Kendatipun Sekadar Catatan Peribadi

Selamat Datang & Terima Kasih Atas Kunjungan
Kendatipun sekadar catatan peribadi, pendapat serta buah fikiran, tentang suka duka, buruk dan baik, namun jika ada yang baik maka jadikanlah ia sebagai tauladan dan sesuatu yang boleh diikuti. Sebaliknya mana yang tidak baik, abaikan atau jadikan ia sebagai sempadan dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.

Kehidupan di dunia ini memang penuh dengan hiasan, lakonan dan ketidakadilan. Lantaran itu adanya Hari Perhitungan yang akan diadili oleh Yang Maha Adil nanti !!

Sesejuk Kesegaran Cameron Highlands

4 Oktober 2025 : Disebalik Kesesakan Cameron Highlands.

Kenangan Majlis Makan Amal Alumi SK PT Kadir 2025

Ia merupakan pertama kalinya diadakan yang menghimpunkan bekas-bekas murid SK Pt Kadir setelah Alumni SK PT Kadir ditubuhkan.

Pameran Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kelantan 2025

Lembu2 sado yang menjadi piihan ...

Menghadiri Bengkel Pelan Strategik Masjid Ibnu Abbas Pengkalan Nyireh

Suatu inisiatif baik yang perlu dicontohi oleh masjid surau sekitar Besut

Bertugas Pendaftaran Kem Bestari Solat 2025

Cubaan pertama, kira macam test market dulu. Jika ada kudrat boleh anjurkan lagi pada masa akan datang.

Bertandang Ke Pulau Batam-Bintan

Menghayati kebesaran Allah, tanah bekas perlombongan menjadi seolah-olah gurun dengan tasik yang membiru.

Showing posts with label sajoha. Show all posts
Showing posts with label sajoha. Show all posts

Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Pt Kadir Kali Ke-37

Bertempat di Dewan Kantin SK Parit Kadir Senggarang, Sabtu 2 April 2011, aku menghadiri dan memberikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Parit Kadir Kali Ke-37. Berikut adalah ucapan perasmian yang aku sampaikan dalam majlis tersebut.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya dipanjangkan usia dapat kita bersama dan dipertemukan dalam majlis ini. Mesyuaray Agung PIBG Kali Ke-37. Agaknya sudah lebih daripada 37 sekolah ini. Pada mulanya saya menerima panggilan daripada Tn YDP PIBG untuk berucap dalam majlis ini, agak terkejut juga. Nak cakap apa ? Maklumlah selalunya ucapan perasmian dilakukan oleh wakil rakyat atau wakil Pejabat Pelajaran Daerah.

Kalau wakil rakyat, lepas perasmian dia akan tinggalkan janji, kalau tak sumbang seribu ringgit, mungkin 2 ribu atau 3 ribu kalaupun tidak 10,000. Kalau saya, nak tinggalkan apa ? Mungkin kaedah yang baik juga, memanggil semula bekas murid sekolah ini bagi perasmian. Terasa agak gementar juga, maklumlah di hadapan saya ini merupakan pangkat abang kakak, ibu bapa, pakcik makcik, selain yang seusia dan pangkat adik. Mungkin ada yang pernah sekelas dengan saya di sini dahulu.

Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya kembali ke sekolah ini yang telah saya tinggal sejak tahun 1975. Pada ketika itu masih merupakan sekolah kayu atau papan beratapkan zink, tingkap pun jaring dawai. Bangunan utama sekolah sekarang pun ketika itu masih dalam peringkat awal pembinaan, piling serta cerucuk kayu bakau. Tapi sekarang dah ada macam-macam. Selalu juga nampak sekolah ini apabila datang ziatah ke rumah bapa saudara di sebelah sana, Che Sahri.

Saya pun tak pasti berapa ramai guru-guru yang mengajar saya ketika itu masih ada lagi. Masa tu Guru Besar adalah Arwah Cikgu Johari dan antara yang lain Cikgu Supanji, Cikgu Zaini dan agak terkejut yang Guru Besar Pertama iaitu Ckgu Adam masih ada lagi. Allah masih panjangkan usia beliau. Terima kasih tidak terhingga atas bantuan dan tunjuk ajar mereka, semoga di balas oleh Allah s.w.t dengan ganjaran yang setimpal.

