Pages

Showing posts with label fitnah. Show all posts
Showing posts with label fitnah. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

Nadia diarah bayar RM50,000



NADIA


KUALA LUMPUR - Selepas enam tahun bertelingkah, kemenangan akhirnya berpihak kepada pelakon, Lisdawati apabila rakan artis, Nadia Mustafar diarah oleh Mahkamah Sesyen di sini, supaya membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepadanya berhubung artikel fitnah mengenai kegagalan menjelaskan hutang di majalah Media Hiburan.
Hakim Yong Zarida Sazali turut memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, 35, membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala.
"Selepas meneliti hujahan dan keterangan pihak-pihak, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (Lisdawati)," katanya.
Lisdawati dan Nadia bagaimanapun tidak hadir pada prosiding semalam dan mereka diwakili peguam masing-masing iaitu Sangeet Kaur Deo bagi Lisdawati manakala Nadia pula oleh Siti Julaini Mohd. Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob.
Pada 21 April lalu, Lisdawati memfailkan saman terhadap Nadia kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap dirinya.
Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
LISDAWATI


Hanif tidak dipanggil sebagai saksi kerana telah meninggal dunia tiga tahun lalu.
Wawancara itu didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Lisdawati mendakwa, majalah itu menyiarkan artikel berkaitan pada 8 hingga 14 Januari 2005.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa, artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud dia meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia.

Thursday, August 25, 2011

Raja Azmi dakwa dirinya difitnah tiga individu



KUALA LUMPUR - Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman mendakwa dirinya difitnah oleh tiga individu yang dikenalinya berhubung kes khalwat membabitkan dirinya dengan pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.
Tegas Raja Azmi, 51, dia mempunyai bukti yang lengkap untuk menyabitkan ketiga-tiga individu terbabit dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka bagi membersihkan nama dan maruahnya yang telah tercemar ekoran tuduhan khalwat berkenaan.
"Saya akan mengheret semua individu yang terlibat yang menganiaya saya dan suami (Jailani Sidek) ke muka pengadilan bagi membersihkan maruah saya yang telah difitnah," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Concorde di sini semalam.-kosmo

Monday, February 7, 2011

Wartawan barat membuat fitnah terhadap rakyat mesir


http://www.almasryalyoum.com/sites/default/files/imagecache/highslide_zoom/photo/2011/02/06/228/824235-01-02.jpg
Di saat akhir-akhir ini, wartawan francis, jerman dan britain mula menabur fitnah dan menakut-nakutkan rakyat mesir serta memburukkan emej  Kebangkitan Rakyat Mesir.
Mereka mendakwa mereka telah ditangkap oleh Kumpulan Kebangkitan Rakyat Mesir dan diberi layanan buruk, sedangkan mereka hanya dikawal pergerakkan mereka oleh Kumpulan Kebangkitan Rakyat Mesir.
Wartawan asing mungkin cuba mempertahankan kedudukan mubarak dengan cara membuat fitnah dan memburuk-burukan emej Kebangkitan Rakyat Mesir melalui media-media yang mereka miliki.
Kini Kumpulan Kebangkitan Rakyat Mesir telah menubuhkan Pusat Kawalan Maklumat-Di Medan Tahrir, segala video dan foto telah dikawal dan ditapis untuk mengelakkan penipuan dipihak media. Pusta Kawalan Maklumat juga akan menyebar maklumat terkini perkembangan Kebangkitan Rakyat Mesir. -

Thursday, December 2, 2010

Guru difitnah penceroboh fb

IPOH: Berang selepas akaun laman sosial Facebook miliknya diceroboh, seorang guru tampil membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam bagi membolehkan satu siasatan dibuat untuk mengesan penceroboh terbabit.
Lebih mengaibkan, penceroboh menggunakan akaun laman sosial guru berkenaan dan memaparkan komen di laman peribadi guru itu termasuk membuat pengakuan pernah meraba punggung pelajar lelaki dan perempuan selain fitnah lain yang mencemar maruahnya.

Isnin lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina memaparkan komen yang terdapat pada Facebook guru berkenaan serta mendapatkan kenyataan guru berkenaan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, guru berkenaan, Lim Beng Lee, 42, yang mengajar di Sekolah Menengah Poi Lam (Suwa) menafikan perkara itu dengan mendakwa akaun Facebooknya diceroboh dan penceroboh turut memalukannya dengan memaparkan komen berunsur fitnah.

