuah sungguh bagi insan yang pernah mengucup tanah kubur Baginda.

Adakah kita terlebih hina dari pokok kurma? Pohon-pohon pun tahu untuk datang berjalan kepadanya dengan sujud dan sopan menyahut seruannya. Pohon datang menghadap pada Baginda dengan berjalannya batang tanpa akarnya. Dahan rantingnya bagai menggoreskan tulisan indah bagai lukisan kerinduan. Subhanallah! Barangsiapa yang ditolongmu Rasulullah walau diserang singa, singa pun akan tunduk padanya.


Semoga Allah menjadikan kita semua dalam kalangan orang yang memuliakannya dan mengetahui kadar kedudukan Baginda S.A.W, serta kita menjadi orang yang teristimewa dalam kalangan orang-orang yang teristimewa dalam mencintai dan mengikuti Sunnah Baginda. Allahumma Ameen! Wahai Tuhan sekalian alam! Semoga Allah melimpahkan rahmat atas penghulu kami, Nabi Muhammad S.A.W, Ahl al-Baitnya dan sahabat-sahabatnya dan kumpulan yang menghidupkan Sunnah Baginda sehingga penghujung Hari Kemudian. Wallahu 'alam!


Pada bulan Rabi’ul Awal, telah kita dapati bahawa terdapat dua golongan yang mana di antara dua golongan ini ada yang bersetuju mengadakan majlis MaulidurRasul, manakala di sebelah pihak pula adalah yang menentang untuk diadakan majlis maulid sehingga mereka berani menuduh kepada golongan yang mengadakan majlis ini dihukumkan telah melakukan bid'ah. Namun demikian, banyak dalil-dalil yang menyokong perayaan sambutan majlis maulid. Di antaranya seperti mana yang tersebut di dalam kitab karangan Sheikh Ibnu Hajar al-Haitami iaitu:

1) Abu Bakar as-Siddiq.
“Barangsiapa yang menafkahkan satu dirham bagi menggalakkan bacaan Maulid Nabi S.A.W, maka ia akan menjadi temanku di dalam Syurga.”

2) Umar bin Khattab al-Furqan.
“Siapa yang memuliakan majlis maulid Nabi S.A.W, maka sesungguhnya ia telah menghidupkan Islam.”

3) Uthman bin 'Affan Dzun-Nuraini.
“Siapa yang menafkahkan satu dirham untuk majlis membaca maulid Nabi S.A.W, maka seolah-olah ia menyaksikan peperangan Badar dan Hunain.”

4) Ali bin Abi Tolib Karomallahu wajhah.
“Siapa yang membesarkan majlis maulid Nabi saw, dan karananya diadakan majlis membaca maulid, maka dia tidak akan keluar dari dunia melainkan dengan keimanan dan akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab.”

5) Syeikh Hasan al-Basri.
“Aku suka seandainya aku mempunyai emas setinggi gunung Uhud, maka aku akan membelanjakannya untuk membaca maulid Nabi S.A.W.”

6) Syeikh Junaid al-Baghdadi.
“Siapa yang menghadiri majlis maulid Nabi S.A.W, dan membesarkan kedudukannya, maka sesungguhnya ia telah mencapai kekuatan iman.”

7) Syeikh Ma'ruf al-Karkhi.
“Siapa yang menyediakan makanan untuk majlis membaca maulid Nabi S.A.W, mengumpulkan saudaranya, menyalakan lampu, memakai pakaian yang baru, memasang bau yang wangi dan memakai wangi-wangian kerana membesarkan kelahiran Nabi S.A.W, nescaya Allah akan mengumpulkannya pada hari Qiamat bersama kumpulan yang pertama dalam kalangan nabi-nabi dan dia berada di Syurga yang teratas iaitu Syurga Illiyyin.”

8) Fakhruddin ar-Rozi.
“Tidaklah seseorang yang membaca maulid Nabi S.A.W ke atas garam, gandum atau makanan-makanan, kecuali akan zahir keberkatan padanya. Dan setiap sesuatu yang sampai masuk kepadanya daripada makanan tersebut, maka makanan itu akan bergoncang dan tidak akan tetap sehingga Allah mengampunkan orang yang memakannya.”

“Sekirannya dibacakan maulid Nabi S.A.W ke atas air, maka orang yang meminum seteguk dari air tersebut akan masuk ke dalam hatinya seribu cahaya dan rahmat dan akan keluar daripadanya seribu sifat dengki, penyakit dan tidak mati hati tersebut pada hari dimatikan hati-hati.”

“Siapa yang membaca maulid Nabi S.A.W pada suatu dirham yang ditempa dengan perak atau emas dan dicampurkan dirham tersebut dengan yang lainnya, maka akan jatuh ke atas dirham tersebut keberkatan. Pemiliknya juga tidak akan fakir dan tidak akan kosong tangannya dengan keberkatan Nabi S.A.W.”