Saya bersekolah di sekolah ini antara tahun 1970 hingga 1975, dari darjah satu hingga enam. Semasa sekolah dahulu kalau tidak dapat nombor satu, nombor dua. Hanya sekali dapat nombor tiga. Yang selau nombor satu ialah Dr Osman Warijo yang merasmikan Mesyuarat PIBG ini tahun lepas. Selalu berlawan dengan dia. Saya masih ingat ini sebab sering saya cerita dan ingatkan kepada anak-anak saya sebagai perangsang. Kad kemajuan pun masih ada sebagai bukti.

Dulu takde UPSR, tapi Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Masa Peperiksaan Darjah 5 tahun 1974 saya dapat keputusan 3A dan berpeluang ke sekolah berasrama penoh, SM Sains Johor di Kluang. Kalu di Pt Kadir dapat nombor satu dua, tapi di SM Sains Johor dapat nombor banyak. Tapi Dr Osman dia maintain. Lepas SPM 1980, saya mengikuti Kelas Matrikulasi UKM di SM Sains Melaka ( sekarang SM Muzafar Shah ), kemudian masuk UKM Bangi. Di UKM saya mengambil jurusan Sains Komputer yang merupakan jurusan yang sangat baru ketika itu. Mula tu nak ambil Doktor juga, tapi keputusan yang diperolehi tidak melayakkan.

Tamat belajar tahun 1986, tapi kebetulan masa itu krisis ekonomi dan agar sukar mendapat pekerjaan. Selalunya masa tu kalau sudah tahun empat Sains Komputer, jawatan dalam kerajaan sedia meenunggu. Beberapa tahun bekerja sementara di Terengganu sebagai Cikgu Komputer dan Pegawai di Unit Komputer Pejabat JKR Terengganu. Malah pernah beberapa ketika ke laut jadi ‘nelayan’ bersama bapa mertua.

Tahun 1989 baru mendapat kerja tetap sebagai Pegawai Sistem Maklumat di Bahagian Komputer Kementerian Pendidikan dan bertugas di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Masa ini saya sering mengikuti perkembangan SK Pt Kadir menerusi keputusan peperiksaan UPSRnya, Malah ada orang Kg yang sering telefon saya untuk bertanyakan keputusan awal, sama ada UPSR, PMR atau SPM.

Tahun 2003 saya bertukar ke Bahagaian Teknologi Maklumat JPJ sehingga sekarang. Mulanya pejabat di Kuala Lumpur, kemudian berpindah ke Cyberjaya pada Disember 2009. Kalau sebelum ini saya tinggal di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor, saya pun terpaksa berpindah ke kuaters kerajaan di Putrajaya mulai Jun 2009 sehingga sekarang. Kalau ada yang ke sasar sampai Putrajaya, bolehlah kalau nak menyinggah.

Semasa di Saujana Utama Sungai Buloh, saya banyak melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat setempat. Antaranya menjadi Pengerusi Surau, Pengerusi Sekolah Agama. Malah saya bersama rakan dan penduduk setempat, berjaya membina bangunan Surau dan Sekolah Agama hasil sumbangan orang ramai. Masa ini beberapa kali muka saya masuk TV. Mungkin ada yang perasan agaknya. Juga pernah jadi AJK Penduduk, AJK Rukun Tetangga, Khairat Kematian dan AJK PIBG sekolah menengah dan sekolah kebangsaan.

Saya berkahwin ketika masih belajar di UKM lagi, pada tahun ketiga pengajian. Suatu yang mungkin jarang berlaku ketika ini. Sudah jodoh kot ? Isteri saya kini seorang guru Sekolah Menengah di SMK Dato Abu Bakar Baginda Selangor. Dato Abu Bakar Baginda ialah MB Selangor yang pertama. Kini saya mempunyai 4 orang anak. Semuanya telah lepas UPSR dan PMR. Alhamdulillah, semuanya 5A dalam UPSR dan dapat semua A dalam PMR. 2 orang 8A dan 2 orang lagi 9A, tambahan mata pelajaran Bahasa Arab. 3 orang telah lepas SPM dan yang bongsu kini di MRSM Langkawi, ambil SPM tahun ini. Semuanya berpeluang ke sekolah asrama penoh.

Yang sulong dan kedua pernah bersekolah di SK Pt Kadir kekira setahun sekitar 1995-96. Yang sulong lulusan Universiti Teknologi Petronas sudah bekerja. Yang kedua sedang belajar jurusan Kejuruteraan Elektrik di luar negara, Kanada atas tajaan JPA atau kerajaan. Dijangka habis tahun ini. Anak yang ketiga baru memperolehi keputusan untuk ambil jurusan Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa setelah menghabiskan program matrikulasinya. Anak ke-3 saya ini, selepas saja habis SPM, diberi peluang mengikuti Sijil Tahfiz Al-Quran di Darul Quran Jabatan Perdana Menteri Kuala Kubu Baru Selangor. Alhamdulillah, hafal 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 bulan. Harapnya beliau dapat jadi doktor yang hafal 30 juzuk al-Quran. Doakanlah.