Menurutnya, dia kesal dengan laporan akhbar berbahasa Cina berkenaan kerana mendakwa dia mengakui terbabit dalam semua fitnah dipaparkan dalam laman peribadi itu hingga mencemarkan maruahnya termasuk pihak pentadbiran sekolahnya.

Katanya, pada mulanya dia marah dengan paparan berita itu kerana tersebar ke seluruh negara, namun akhbar berkenaan sudah memperbetulkan kesilapan itu Selasa lalu.

“Saya menyedari akaun Facebook diceroboh pada 28 November lalu selepas gagal memasukinya kerana penceroboh menukar kata laluan. Sebaik gagal, saya memasuki satu lagi akaun Facebook saya bagi melihat akaun yang diceroboh itu dan terkejut melihat komen fitnah dipaparkan.

“Saya mengakui tersilap kerana membiarkan akaun berkenaan tanpa mendaftar keluar terlebih dulu menyebabkan penceroboh memasukinya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Pengetua Suwa, Leon Ping Chow, 54, berkata, gara-gara fitnah membabitkan gurunya itu, imej sekolah berkenaan tercalar, malah ada sebahagian ibu bapa pelajar yang mahu menukarkan anak mereka ke sekolah lain kerana bimbang fitnah terbabit.

“Ketika ini, kami tetap menyokong Beng Lee bagi menghadapi fitnah yang tersebar itu dan mengembalikan keyakinannya,” katanya.

Semalam, hampir 30 orang termasuk pelajar dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa pelajar hadir pada majlis pertemuan khas bagi menjelaskan kekeliruan dan fitnah itu selain memberi sokongan kepada guru berkenaan.

Monday, August 9, 2010

Syiah Pembunuh Sayyidina Husain Di Karbala



Seorang tokoh Islam yang terkenal di Pakistan, Maulana Ali Ahmad Abbasi menulis di dalam bukunya "Hazrat Mu'aawiah Ki Siasi Zindagi" bahawa di dalam sejarah Islam, ada dua orang yang sungguh kontroversial. Seorang daripadanya Amirul Mukminin Yazid yang makin lama makin dimusnahkan imejnya walaupun semasa hayatnya beliau diterima baik oleh tokoh-tokoh utama di zaman itu. Seorang lagi ialah Mansor Al Hallaj. Di zamannya dia telah dihukum sebagai mulhid, zindiq dan salah seorang daripada golongan qaramithah oleh masyarakat Islam yang membawanya disalib. Amirul Mukminin Al Muqtadir billah telah menghukumkan beliau murtad berdasarkan fatwa sekalian ulama dan fuqaha' yang hidup pada waktu itu, tetapi imejnya semakin cerah tahun demi tahun sehingga akhirnya telah dianggap sebagai salah seorang ' aulia illah'.

Bagaimanapun semua ini adalah permainan khayalan dan fantasi manusia yang jauh daripada berpijak di bumi yang nyata. Semua ini adalah akibat daripada tidak menghargai dan memberikan penilaian yang sewajarnya kepada pendapat orang-orang pada zaman mereka masing-masing.

Pendapat tokoh-tokoh dari kalangan sabahat dan tabi'in yang sezaman dengan Yazid berdasarkan riwayat-riwayat yang muktabar dan sangat kuat kedudukannya menjelaskan kepada kita bahawa Yazid adalah seorang anak muda yang bertaqwa, alim, budiman, saleh dan pemimpin ummah yang sah dan disepakati kepemimpinannya. Baladzuri umpamanya dalam "Ansabu Al Asyraf" mengatakan bahawa, " Bila Yazid dilantik menjadi khalifah maka Abdullah bin Abbas, seorang tokoh dari Ahlul Bait berkata : " Sesungguhnya anaknya Yazid adalah daripada keluarga yang saleh. Oleh itu tetaplah kamu berada di tempat-tempat duduk kamu dan berilah ketaatan dan bai'ah kamu kepadanya" (Ansabu Al Asyraf, jilid 4, m.s. 4).

Sejarawan Baladzuri adalah di antara ahli sejarah yang setia kepada para Khulafa' Abbasiah. Beliau telah mengemukakan kata-kata Ibnu Abbas ini di hadapan mereka dan menyebutkan pula sebelum nama Yazid ' Amirul Mukminin'.