9) Imam as-Syafi’ie.
“Siapa yang menghimpunkan saudaranya sesama Islam untuk mengadakan majlis maulid Nabi S.A.W, menyediakan makanan dan tempat serta melakukan kebaikan, dan dia menjadi sebab dibaca maulid Nabi S.A.W itu, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari Qiamat bersama para siddiqin, para syuhada’ dan para solihin serta berada di dalam Syurga Na’im.”

10) As-Sariy as-Saqothi.
“Sesiapa yang menuju ke suatu tempat yang dibacakan di dalamnya maulid Nabi S.A.W, maka sesungguhnya ia telah pergi ke satu taman dari taman-taman syurga. Tidaklah ia menuju ke tempat-tempat tersebut melainkan lantaran kerana cintanya kepada Nabi S.A.W. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Sesiapa yang mecintaiku, maka ia akan bersamaku di dalam Syurga kelak.”

“Sesiapa yang hendak membesarkan maulid Nabi S.A.W, maka cukuplah disebutkan sekadar ini sahaja kelebihannya. Bagi siapa yang tiada dalam hatinya hasrat untuk membesarkan maulid Nabi S.A.W, sekiranya dipenuhi dunia ini dengan pujian ke atasnya, tetap juga hatinya tidak akan tergerak untuk mencintai Nabi S.A.W.”

(Sumber dipetik dari Kitab Anni'matul Kubra 'ala al-'Alam fi Maulid Sayyidi wa Ladi Adam, karya Imam Syihabuddin Ahmad ibnu Hajar al-Haitami as-Syafi’ie)

16 November 2012

Bersama Imam al-Ghazali

Hari itu, aku berjumpa Imam al-Ghazali. Janggutnya panjang. Renungan matanya tajam. Badannya kurus. Pipinya cengkung. Kelibatnya agung sekali. Orang yang khalis. Matanya tajam penuh bercahaya dek menjaga daripada melihat perkara yang mungkar. Alangkah jauhnya jika dibandingkan dengan aku. Badannya yang kurus dan pipinya yang cengkung tanda seseorang yang suka berpuasa dan mendambakan diri sepenuhnya kepada dunia keilmuan. Siapa tidak mengenali beliau. Tulisannya merata di dunia ini.

“Semua orang mengenali tuan. Tulisan tuan yang sudah lama, namun masih relevan dan masih ditatap sehingga sekarang. Kata-kata tuan sungguh berisi dan bermakna. Apa rahsianya?” Aku bertanya sekadar inginkan kepastian. Beliau kulihat menundukkan kepala, beristighfar seketika, tanda merendahkan diri dan tawadhu’, seorang 'alim yang wara’.

'Alim itu tanda orang yang menguasai ilmu dalam kepala dan ingatannya. Faqih itu tanda orang hikmah yan memahami secara isi dalam, bukan sahaja kulit luar. Wara’ itu tanda orang yang menjauhi perkara syubhat, apa lagi perkara haram. Zuhud itu tanda orang yang memalingkan keinginannya daripada keduniaan yang mencengkam. Tawadhu’ itu tanda orang yang sentiasa menyedari bahawa dirinya hanyalah dari setitis air mani yang hina, tidak lebih dari itu. 'Abid itu tanda orang yang selera dan ghairah beribadat serta sentiasa tenggelam dalam kerinduan bercinta dengan Tuhan Yang Maha Pengasih. Mukhlis itu tanda orang yang mengejar akhirat sehingga terlupa dunia. Semua itu ada pada Imam al-Ghazali, yang membuatkan seluruh dunia jatuh segan dengan peribadi beliau.

“Aku mengenali Allah sebagai Tuhanku, lalu aku mengembara dalam mencari rahsia hidup yang sebenar. Sehingga aku mengerti bahawa dunia ini hanyalah fatamorgana,” Balasnya sedikit sedangkan air matanya kelihatan mengalir membasahi pipinya. Alangkah, apakah aku mengenali Allah?! Persoalan itu kian membuatkan nafas aku termengah-mengah. Aku terduduk. Apakah aku mengenali Allah sebagaimana al-Ghazali mengenali zat-Nya yang Maha Quddus?! Apakah aku hanya mengenali Allah sebagai pemberi pahala dan dosa, bukannya Tuhan yang harus kucinta? Apakah aku hanya mengenali Allah sebagai Tuhan yang memiliki Syurga dan Neraka sedangkan aku terlupa Allah sebagai Tuhan yang harus kurindu sepanjang masa? “Dan barangsiapa mengharapkan pertemuan yang baik dengan Tuhannya kelak, maka hendaklah ia beramal soleh dan jangan ia mensyirikkan-Nya dengan segala sesuatu”

“Apakah tanda orang yang tawadhu’ itu tuan?” aku bertanya lagi ingin mendapatkan kepastian. “Wahai anakku, tidakkah engkau memerhatikan kalam hikmah Ibn ‘Ataillah as-Sekandary? Tanamlah kewujudan dirimu dalam bumi yang terpencil. Maka sesungguhnya, sesuatu yang tidak ditanam, maka tidak sempurna natijahnya”, kata-kata al-Ghazali sekali lagi membuatkan aku terkedu. Menanam kewujudan diri agar tidak gila mencari kemasyhuran, tidak gila ingin mendapat harta dan pangkat, tidak gila namanya disebut-sebut. Ya, barangsiapa mengejar dunia, dunia akan mendatanginya sedangkan akhirat menjauhkan diri. Barangsiapa mengejar akhirat, maka akhirat dan dunia, kedua-duanya akan berlari mendapatkannya.