Mengapa saya ceritakan semua ini ? Bukan untuk berbangga, nak tunjuk anak-anak Hassan Masrom berjaya dan pandai semuanya. Yalah, kejayaan itu luas pengertiannya, antara kejayaan dalam pelajaran dengan kejayaan dalam hidup. Yang mustahaknya kejayaan dunia dan akhirat.

Memang ramai bertanyakan kepada saya atau isteri saya, mengapa anak-anak saya dikatakan pandai-pandai dan berjaya dalam pelajaran. Sampai dapat anugerah pelajar terbaik lagi. Sukar nak jawap sebab kami suami isteri pun bukannya buat kajian, analisis atau buat ujikaji tertentu.

Tapi mungkin atas dorongan bersama isteri untuk mendidik dan memastikan anak-anak kami lebih berjaya daripada ibu bapanya. Siapa yang tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajarannya. Memang itu hasrat kita semua untuk melihat anak-anak kita lebih berjaya daripada kita, lebih bernasib baik daripada kita dan lebih senang hidupnya berbanding apa yang kita kecapi. Ilmu dan kejayaan dalam pelajaran antara yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga.

Cumanya kita mungkin tidak tahu atau didedahkan dengan ilmu keibubapaan. Sekarang sudah banyak kursus atau program motivasi berkaitan, mungkin boleh korban sikit duit, laburkan untuk mengikutinya atau PIBG boleh anjurkannya. Bukan sekadar murid-murid yang perlu diberikan motivasi, kita sebagai ibubapa juga perlu.

Tadi Guru Besar menyatakan perlunya dipastikan anak murid kita berkemahiran khususnya dalam membaca sejak peringkat awal mula persekolahan. Sebenarnya memang betul dan kita para ibu bapa patutnya memulakannya lebih dari awal di rumah, tidak hanya mengharapkan usaha pihak sekolah.

Berdasarkan pembacaan buku serta nasihat ustaz masa sekitar 1980an dulu, sering diperkatakan bahawa kita kena banyakkan mengaji al-Quran atau membaca ayat dari surah-surah tertentu, khususnya oleh wanita yang mengandung. Maknanya usaha ketika peringkat mengandung lagi dalam usaha untuk melahirkan anak yang soleh dan cerdik pandai. Rasanya perkara ini pun masih sering diperkatakan pada hari ini.

Semasa ibu mengandung, digalakkan membaca Surah Luqman dengan harapan anak yang dikandung menjadi yang cerdik akal dan jiwa. Baca Surah Yusuf, supaya anak yang lahir menjadi cantek rupa paras dan cantek ahlaknya. Membaca surah Maryam agar mudah bersalin. Memang isteri saya sering mengamalkannya. Kita sebagai orang Islam pun memang digalakkan atau kena baca al-Quran setiap hari, sekurangnya-kurangnya beroleh pahala dengan membaca al-Quran.

Sekarang disebutkan pula banyak ayat-ayat lain seperti surah Al Fatihah untuk terang hati dan kuat ingatan. Surah Hujurat untuk memperbanyakkan susu ibu dan anak yang bersifat berhati-hati. Surah Yaasin untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat. Surah At-Taubah Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat Surah An-Nahl Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

Seorang Pakar air dari Jepun iaitu Dr Masaru Emoto yang juga dibukukan penemuananya dalam bukunya iaitu The Secret Of Water. Sebut tengang Jepun yang di landa Tsunami baru-baru ini, sungguh dahsyat dan terasa itulah gambarkan hari kiamat nanti. Berdasarkan penemuan Dr Masaru Emoto, bentuk kristal air yang terbentuk dipengaruhi oleh pesekitaran.

Seperti air dalam botol ini, jika persekitarannya baik, diberikan kata-kata yang baik, ia membentuk kristal yang cantik. Jika yang buruk di maki hamun atau didengarkan dengan muzik rock, bentuk kristal molekulnya pun berserabut tidak cantik.