Abdullah Ibn Umar yang dianggap sebagai orang tua di kalangan sahabat pada masa itu pula bersikap tegas terhadap orang-orang yang menyokong pemberontakan yang dipimpin oleh Ibn Zubair terhadap kerajaan Yazid dan sikap yang begini disebut di dalam Sahih Bukhari bahawa, bila penduduk Madinah membatalkan bai'ah mereka terhadap Yazid bin Muawiyah maka Ibn Umar mengumpulkan anak pinak dan sanak saudaranya lalu berkata, " Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, " Akan dipacakkan bendera untuk setiap orang yang curang (membatalkan bai'ahnya) pada hari kiamat. Sesungguhnya kita telah berbai'ah kepadanya dengan nama Allah dan RasulNya. Sesungguhnya saya tidak mengetahui kecurangan yang lebih besar daripada kita berbai'ah kepada seseorang dengan nama Allah dan RasulNya, kemudian kita bangkit pula memeranginya. Kalau saya tahu ada sesiapa daripada kamu membatalkan bai'ah kepadanya dan turut serta di dalam pemberontakan ini, maka terputuslah perhubungan di antaraku dengannya". (Sahih Bukhari -Kitabu Al Fitan)

Sebenarnya jika dikaji sejarah permulaan Islam kita dapati pembunuhan Sayyidina Husain di zaman pemerintahan Yazidlah yang merupakan fakta terpenting mendorong segala fitnah dan keaiban yang dikaitkan dengan Yazid tidak mudah ditolak oleh generasi kemudian. Hakikat inilah yang mendorong lebih banyak cerita-cerita palsu tentang Yazid diada-adakan oleh musuh-musuh Islam. Tentu sekali orang yang membunuh menantu Rasulullah s.a.w yang tersayang-dibelai oleh Rasulullah dengan penuh kasih sayang semasa hayatnya kemudian ditatang pula dengan menyebutkan kelebihan dan keutamaan-keutamaannya di dalam hadis-hadits Baginda- tidak akan dipandang sebagai seorang yang berperi kemanusiaan apalagi untuk mengatakannya seorang soleh, budiman, bertaqwa dan pemimpin umat Islam.

Kerana itulah cerita-cerita seperti Yazid sering kali minum arak, seorang yang suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan menghabiskan waktu dengan penari-penari, begitu juga beliau adalah orang terlalu rendah jiwanya sehingga suka bermain dengan monyet dan kera, terlalu mudah diterima oleh umat Islam kemudian.

Tetapi soalnya, benarkah Yazid membunuh Sayyidina Husain? Atau benarkah Yazid memerintahkan supaya Sayyidina Husain dibunuh di Karbala?

Selagi tidak dapat ditentukan siapakah pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya dan terus diucapkan ' Yazidlah pembunuhnya' tanpa soal selidik yang mendalam dan teliti, maka selama itulah nama Yazid akan terus tercemar dan dia akan dipandang sebagai manusia yang paling malang. Tetapi bagaimana jika yang membunuh Sayyidina Husain itu bukan Yazid ? Kemanakah pula akan kita bawakan segala tuduhan-tuduhan liar, fitnah dan caci maki yang selama ini telah kita sandarkan pada Yazid itu ?

Jika kita seorang yang cintakan keadilan, berlapang dada, sudah tentu kita akan berusaha untuk membincangkan segala keburukan yang dihubungkan kepada Yazid selama ini dan kita pindahkannya ke halaman rumah pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain yang sebenar. Apalagi jika kita seorang Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sudah tentu dengan dengan adanya bukti-bukti yang kuat dan kukuh daripada sumber-sumber rujukan muktabar dan berdasarkan prinsip-prinsip aqidah yang diterima di kalangan Ahlus Sunnah, kita akan terdorong untuk membersihkan Yazid daripada segala tuduhan dan meletakkannya ditempat yang istimewa dan selayak dengannya di dalam rentetan sejarah awal Islam.

Sekarang marilah kita pergi ke tengah-tengah medan penyelidikan tentang pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala bersama-sama dengan sekian ramai ahli keluarganya.


PEMBUNUH SAYYIDINA HUSAIN ADALAH SYIAH KUFAH

Terlebih dahulu kita akan menyatakan dakwaan kita secara terus terang dan terbuka bahawa pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya bukanlah Yazid tetapi adalah golongan Syiah Kufah.