“Bagaimana pula dengan orang yang khauf?”. al-Ghazali sekali lagi menundukkan kepala, lalu ia menangis teresak-esak. Tangisannya semakin lama semakin membingit. Semakin banyak air mata yang tumpah dan bahunya terangkat-angkat menahan sebak. Aku panik dibuatnya. Inilah realiti orang yang soleh. Sentiasa takut dengan janji-janji azab dari Allah. Mereka mengerti Allah Maha Pengampun, tetapi mereka juga sangat memahami bahawa seksaan Tuhan amatlah perit tidak tertanggung.

“Anakku, Ibn Mas’ud menyebut, orang mukmin melihat dirinya yang berdosa seperti ia berada di bawah bukit seolah-seolah takut bukit itu akan menimpa dirinya. Sedangkan orang munafiq melihat dosanya seperti lalat yang singgah di hidung”. Aku tergamam mendengarnya. Aku semakin takut kerana aku menyedari dosaku sangat bertimbun banyaknya. Dosaku jika dibandingkan dengan al-Ghazali ibarat lautan dengan setetes air. Neraka itu semakin menghampiriku, sedangkan bau Syurga semakin menipis.

Imam al-Ghazali itu benar-benar orang yang berilmu dan bijaksana, alim serta soleh. Ia tidak perlu berbicara untuk mendidik orang. Cukuplah peribadinya mendidik dan mengasuh orang agar tunduk kepada ajaran agama. Nurul Ilmi, cahaya ilmu itu perlu kepada ‘Ainul Yaqin, iaitu keyakinan yang turut berpaksikan ‘Ainul Basirah. Apabila ‘Ainul Basirah diasah dari semasa ke semasa, takhalli daripada perbuatan yang menjauhkan diri daripada Allah, takhalli dengan amal mahmudah disusuli dengan tajalli, maka akan lahirlah Haqqul Yaqin ataupun ‘Ainul Haqqi.

Allah berkata, “Hai Daud, kenalilah Aku dan kenal pulalah dirimu”. Maka Daud bermunajat, kata baginda, “Wahai Tuhanku, aku kenal Engkau dengan sifat keesaan-Mu, kekuatan yang Maha Agung dan hidup yang kekal terus-menerus yang tidak ada batasnya, dan aku kenal diriku dengan kedhaifanku, kelemahanku dan tidak kekal”. Seseorang bertanyakan Abu Bakar, “Dengan apa engkau mengenali Tuhanmu?”. Abu Bakar menjawab, “Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku, dan jika bukan kerana Tuhan, nescaya aku tidak mengenali Tuhanku”.

Yang hanya meletakkan Allah di hati namanya fana’. Allah berfirman di dalam Surah Ar-Rahman, “Segala sesuatu akan binasa. Dan kekallah Tuhan yang memiliki ketinggian dan kemuliaan”. Rintih munajat mendendangkan, Hasbi Rabbi jallaLlah, ma fi qalbi ghairuLlah. Yang membulatkan ingatan dan perasaan kepada Allah namanya Baqa’. Yang mabuk dalam cinta kepada Allah namanya Sakr. Apakah engkau tidak memerhatikan seseorang yang mabuk bercinta dengan kekasihnya, tidurnya tidak tenang dan perilakunya gelisah. Apabila mendengar sesuatu yang buruk menimpa kekasihnya, ia akan menjadi sangat resah?

Itu baru percintaan dengan makhluk. Sedangkan Imam al-Ghazali tenggelam dalam percintaannya dengan Khaliq yang kaya dengan erti cinta. Ia sering dikejar rasa resah kerana teringatkan dosanya yang senipis debu sedangkan kita tidak tergugah langsung dengan dosa kita yang membukit. Al-Ghazali sering diburu rasa rindu dengan Syurga Allah sehingga membuatkannya tidak tenang jika masanya tidak terisi dengan amal ibadat dan zikir yang berpanjangan. 

Syair ada menyebut, dan aku dapat merasakan syair itu ada kaitan yang sangat erat dengan peribadi dan akhlak al-Ghazali, “Aku tidak ingin pakai baju selain Engkau memakaikan kepadaku dan aku tidak menerima dunia jika selain Engkau yang memberikannya”.