Mungkin tuan-puan pernah mendengar tentang rawatan dan pengubatan Islam Darul Syifa’ Bandar Baru Bangi oleh Ustaz Dato’ Dr Harun Din. Ramai orang datang nak dapatkan rawatan dan kena ambil giliran yang panjang. Di sana mereka hanya membacakan surah atau doa tertentu lantas ditiupkan ke dalam air yang kemudiannya diminum, sapu atau dibuat mandi. Air tersebut seterusnya menjadi media membawa harapan dan doa bagi memberikan kebaikan serta rawatan penyakit yang terdapat dalam badan kita. Dengan gabungan kedua cara ini, saya yakin akan ada kebenarannya dan ini bukan sihir. Saya yakin memang ada kesannya.

75% anggota badan kita terdiri daripada air. Kandungan darah 82% adalah air. Jantung 90% air, otak 76%, malahan tulang yang nampak keras tu pun 25% adalah air. Jika perkataan yang baik pun boleh membentuk struktur air yang baik, inikan pula bacaan Al-Quran. Bacaan tersebut juga akan membentuk dan menghasilkan struktur air yang cantik dan baik mengalir dalam badan kita, membentuk diri sendiri serta anak seawal dalam kandungan lagi.

Mungkin sebab itu juga Allah melarang kita berada bersama orang yang maksiat atau semeja dengan orang yang minum arak, kerana dibimbangi ‘aura’ maksiat itu tempias mengenai kita sendiri dengan membentuk air yang mengalir dalam badan kita. Ataupun jika masa mengandung, asyik dengar lagu dangdut atau hidustan aje, maka jadilah anaknya nanti juga minat dangdut atau hindustan .... agaknya kot ?

Kunci Ilmu adalah membaca. Ayat al-Quran pertama diturunkan. Iqra. In iu menunjukkan kepentingan membaca. Sebagai ibubapa, kita kena beri dorongan kepada anak-anak kita untuk banyak membaca, seawal mungkin. Buku adalah gedung ilmu. Belikan buku-buku atau majalah yang berfaedah serta ikut kemampuan kita. Tidak semestinya yang mahal reganya. Kekadang tu ada jualan murah buku-buku lama, beli sahaja selagi mana kelihatan bersesuaian. Apabila anak-anak suka membaca buku, ia juga akan meluaskan fikiran dan meningkatkan keinginan untuk lebih mengetahui dan kemampuan mereka menulis.

Masa saya sekolah di sini, saya sebenarnya di tempatkan di Rumah Che Sahri sekarang disebelah tu, tinggal bersama arwah datok dan nenek saya. Saya tak pasti kenapa dipisahkan daripada tinggal dengan ibubapa saya masa tu. Mungkin faktor dekat dan pengangkutan, tidak perlu nak hantar ambik setiap hari. Tapi keadaan ini memberi peluang untuk saya banyak membaca dan fokus kepada pelajaran.

Yalah bukan asyik belajar sahaja, ada main juga. YDP pun adalah rakan sepermainan kerana ketika itupun beliau duduk di kawasan Pt Kadir baroh sini. Zaman tu saya sering mengikuti program Radio Pendidikan. Majalah dan bahan bacaan seperti Utusan Pelajar dan Dewan Pelajar memang sering bacaan utama. Banyak juga buku-buku di rumah arwah datuk dan nenek saya dulu. Kini lagi banyak bahan bacaan dalam pasaran, cuma kita kena hati-hati dan pandai memilih mana yang sesuai.

Tadi saya sebutkan bahawa saya banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Mungkin macam di Sg Buloh sebab saya yang tua, itu yang terpilih. Tetapi saya menganggap penglibatan ini sebagai suatu amal jariah. Jika kita lakukan dengan baik dan iklas, tentunya orang ramai akan mendoakan kebaikan kita. Jika kita berbuat baik kepada orang lain, insya’allah akan ada balasan daripada Allah manfaat sama ada kepada diri, keluarga dan anak-anak saya sendiri.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai AJK PIBG, Mesyuarat Agung tahunan merupakan masa yang terbaik bagi ibu bapa memberi pandangan, cadangan serta membantu meningkatkan imej dan prestasi sekolah. Bagi para AJK tentunya ini masa untuk menilai sejauh mana usaha yang dilakukan memberikan hasil yang diharapkan dan diterima oleh para ibubapa dan guru.

Janganlah hendaklah dihentam sana dan sini AJK PIBGnya. Bila cerita pasal program selalunya agak senyap. Tapi bila hal kewangan, timbul macam-macam cerita. Malah pernah saya berpengalaman dalam Mesyuarat Agung PIBG, hampir hendak dibatalkan dan diadakan semula kerana laporan kewangannya dikatakan tidak ikut standard perakaunan, tidak betul dan mengelirukan. Maklumlah di kawasan yang dikatakan elit. Mungkin tidak berlaku di sini.