Dakwaan ini berdasarkan beberapa fakta dan bukti-bukti daripada sumber-sumber rujukan sejarah yang muktabar. Kita akan membahagi-bahagikan bukti-bukti yang akan dikemukakan nanti kepada dua bahagian :

(1) Bukti-bukti utama

(2) Bukti-bukti sokongan


I. BUKTI-BUKTI UTAMA

Dengan adanya bukti-bukti utama ini, tiada mahkamah yang dibangunkan untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan akan memutuskan Yazid sebagai pesalah dan sebagai penjenayah yang bertanggungjawab di dalam pembunuhan Sayyidina Husain. Bahkan Yazid akan dilepaskan dengan penuh penghormatan dan akan terbongkarlah rahsia yang selama ini menutupi pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya di Karbala.

Bukti pertamanya ialah pengakuan Syiah Kufah sendiri bahawa merekalah yang membunuh Sayyidina Husain. Golongan Syiah Kufah yang mengaku telah membunuh Sayyidina Husain itu kemudian muncul sebagai golongan "At Tawwaabun" yang kononnya menyesali tindakan mereka membunuh Sayyidina Husain. Sebagai cara bertaubat, mereka telah berbunuh-bunuhan sesama mereka seperti yang pernah dilakukan oleh orang-orang Yahudi sebagai pernyataan taubatnya kepada Allah kerana kesalahan mereka menyembah anak lembu sepeninggalan Nabi Musa ke Thur Sina.

Air mata darah yang dicurahkan oleh golongan "At Tawaabun" itu masih kelihatan dengan jelas pada lembaran sejarah dan tetap tidak hilang walaupun cuba dihapuskan oleh mereka dengan beribu-ribu cara.

Pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain ini diabadikan oleh ulama-ulama Syiah yang merupakan tunggak dalam agama mereka seperti Baaqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain-lain di dalam buku mereka masing-masing. Baaqir Majlisi menulis :

"Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, " Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh "Ketua Pemuda Ahli Syurga" kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apa-apa". (Jilaau Al'Uyun, m.s. 430)

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalisu Al'Mu'minin bahawa selepas sekian lama (lebih kurang 4 atau 5 tahun) Sayyidina Husain terbunuh, ketua orang-orang Syiah mengumpulkan orang-orang Syiah dan berkata, " Kita telah memanggil Sayyidina Husain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya, kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya. Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita ". Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang-orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, " Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu ". (Al Baqarah :54). Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran "At Tawaabun".

Sejarah tidak melupai dan tidak akan melupai peranan Syits bin Rab'ie di dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala. Tahukah anda siapa itu Syits bin Rab'ie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Sayyidina Husain. Dialah juga yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Sayyidina Husain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Sayyidina Husain. (Jilaau Al'Uyun dan Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37)

Adakah masih ada orang yang ragu-ragu tentang Syiahnya Syits bin Rab'ie dan tidakkah orang yang menceritakan perkara ini ialah Mulla Baaqir Majlisi, seorang tokoh Syiah terkenal ? Secara tidak langsung ia bermakna pengakuan daripada pihak Syiah sendiri tentang pembunuhan itu.

Lihatlah pula kepada Qais bin Asy'ats ipar Sayyidina Husain yang tidak diragui tentang Syiahnya tetapi apa kata sejarah tentangnya? Bukankah sejarah mendedahkan kepada kita bahawa itulah orang yang merampas selimut Sayyidina Husain dari tubuhnya selepas selesai pertempuran ? (Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 192)

Selain daripada pengakuan mereka sendiri yang membuktikan merekalah sebenarnya pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain, kenyataan saksi-saksi yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai saksi-saksi hidup di Karbala yang terus hidup selepas peristiwa ini juga membenarkan dakwaan ini termasuk kenyataan Sayyidina Husain sendiri yang sempat dirakamkan oleh sejarah sebelum beliau terbunuh. Sayyidina Husain berkata dengan menujukan kata-katanya kepada orang- orang Syiah Kufah yang siap sedia bertempur dengan beliau :

" Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-mush di dalam menentang kami ". (Jilaau Al' Uyun, ms 391).
Syiah Pembunuh Sayyidina Husain Di Karbala


Beliau juga berkata kepada Syiah:

"Binasalah kamu! Bagaimana boleh kamu menghunuskan perang dendammu dari sarung-sarungnya tanpa sebarang permusuhan dan perselisihan yang ada di antara kamu dengan kami? Kenapakah kamu siap sedia untuk membunuh Ahlul Bait tanpa sebarang sebab? " (Ibid).