Kisah Rabiah al-Adawiyyah (3)


Suatu hari Rabi'atul Adawiyyah pergi menemui Hassan Al-Basri. Beliau sedang menangis teresak-esak kerana lupa kepada Allah. Hebatnya tangisan beliau itu sehingga air mata mengalir di longkang rumahnya. Melihat perkara itu, Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Janganlah tunjukkan perasaan sedemikian ini supaya batinmu penuh dengan cinta Allah dan hatimu tenggelam dalamnya dan kamu tidak akan mendapati di mana tempatnya." 

Dengan penuh keinginan untuk mendapatkan kemasyhuran, suatu hari Hassan al-Basri yang sedang melihat Rabi'atul Adawiyyah dalam satu perhimpunan aulia' Allah terus menuju bertemu Rabi'atul Adawiyyah dan berkata, "Marilah kita meninggalkan perhimpunan ini dan marilah kita duduk di atas air tasik sana serta berbincang hal-hal keruhanian." Beliau berkata dengan niat mahu menunjukkan keramatnya kepada orang lain bahawa dia dapat menguasai air seperti Nabi Isa a.s. boleh berjalan di atas air. Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Hassan, buangkanlah perkara yang sia-sia itu. Jika kamu mahu benar memisahkan diri dari perhimpunan Aulia' Allah, maka kenapa kita tidak terbang sahaja dan berbincang di udara?" Rabi'atul Adawiyyah berkata begini kerana beliau mempunyai kuasa berbuat demikian tetapi Hassan al-Basri tidak mempunyai kuasa seperti itu. Hassan al-Basri meminta maaf. Rabi'atul Adawiyyah berkata, "Ketahuilah bahawa apa yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan jika aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara yang luarbiasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan-santun terhadap Allah.

Seorang hamba Allah bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah tentang perkara perkahwinan. Beliau menjawab, "Orang yang berkahwin itu ialah orang yang ada dirinya. Tetapi aku bukan menguasai badan dan nyawaku sendiri. Aku ini kepunyaan Tuhanku. Pintalah kepada Allah jika mahu mengahwiniku."

Hassan al-Basri bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, "Bagaimanakah beliau mencapai taraf kerohanian yang tinggi itu." Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Aku hilang (fana) dalam mengenang Allah." Beliau ditanya, "Dari mana kamu datang?" Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Aku datang daripada Allah dan kembali kepada Allah." Rabi'atul Adawiyyah pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. dan baginda bertanya kepadanya sama ada beliau pernah mengingatnya sebagai sahabat. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Siapa yang tidak kenal kepada tuan? Tetapi apakan dayaku. Cinta kepada Allah telah memenuhi seluruhku, hinggakan tidak ada ruang untuk cinta kepadamu atau benci kepada syaitan."

Seseorang bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, "Adakah kamu melihat Tuhan yang kamu sembah itu? Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Jika aku tidak melihat Dia, aku tidak akan menyembah-Nya." Rabi'atul Adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Seseorang bertanya kepadanya mengapa beliau menangis. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Aku takut berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafas terakhir. "Jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di majlisKu."

Allah suka kepada hamba-Nya yang bersyukur apabila ia berusaha sepertimana ia bersyukur tatkala menerima kurnia-Nya iaitu ia menyedari yang ia tidak sanggup berusaha untuk Allah tanpa pertolongan dan kurniaan Allah. Seseorang bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, "Adakah Allah menerima taubat orang yang membuat dosa?" Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Itu hanya apabila Allah mengurniakan kuasa-Nya kepada pembuat dosa itu yang ia digesa untuk mengakui dosanya dan ingin bertaubat. Hanya dengan itu Allah akan menerima taubatnya kerana dosa yang telah dilakukannya."

Salih Al-Qazwini selalu mengajar muridnya, "Siapa yang selalu mengetuk pintu rumah seseorang, akhirnya suatu hari nanti pintu itu pasti akan dibuka untuknya." Suatu hari Rabi'atul Adawiyyah mendengar beliau bercakap demikian. Rabi'atul Adawiyyah pun berkata kepada Salih, "Berapa lama kamu hendak berkata demikian menggunakan perkataan untuk masa depan iaitu "akan dibuka"? Adakah pintu itu pernah ditutup? Pintu itu sebenarnya sentiasa terbuka." Salih mengakui kebenarannya itu.

Seorang hamba Allah berteriak, "Aduh, sakitnya!" Rabi'atul Adawiyyah bertemu dengan orang itu dan berkata, "Oh! bukannya sakit." Orang itu bertanya kenapa beliau berkata begitu. Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Kerana sakit itu adalah satu nikmat bagi orang yang sangat mulia di sisi Allah. Mereka merasa seronok menanggung sakit itu." Suatu hari, Rabi'atul Adawiyyah sedang melihat orang yang sedang berjalan dengan kepalanya berbalut. Beliau bertanya, mengapa kepalanya dibalut. Orang itu menjawab mengatakan ia sakit kepala. Rabi'atul Adawiyyah bertanya, "Berapa umurmu?" Jawab orang itu, "Tiga puluh." Rabi'atul Adawiyyah bertanya lagi, "Hingga hari ini begaimana keadaanmu?" Kata orang itu, "Sihat-sihat sahaja." Rabi'atul Adawiyyah pula berkata, "Selama tiga puluh tahun Allah menyihatkan kamu, tetapi kamu tidak mengibarkan bendera pada badanmu untuk menunjukkan kesyukuran kepada Allah, dan agar manusia bertanya kenapa kamu gembira sekali dan setelah mengetahui kurniaan Tuhan kepadamu, mereka akan memuji Allah. Sebaliknya kamu, setelah mendapat sakit sedikit, membalut kepalamu dan pergi ke sana ke mari menunjukkan sakitmu dan kekasaran Tuhan terhadapmu. Mengapa kamu berlaku sehina itu!"