Memang berat tugas AJK PIBG, khususnya kalau melibatkan soal menambah kewangan dan banyak program PIBG hendak adakan. Sekolah sini mungkin agak mudah urusannya sebab tidak ramai pelajarnya, sekitar 200 lebih. Tapi kalau ada 100 keluarga dengan yuran RM10 setahun, baru RM 1,000 setahun. Cukupke untuk aktiviti tahunannya ? Tapi nampaknya sekolah telah ok kemudahan fisikalnya. Hanya perlukan sokongan dan penglibatan ibubapa dan meningkatkan pencapaian muridnya.

Kalau sekolah di tempat saya, yuran PIBG macam-macam hendak digunakan. Itulah untuk buat garage, baiki pagar dan pelbagai kerosakan. Terpaksa PIBG usaha keras cari duit. Banyak aktiviti boleh dilakukan tapi saya tidak pasti sama ada praktikal untuk sekolah ini.

Selalunya kita agak sukar nak menghulurkan derma atau berkorban sedikit wang ringgit untuk kemajuan sekolah anak-anak sendiri. Masih nak mengharapkan jua bantuan kerajaan. Pernah sekolah di tempat saya, macam nak berperang dibahaskan isu nak naikkan yuran PIBG dari RM10 kepada RM20 setahun. Dalam hal sumbangan untuk pendidikan anak-anak, kita kena contohi orang Cina yang sanggup menyumbang dan berkorban mengeluarkan wang ringgit demi pendidikan anak-anak mereka. Sekolah asrama anak-anak saya yuran tahunan PIBGnya tidak kurang RM100.

Harta kita ialah yang sebenarnya ialah yang dapat membantu kita di akhirat nanti. Bukan sebanyak mana tersimpan dalam poket atau simpanan kita. Banyakkan menderma dan bersedeqah kearah kebaikan sebagai saham akhirat kita yang berpanjangan. Duit yang ada dalam poket atau bag tangan kita tu belum tentu milik kita. Entah-entah kejap lagi habis kat kedai beli itu dan ini. Atau buat belanja ngeteh kat warong mana.

Tahniah kepada hadirin hadirat yang dapat hadir pada hari ini. Hadir demi kemajuan sekolah dan pendidikan anak-anak di sini. Mungkin ada yang terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya hari ini nak menyawit atau ke kebun.

Akhir kata, sekali lagi terima kasih atas jemputan untuk saya berucap pada hari ini. Sekiranya dapat dijadikan motivasi atau pendorong kepada semua, ambillah mana yang baik. Harapnya dapat difahami ucapan saya ini. Saya bukannya pandai nak berucap dan berpidato, sekadar berkongsi pengalaman dengan ibu bapa hadirin sekalian. Semoga apa yang saya ucapkan ada manfaatnya, kehadiran saya di sini ada ada kesannya. Maaf atas kekurangan.

Sesamalah kita rasmikan Mesyuarat PIBG SK Pt Kadir Kali ke-37 dengan membaca surah al-Fatehah, yang mana kita sedekahkan pahala bacaannya kepada arwah ibubapa kita serta guru-guru khususnya guru SK Pt Kadir yang telah pergi meninggalkan kita. Al-Fatehah.
Share:

Al-Fatehah Untuk Arwah Cikgu Abdul Rahman Karim

Sedang berehat selepas solat isyak, 6 Januari 2010 ( malam Jumaat ) tiba-tiba dapat mesej BB yang Cikgu Abdul Rahman karim meninggal dunia dan jenazahnya masih berada di atas jalan raya akibat kemalangan pulang dari solat isyak di Masjid di Api-Api Pontian Johor. Aku tetiba teringat kembali kenangan lama semasa sekolah di SM Sains Johor ( SMSJ ) Kluang antara tahun 1976-1980. Arwah Cikgu Rahman merupakan ketua warden asrama ketika itu. Selain daripada mengajar Sains Paduan, dia juga merupakan guru serta jurulatih hoki sekolahku.

Oh ... walaupun selepas meninggalkan SMSJ hanya beberapa kali bertemu beliau, tetapi amat terasa akan pemergian beliau. Apatah lagi perginya dalam keadaan yang agak tragis. Teringat akan jasa-jasa beliau mendidik kami dahulu serta menguruskan hal ehwal asrama. Kalau nak cuti balik kampung, beliaulah yang mengumumkan tiket waren keretapi balik kampung serta menggunakan perkataan 'One-Way Ticket', sebuah lagu yang juga popular ketika itu.