Suatu hari khadamnya berkata, "Puan, keluarlah dan mari kita melihat keindahan kejadian Tuhan di musim bunga ini." Rabi'atul Adawiyyah menjawab, "Duduklah dalam rumah seperti aku berseorangan dan melihat yang menjadikan. Aku lihat Dia dan bukan kejadian-Nya."

Suatu hari, orang bertanya kepada Rabi'atul Adawiyyah, kenapa beliau tidak menyimpan pisau dalam rumahnya. Beliau menjawab, "Memotong itu adalah kerja pisau. Aku takut pisau itu akan memotong pertalian aku dengan Allah yang kucintai." Suatu masa, Rabi'atul Adawiyyah berpuasa selama lapan hari. Pada hari terakhir, beliau merasa lapar sedikit. Datang seorang hamba Allah membawa minuman yang manis dalam sebuah cawan. Rabi'atul Adawiyyah mengambil minuman itu dan meletakkannya di atas lantai di suatu penjuru rumahnya itu. Beliau pun memasang lampu. Datang seekor kucing lalu menumpahkan minuman ke dalam cawan itu. Melihat itu, terfikirlah Rabi'atul Adawiyyah mahu meminum air sahaja malam itu. Tatkala ia mahu mencari bekas air (tempayan), lampu pun terpadam. Bekas air itu jatuh dan pecah airnya bertaburan di atas lantai. Rabi'atul Adawiyyah pun mengeluh sambil berkata, "Tuhanku! Mengapa Kau lakukan begini kepadaku?"

Terdengar suara berkata, "Rabi'atul Adawiyyah, jika kamu mahukan kurnia dunia, Aku boleh berikan kepadamu, tetapi akan menarik balik darimu siksaan dan kesakitan yang Aku beri kepadamu. Kurnia dunia dan siksaan Aku tidak boleh duduk bersama-sama dalam satu hati. Rabi'atul Adawiyyah, kamu mahukan satu perkara dan Aku mahukan satu perkara lain. Dua kehendak yang berlainan tidak boleh duduk bersama dalam satu hati." Dengan serta-merta beliau pun membuangkan kehendak kepada keperluan hidup ini, keadaannya seperti orang yang telah tidak berkehendakkan lagi perkara-perkara dunia ini ketika nyawa hendak bercerai dengan badan.

.....................
(bersambung)

31 Oktober 2012

Iftah qolbi!

Duhai diriku,
renungkanlah apa yang suara hati ini mahu luahkan..

Sedarkah betapa ALLAH menyayangi diri ini?
Pernahkah terfikir betapa kasihnya ALLAH kepada diri ini?

Andai hati benar-benar mencintai ALLAH,

Qiam kah aku kerap di sepertiga malam?
Dhuha kah aku pada setiap pagi?
Adakah aku mentadabbur 'surat' cinta-NYA pada setiap hari?
Basahkah lidahku dengan kalimah-kalimah zikir setiap detik waktu?
Insafkah aku pada dosa-dosa dahulu dan kini?
Sudah lupakah nikmat-nikmat ALLAH yang tidak terhitung banyaknya selama ini?
ASTAGHFIRULLAH!

Wahai diriku yang dengan izin-NYA sungguh-sungguh berada dalam jagaan dan pemeliharaan ALLAH,
Terduduk merenung nasib diri.. Masihkah ada lagi sinar harapan itu?
"BUKAKANLAH PINTU HATIMU ITU! IZINKANLAH NURULLAH MENERANGI SEGENAP RUANG QALBU ITU! KEMBALIKAN SEMULA SINAR DALAM JIWAMU ITU MENJADI BENAR-BENAR 'CAHAYA DI ATAS CAHAYA' YANG SELAMA INI KAU IMPIKAN. DI MANAKAH PERGINYA GELARAN MUJAHIDAH SUFI HARAKI YANG TELAH PERNAH KAU PERTAHANKAN SUATU KETIKA DAHULU?! AYUH! BUKTIKAN KEMAMPUANMU YANG BISA MENCIPTA GELOMBANG SEJARAH LUAR BIASA! DEMI AN-NAFS YANG MASIH BERADA DALAM GENGGAMAN TUHAN, BANGKITLAH!!!"

Salam ikatan robitah minni,
~Nurun 'ala Nur~

Multaqa' Sufi

Hari itu, aku mengikuti perhimpunan sufi yang diadakan di Hadhramaut, Tareem, Yaman. Ada ahli sufi yang datang terbang, ada yang berjalan di atas air, ada yang tiba-tiba di hadapan mata, ada yang naik kereta, tidak kurang juga yang naik kapal terbang, malah ada yang naik helikopter peribadi. Watak dan karakter mereka semuanya berbeza. Masih ada yang mengenakan pakaian bulu yang kasar, ada yang memakai jubah dan serban yang besar, berkopiah tajam, ada yang berjanggut panjang dan lebat, malah ada juga yang berkot dan memakai tali leher.

Hari itu sangat menyeronokkan. Ma’ruf al-Karkhi turut hadir membentangkan kertas kerja berkaitan konsep Dzuq dan Fana’. Siapa yang tidak gembira apabila dapat bertemu dengan seorang ahli sufi sesoleh beliau. Rabi’ah al-Adawiyah turut membentangkan kertas kerja berkaitan ke arah membentuk golongan sufi wanita dalam memartabatkan maruah wanita yang kian tercemar. Beliau bukan sahaja akan mengupas soal keruntuhan tamadun terdahulu apabila meminggirkan wanita, malah beliau akan mengemukakan hasil kajian dan analisis terbaru beliau terhadap emansipasi wanita di negara-negara Eropah. Ia pastinya sangat menarik.

Aku juga menantikan pembentangan daripada al-Ghazali berkaitan menghidupkan hati yang sudah lama kekeringan dengan rasa takut dan cintakan Allah. Masing-masing daripada kalangan mereka semuanya membentangkan kertas kerja bersesuaian dengan kekuatan masing-masing. Rasanya aku kerdil sekali. Apatah lagi melihat Abu Yazid al-Bustami dan Tok Kenali yang tidak memakai selipar kerana tenggelam dalam keasyikan cinta kepada Allah, aku menjadi semakin kerdil. Wajah Zun Nun al-Misri sangat bersih dan bercahaya membuatkan aku jatuh cinta menatap wajahnya. Ya, hasil simbahan iman kepada Allah, ruku’ dan sujud yang tidak henti-henti.

Sang pujangga tersohor, Abdullah bin al-Mubarak juga datang bersama sahabat akrabnya, Fudhail bin ‘Iyad. Aku juga sangat seronok melihat Hassan al-Banna dan Umar al-Telmisani juga datang dalam perbincangan kali ini. Ternyata perhimpunan dan multaqa’ sufi kali ini dihadiri oleh orang-orang yang hebat dari seluruh dunia. Malah paling menggembirakan aku apabila bertemu dengan moyang aku sendiri, Tok Pulai Chondong. Beliau yang terkenal dengan kependekaran itu sangat tegap badannya. Aku memeluknya erat seraya mencium tangan dan pipinya berkali-kali. Dia memeluk aku semacam aku anak kecil yang rindukan belaiannya. “Tok, saya rindukan atuk,” luah aku keanak-anakan.

Aku sangat tertarik mendengar penghuraian konsep mahabbatullah yang disebut oleh guru sufi, Junaid al-Baghdadi. Hassan al-Basri yang sentiasa berwajah pucat kerana takutkan Allah menangis tidak henti-henti. Air mata mengalir dari semua kolam mata mereka. Aku lihat dengan jelas sekali garisan putih di bawah pipi Ibrahim al-Nakhaei kerana terlalu banyak menangis dek takut dan rindukan Allah.

“Hamba yang cinta kepada Allah adalah hamba yang menyahkan hawa nafsunya, tidak putus-putus berzikir kepada Tuhannya, mendirikan hak-hak Allah, melihat Allah dengan mata hati. Sekiranya ia berbicara, ia berbicara dengan Tuhannya. Sekiranya ia bercakap, ia bercakap tentang Allah. Sekiranya ia bergerak, ia bergerak atas perintah daripada Allah dan sekiranya ia senyap, ia bersama-sama Allah. Ia di sisi Allah, untuk Allah, dan bersama Allah,” kupas al-Baghdadi sambil menundukkan mukanya dan menangis teresak-esak. Aku turut sebak bila mengingatkan diriku yang jauh daripada Allah. Seketika, suasana bising dengan bunyi esakan. Al-Baghdadi berhenti daripada berbicara. Beliau kelihatan sungguh-sungguh menangis.

Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…
 
Abdullah bin al-Mubarak juga membentangkan kertas kerja 'Peranan Sufi dalam Membebaskan Dunia Islam daripada Cengkaman Barat'. Beliau yang terkenal dengan syair terhadap Fudhail bin ‘Iyad menggariskan beberapa perkara penting yang harus diperkasakan. Antaranya menanamkan semula semangat jihad dalam kalangan umat Islam. Beliau turut memberikan pujian sekadarnya kepada Hassan al-Banna yang berjaya menubuhkan gerakan Islam yang berjaya menggerunkan pihak Barat dan Yahudi. Dalam sesi soal jawab, Sheikh Ahmad Deedat memperingatkan akan peri pentingnya ahli audi memahami skill berdakwah dalam menarik golongan yang anti-Islam termasuklah golongan Liberalis dan Orientalis.