Kali terakhir bertemu beliau ialah ketika Majlis Makan Malam Amal di KL pada Mei 2010 bagi mengutip derma Tabung Pembinaan Surau SMSJ ( dalam gambar - baju batik oren ). Kelihatan masih sihat dan kuat lagi ketika itu. Arwah memang pernah kuat bergiat dalam dunia hoki. Selain pernahmenjadi Setiausaha Persatuan Hoki Johor, beliau juga pernah menjadi Pengurus Pasukan bagi pasukan hoki negara di Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Jenazah beliau telah disemadikan sebelum Solat Jumaat pada 7 Januari 2010. Semoga Allah menerima amal jariah beliau mendidik anak bangsa, mengurus dan menjaga kami di asrama dahulu diterima Allah sebagai ibadahnya dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Mudah-mudahan akhir hidupnya yang pulang dari masjid pada malam Jumaat memberikan suatu petanda baik Allah menerimanya dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Al-Fatehah.

Arwah Cikgu Rahman duduk di barisan hadapan, yang ke-8 dari kanan. Gambar sekitar 1979/80.

Share:

Nostalgia Majlis Makan Malam Amal Sajoha 2010

Pada 28 Mei 2010, aku menghadiri Majlis makan Malam Amal Sajoha ( MMMA ) 2010 yang diadakan di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur. Majlis ini sebenarnya diadakan bagi mengutip dana bagi Tabung Pendidikan & Kerohanian khususnya menaik taraf bangunan surau SMS Johor ( SMSJ ), Kluang bagi membolehkan ianya selesa digunakan oleh kira-kira 650 pelajarnya secara serentak. SMSJ adalah sekolah menengahku dahulu. Aku belajar di sana dari tahun 1976 hinggalah mengambil SPM pada tahun 1980. Kiranya aku group SMSJ Alumni 1980 atau SAJOHA80.

Ya, kekira 30 tahun aku telah meninggalkan SMSJ. Itu yang buat aku terpanggil untuk menyertai majis tersebut. Melihatkan bekas-bekas guruku yang bakal hadir, aku hadir terharu dan keinginan kuat untuk menemui semula guru yang telah berjasa kepadaku dahulu. Namun tidak semuanya dapat hadir pada malam yang dijanjikan itu.

Majlis bermula agak lewat, lantaran tetamu terhormat YB Datuk Hj Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri lewat tiba. YB merupakan junior ku 3 tahun. Rasanya masa tu beliau memang agak low profile seperti aku juga. Tetapinya kemudiannya dikenali ramai sehingga berjaya membawa pasukan SMSJ buat pertama kalinya berjaya ke Final Bahas Piala Perdana yang disiarkan live di TV pada tahun 1983. Lawan SMSJ di final tersebut ialah Kolej Islam Kelang ( KIK ) yang diketuai oleh Ustaz Idris Ahmad, bekas Naib Ketua Pemuda dan AJK PAS Pusat sekarang. Tapi SMSJ kalah kepada KIK.

Sementara menunggu ketibaan YB yang baru pulang dari New Zealand, pengacara Zainal Alam Kadir ( junior ku 2 tahun ) berceloteh dan membawa kisah-kisah kenangan silam. Since jarak masa beliau bersama ku dikira tidak jauh beza, aku agak bernasib baik sebab celotehnya berkisar dengan zamanku juga dan faham apa yang dicelotehkannya. Ini membawaku kembali mengingati nostalgia lamaku di SMSJ.

Antara guru yang hadir pada malam tersebut ialah bekas Pengetua zaman ku Cikgu Hamzah Rashid serta isterinya. Memang nampak telah berusia, tetapi masih steady. Sebelum ini pernah juga terserempak beliau, semasa beliau di Kementerian serta dalam satu mesyuarat surau-surau di Selangor suatu ketika dulu.

Aku benar-benar tidak ingat sama ada aku termasuk dalam kumpulan pelajar yang dirotan oleh Cikgu Hamzah lantaran membotakkan daun pokok-pokok kelapa di tepi padang sekolah untuk belajar menyanyam ketupat. Peristiwa ini diulas semula oleh Zainal Alam dan menarik perhatian ramai. Tapi sehingga kini aku kira aku pandai menganyam kelongsong ketupat hasil sekolah di SMSJ.