Dalam pertemuan itu, aku mengambil kesempatan bertemu dengan sufi wanita Rabi’ah al-Adawiyah. Ketika itu beliau sedang berbincang dengan Malik bin Dinar berkenaan dengan ajaran sufi yang semakin disesatkan dengan pemikiran yang dangkal. Malik bin Anas mencelah di tengah-tengah dengan menyebut, "Barangsiapa yang mempelajari syariah tetapi tidak belajar hakikat, maka ia fasiq. Barangsiapa yang sebaliknya adalah zindiq". Aku meminta Rabi’ah, masa hanya lima minit untuk bertanyakan pandangannya tentang mahabbatullah.

Ringkas sahaja beliau menjawab. “Beramallah kerana Allah, bukan kerana Syurga dan Neraka. Wahai anakku, jika engkau melihat aku sedang berbicara dengan engkau sekarang, maka ketahuilah bahawa hati sedang gering dalam merindui Allah, sang Pencipta. Hanya jasadku berbicara denganmu, sedangkan hati aku melayang ke langit sana sedang bertemu sang Kekasih.” Aku terkesima mendengar nasihatnya yang cukup tajam.

Ibn ‘Ataillah juga diberi penghormatan untuk mendiskusikan karyanya, al-Hikam. Aku sangat terkesan apabila beliau menyebut, "Kita bersyukur kepada Allah kerana telah melindungi aib kita daripada diketahui orang ramai. Jika Allah tidak menutup aib kita, pasti orang tidak akan hormat dengan kita. Maka, apabila ada orang memuji kita, maka kita kembalikan pujian itu kepada Allah yang tidak mendedahkan kelemahan-kelemahan kita". Mendengar sahaja kupasan yang sangat mendalam itu, Zun Nun al-Misri dan Abu Yazib al-Bustami terus pengsan. Suara tangisan semakin membingitkan suasana. Aku turut menangis melihat suasana begitu. Hati mereka sangat bersih dan mudah sekali tersentuh. Ia berbeza sama sekali dengan hati aku yang berkarat dan hitam dengan kotoran dosa yang sukar dibersihkan.

“Tuan Guru, bagaimana ana mesti membersihkan diri ana?” aku bertanya kepada Sufyan al-Thauri. Beliau menundukkan wajahnya sambil menangis seraya berkata, “Wahai anakku, lebih baik engkau bertemu dengan Yahya bin Ma’in kerana ia lebih baik berbanding aku. Bagaimana orang yang berkarat hati ingin membersihkan hati orang lain, bukankah ini yang disebut oleh Ramadhan al-Buti?” aku sekali lagi terpegun. Sampai begitu sekali tawadhu’nya mahaguru sufi yang tersohor itu. Ya, siapa yang tidak kenal Sufyan al-Thauri yang faqih lagi zahid. Aku teringat Sa’id Hawwa menjelaskan, "Jadilah orang faqih yang zahid, bukan orang zahid yang faqih".

Tiba-tiba majlis gempar. Rupa-rupanya Abdullah bin Mas’ud RA, sahabat nabi yang besar dijemput sama dalam majlis ini untuk memberikan ucapan perasmian. Beliau ditemani mahaguru besar kami, Sheikh Abdul Qadir al-Jailani. Beliau membacakan beberapa ayat al-Quran yang menyentuh tentang kenikmatan Syurga dan kedahsyatan Neraka. Suaranya merdu sekali. Sekali lagi, suasana jadi khali, dan hati menjadi khalis.

Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…
 
Kata Ibn Mas’ud RA, “Bila hati kamu tidak tenang, maka pergilah ke majlis para ulama. Jika hati tetap tidak tenang, maka bacalah al-Quran. Jika hati tetap tidak tenang, maka bangunlah di waktu malam untuk bermunajat. Namun jika hati tetap tidak tenang, maka berdoalah kepada Allah agar kamu diberikan hati yang lain,” ujar Ibn Mas’ud RA sambil merasmikan majlis pada hari ini.

Aku terus menangis dan menangis. Sudah lama aku kekeringan air mata. Aku berjaga malam untuk PilihanRaya Kampus, tetapi aku tidak bertahajud. Aku kuat berjuang, tetapi aku kurang membaca al-Quran. Aku banyak berceramah, tetapi aku kurang berzikir. Aku kuat berjihad menegakkan Islam, tetapi aku sendiri kontang dan kering dengan ilmu. Aku hanya pandai bercakap, tetapi tidak berbuat. Aku banyak melakukan maksiat, tetapi aku tidak bertaubat. Aku hanya pandai amar ma’ruf, tetapi Subuh pun banyak yang aku lewat. Aku bercakap soal ikhlas, tetapi riya’ dan ujub menguasai diri.

Dan aku terus menangis sebelum tiba-tiba sahaja semua ahli sufi menghilangkan diri.

Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah, Laa ilaha illaLlah…

18 Mac 2012

.¸¸✿¸.•❤• Buatmu Murabbi .¸¸✿¸.•❤•

Syeikh Habib Umar bin Habib Abdul Qadir al-Idrus dan Syeikh Habib Abu Aswad bin Habib Zakaria al-Kubra

Oh, alangkah bahagia!
Oh, alangkah mulia!
Hari ini aku kisahkan..
aku, dan di sisiku,
MURABBI.

Seperti Rasul,
Bersama-sama, nikmati satu santapan,
Begitu murabbi
Duduk bersama, jamah satu hidangan.

Seperti Rasul,
Bersama-sama berbantalkan lengan,
Begitu murabbi
Bersama-sama tidur atas hamparan.

Seperti Rasul,
Turun bersama gali paritan
Begitu murabbi
Sentiasa seiringku lakukan tugasan.

Seperti Rasul,
Faham segala dalaman luaran
Begitu murabbi
Segala pemikiran tekun menjelaskan.

Seperti Rasul,
Membina syuhada pemuda pahlawan
Begitu murabbi
Dibina aku lengkap perincian.

Seperti Rasul,
Marah, senyum, sedih, memberi kesan
Begitu murabbi
Memberi taujih sesuai perasaan.

Seperti Rasul,
Menyucikan, memahamkan, lantas menggerakkan
Begitu murabbi
Diasuh aku, jadi asas kebangkitan.

Seperti Rasul,
Menghormati tidak memalukan
Begitu murabbi
Di sampingnya aku, terasa dimuliakan.

Yang lahir bukan sekadar hartawan
Yang lahir bukan sekadar agamawan
Yang lahir bukan sekadar negarawan
Yang lahir bukan sekadar tokoh kemasyarakatan
Yang lahir bukan sekadar juara kebajikan
Yang lahir bukan sekadar olahragawan
Yang lahir bukan sekadar jaguh perdebatan
Tetapi RIJAL,
Dengan mereka ISLAM diagungkan.

Oh, alangkah bahagia!
Oh, alangkah mulia!
Ketika itu,
aku, dan di sisiku,
MURABBI
 
 Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid dan Ustaz Muhadir Haji Joll as-Senariy

(P/s: al-Fatihah buat mereka, sang murobbi)

Kecintaan Rasulullah S.A.W kepada ummatnya.

  بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 

Pernah suatu ketika dalam suatu riwayat beliau bersabda, “Sungguh aku merindukan mereka.” Lantas para sahabat terkejut. Mereka cemburu kerana Rasulullah merindukan orang lain yang bukan daripada kalangan mereka. Lantas para sahabat bertanya, “Siapa gerangan yang engkau rindukan itu, ya Rasulullah? Adakah kami?” tanya mereka untuk penjelasan. Rasulullah menjawab, “Bukan. Kalian adalah sahabatku yang berjuang bersamaku. Sudah tentu aku mencintai kalian.”

Sahabat, “Apakah para malaikat Allah?”. “Bukan...” jawab Baginda. Sahabat bertanya lagi, “Lalu siapa, ya Rasulullah?” Akhir Rasulullah menjawab, “Mereka adalah umatku nanti. Mereka tidak pernah bertemu aku, namun mereka mengikuti sunnah-sunnahku dengan penuh keimanan. Hati mereka dipenuhi kecintaan kepadaku.”

Tidak lupa juga pada saat kewafatan Baginda, saat menjelang akhir nafasnya, Ali bin Abi Thalib melihat Nabi SAW menggerakkan bibirnya yang sudah membiru dua kali. Cepat-cepat ia mendekatkan telinganya ke bibir Nabi SAW. Ia mendengar Nabi memanggil-manggil, “Umatku.. Umatku.. Umatku..” Kewafatan Baginda membuatkan seluruh alam berduka cita.Cintanya kepada umat dibawanya sehingga ke akhir hayat, dan akan dibawanya hingga ke padang mahsyar.

Tapi adakah kita layak digelar ummatnya Rasulullah? Sedangkan dalam hati-hati kita tidak ada setitis pun rasa mahabbah pada Junjungan Mustofa. Adakah Ummati.. Ummati.. Ummati.. yang Rasulullah panggil saat kewafatannya itu adalah kita


(P/s: Mohon hadiahkan Surah al-Fatihah khususan ila ukhti al-faqirah Engku Syarifah Nur 'Munawwarah' dan juga buat penulis artikel ini, akhi al-faqir, abina Syed Zakaria bin Syed Salleh al-Kubra & umina Syarifah Halijah binti Syed Awang al-Idrus.. Diizinkan dari penulis untuk disebarluaskan bagi menebarkan rasa kecintaan pada Rasulullah s.a.w)

Sahabat