Keduanya Cikgu Abdul Rahman Karim, Ketua warden yang dianggap paling garang pada zamanku. Beliau yang juga guru pasukan hokiku tidak dapat mengingatiku walaupun telah ku cuba beri hint kepadanya. Selepas sekolah pernahku lihat beliau menjadi jurulatih pasukan hoki remaja kebangsaan pada awal 1900an. Beliau juga kelihatan masih segak dan steady lagi. Agaknya berapa umur beliau ketika ini ? Aku meninggalkan SMSJ sudah 30 tahun. Jika ketika itu umur beliau 35 tahun, maka kini 65 tahun !!!

Begitu juga dengan Cikgu Abdul Jalil dan Ustaz Ismail. Tapi aku tidak berkesempatan bertemu dengan Ustazah Salmiah yang turun dari Kota Bharu. Lagipun mejanya jauh dari mejaku. Aku juga baru tahu, Dr Robiah Kulub Hamzah pakar motivasi tu rupanya bekas guru SMSJ tahun 70an. Patutlah nampak dari jauh pada malam tersebut macam kenal aje. Dia ketika itu dia Warden Asrama Puteri dan ajar KRT, tak mengajar aku kot !!!

Selain daripada jamuan makan serta ucapan perasmian, majlis diselangselikan dengan persembahan oleh Kumpulan Alam yang dipimpin oleh Zainal Alam sendiri, persembahan spontan bekas pelajar selain pelajar-pelajar dan cabutan bertuah. Doa makan dibacakan oleh YB Datuk Haji Ahmad Mazlan sendiri. Rupanya dulu dia sering ditugaskan membaca doa di dewan makan !!!

Tapi persembahan pentas malam tersebut sedikit meragukan. Apakah sesuai dengan pengisian untuk mengisi dana surau khususnya penamapilan mereka yangmembuat persembahan ? Sejauh mana pula lagu-lagu bertemakan kerohanian dan universal yang disampaikan bersesuaian dengan tujuan majlis dan mood malam tersebut ? Mungkin para hadirin tidak kisah persembahan tersebut, sebaliknya sibuk berceloteh bertemu dengan rakan-rakan lama ...

Selain daripada itu, turut diadakan dua majlis pelancaran Koperasi SAJOHA yang baru diluluskan penubuhannya serta menandatangani Perjanjian Persefahaman Pengantarabangsaan SMSJ dengan Universiti Tun Hussain On Malaysia ( UTHM ). Dikatakan perjanjian persefahaman ini adalah sebagai satu hasrat dalam memenuhi impian pihak sekolah sebagai salah satu syarat untuk dijadikan sekolah kluster pada masa akan datang.

Pengerusi Projek MMMA, Pn Noryn kemudiannya mengumumkan jumlah kutipan berserta sumbangan daripada pihak kerajaan melalui YB Datuk Ahmad Maslan menerusi peruntukan ICU Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM 100K. Jumlah keseluruhan setelah ditolak kos penganjuran MMMA berjumlah sebanyak RM 328, 783 ( termasuk yang dijanjikan untuk diberikan sumbangan ). Ok jugak. Aku lantas teringatkan kalau nak buat untuk Dana KIDaS ( Pembinaan KAFA Darul Syahadah ) seperti mana yang pernah diimpikan dahulu ( katakan tiada yang RM100K daripada kerajaan ) boleh dapat ke ?


Melihat penganjuran ini, agaknya kalau dibuat dua tahun sekali pun OK. Disamping dapat jumpa kengkawan dapat juga cikgu-cikgu lama kita. Mungkin juga ada antara cikgu-cikgu pun hendak bertemu muka mana yang terpisah jauh. Kalau buat di KL, senang sikit sebab di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Tetapi kalangan SAJOHA80 ramai yang selalu berjumpa dan berhubungan menerusi eGroup dan Facebook, hanya beberapa sahaja pada malam tersebut. Ramai yang datang lelaki sahaja, maklumlah yang pompuan dah jadi isteri payah sikit nak keluar malam ini. Tetapi dapat jumpa beberapa senior dan junior yang masih dikenali, bertanya khabar dan kenangan best juga.

Junior setahunku yang ku kira rapat juga dahulu sebab sepatrol dalam Pengakap, Salehuddin Hassan rupanya kini jadi YDP Majlis Perbandaran Baru Pahat. Katanya teruk kerja, tension !!! Ada yang berkahwin dikalangan SAJOHA, malah anak pun sekarang belajar di SMSJ. Ada juga yang tiga beradik di SMSJ tetapi tidak pernah bersekali, maksudnya abang keluar adik masuk.

Kalangan sedara maraku juga ada yang masuk SMSJ, tapi tidak nampak malam tersebut. Atau aku yanga tak kenal mereka dan sebaliknya ... ha ! ha ! Jauh di Johor kot. Tetapi yang terharunya, apabila disebut beberapa kali nama arwah Cikgu Azman yang menjadi sedara rapat denganku lantaran berkahwin dengan mak sedaraku.

Mungkin kerana 3 orang daripada AJK Alumni SAJOHA kini sama batchku dan dua tiga orang lagi dekat-dekat dengan batchku, kebanyakkan gambar adalah yang dipaparkan dalam persembahan multimedia yang disediakan merupakan yang berkaitan dengan batchku. Apakah kerana ketika itu Kelab Fotografi begitu aktif ? Atau itulah masa memula gambar foto dijual kepada para pelajar sedangkan beberapa tahun kebelakangan ini memasing guna kamera digital, snap but simpan sendiri sahaja.

Berbanding dengan sekolah berasrama penoh cluster atau premier lain, mungkin SMSJ tidak sehebat mereka. Namun diperingkat kebangsaan, ku kira bekas pelajar SMSJ tidak kurang juga memberikan peranannya walaupun asalnya dari aliran sains. Mungkin ramai lagi dan perkara ini patut didokumentasikan oleh pihak SAJOHA.

Antaranya

a. Prof. Dr. Ghizan Saleh (UPM) yang baru menduduki Majlis Professor Negara sebagai Ketua Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan,

b. Prof Dr Musa Ahmad Timbalan Naib Canselor ( Akademik & Antarabangsa ) USIM.

c. Regunath Kasavan, Presiden Majlis Peguam Negara.

Share:

Selamat Hari Guru ....

Akhirnya ku temui gambar guru-guruku semasa di SM Sains Kluang Johor 1980. Yang pakai kot tu HM - Abdul Rashid Hamzah ( ade le sekali dua kena 'piat' telinga ). Di kanannya, Penolong HM Cikgu Osman nayan yang pernah ku 'tipu' menggunakan surat rakanku untuk membolehkan aku dapat kebenaran balik kampong. Di kirinya Cikgu BM Basar Bani ( baru meninggal last year ), next Cikgu Abdul Rahman - Ketua Warden dan jurulatih hoki ku. Kanan sekali juga jurulatih hoki, then masuk Islam, lupa lak nama. Tapi kecoh citer satu sekolah hal bila dia nak 'sunat'. Cikgu Seni Perushaan, no 4 dari kanan Cikgu Heng Peng Nam yang selalu berteriak di bengkel industrial art yang bising 'bangar'.

Yang lain, baris belakang 4 dari kanan Cikgu Azman yang juga jadi 'pak sedara' kemudiaanya tapi meninggal last year. Seorang warden asrama dan cikgu muzik, tapi akhir hidupnya merupakan orang kuat 'jemaah' dan pakar motivasi. Kalau jumpa selalu mencabar 'dulu masa sekolah bukan main lantang, sekarang apa 'anta 'dah buat untuk ummah ? Jika singgah di rumahnya, anak-anak dapat 'ceramah motivasi' percuma.

Sebelah Cikgu Azman ( 5 dari kanan ) Cikgu Hoo ngajar add math. Pernah ketika aku tersenggok-senggok semasa beliau mengajar, dibalingnya kapur lalu terlekat di celahan spek dan mata. Baris tengah, yang ke-6 cikgu muzik asyik pakai seksi, kalau ngajar tu resah gelisah kami dibuatnya. Di sebelahnya Cikgu Hussin Onn guru sukan dan sprinter, kalau ngajar tu half of the class asyik citer tentang sukan dan pegalamannnya bertanding berlari 100m bagi meningkatkan motivasi.

Yang lain ... ah sukar nak ingatkan balik. Ini pula gambar sekelas Tingkatan 5 tahun 1980 bersama sebahagian guru yang mengajar kelasku. Ini cuma yang mengajar di sekolah menengah, yang di sekolah rendah lagi. Selamat Hari Guru, jasamu tetap ku kenang. Terima kasih Cikgu.












Tekan, mana aku ? Cute kan ?
Share:

Berita2 Terkini

Updates ...

Pengunjung 2

free counters

kata2

Penafian

Pengunjung boleh menggunakan maklumat dan gambar dalam blog ini untuk sebarang tujuan kebaikan. Digalakkan agar dinyatakan kredit kepada blog ini. Namun, atas sebarang kehilangan, kerosakan, kesusahan atau gangguan yang timbul kerana menggunakan maklumat dalam blog ini adalah tanggungjawab masing-masing.