Akhirnya beliau mendoakan keburukan untuk golongan Syiah yang sedang berhadapan untuk bertempur dengan beliau:

"Ya Allah! Tahanlah keberkatan bumi dari mereka dan selerakkanlah mereka. Jadikanlah hati-hati pemerintah terus membenci mereka kerana mereka menjemput kami dengan maksud membela kami tetapi sekarang mereka menghunuskan pedang dendam terhadap kami ". (Ibid)

Beliau juga dirakamkan telah mendoakan keburukan untuk mereka dengan kata-katanya: "Binasalah kamu! Tuhan akan membalas bagi pihakku di dunia dan di akhirat……..Kamu akan menghukum diri kamu sendiri dengan memukul pedang-pedang di atas tubuhmu dan mukamu akan menumpahkan darah kamu sendiri. Kamu tidak akan mendapat keberuntungan di dunia dan kamu tidak akan sampai kepada hajatmu. Apabila mati nanti sudah tersedia azab Tuhan untukmu di akhirat. Kamu akan menerima azab yang akan diterima oleh orang-orang kafir yang paling dahsyat kekufurannya". (Mulla Baqir Majlisi-Jilaau Al'Uyun, m.s. 409).

Daripada kata-kata Sayyidina Husain yang dipaparkan oleh sejarawan Syiah sendiri, Mulla Baqir Majlisi, dapat disimpulkan bahawa:

(i) Diayah yang disebarkan oleh musuh-musuh Islam menerusi penulisan sejarah bahawa pembunuhan Ahlul Bait di Karbala merupakan balas dendam dari Bani Umayyah terhadap Ahlul Bait yang telah membunuh pemimpin-pemimpin Bani Umayyah yang kafir di dalam peperangan Badar, Uhud, Siffin dan lain-lain tidak lebih daripada propaganda kosong semata-mata kerana pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain dan Ahlul Bait di Karbala bukannya datang dari Syam, bukan juga dari kalangan Bani Umayyah tetapi dari kalangan Syiah Kufah.

(ii) Keadaan Syiah yang sentiasa diburu dan dihukum oleh kerajaan-kerajaan Islam di sepanjang sejarah membuktikan termakbulnya doa Sayyidina Husain di medan Karbala ke atas Syiah.

(iii) Upacara menyeksa tubuh badan dengan memukul tubuhnya dengan rantai, pisau dan pedang pada 10 Muharram dalam bentuk perkabungan yang dilakukan oleh golongan Syiah itu sehingga mengalir darah juga merupakan bukti diterimanya doa Sayyidina Husain dan upacara ini dengan jelas dapat dilihat hingga sekarang di dalam masyarakat Syiah.

Adapun di kalangan Ahlus Sunnah tidak pernah wujud upacara yang seperti ini dan dengan itu jelas menunjukkan bahawa merekalah golongan yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain.

(iv) Betapa kejam dan kerasnya hati golongan ini dapat dilihat pada tindakan mereka menyembelih dan membunuh Sayyidina Husain bersama dengan sekian ramai ahli keluarganya walaupun setelah mendengar ucapan dan doa keburukan untuk mereka yang dipinta oleh beliau. Itulah dia golongan yang buta mata hatinya dan telah hilang kewarasan pemikirannya kerana sebaik saja mereka selesai membunuh, mereka melepaskan kuda Zuljanah yang ditunggangi Sayyidina Husain sambil memukul-mukul tubuh untuk menyatakan penyesalan. Dan inilah dia upacara perkabungan pertama terhadap kematian Sayyidina Husain yang pernah dilakukan di atas muka bumi ini sejauh pengetahuan sejarah. Dan hari ini tidakkah anak cucu golongan ini meneruskan upacara perkabungan ini setiap kali tibanya 10 Muharram?

Ali Zainal Abidin anak Sayyidina Husain yang turut serta di dalam rombongan ke Kufah dan terus hidup selepas berlakunya peristiwa itu pula berkata kepada orang-orang Kufah lelaki dan perempuan yang merentap dengan mengoyak-ngoyakkan baju mereka sambil menangis, dalam keadaan sakit beliau dengan suara yang lemah berkata kepada mereka, " Mereka ini menangisi kami. Tidakkah tidak ada orang lain yang membunuh kami selain mereka ?" (At Thabarsi-Al Ihtijaj, m.s. 156).

Pada halaman berikutnya Thabarsi menukilkan kata-kata Imam Ali Zainal Abidin kepada orang-orang Kufah. Kata beliau, " Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasa kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu dahulukan untuk dirimu".

Sayyidatina Zainab, saudara perempuan Sayyidina Husain yang terus hidup selepas peristiwa itu juga mendoakan keburukan untuk golongan Syiah Kufah. Katanya, " Wahai orang-orang Kufah yang khianat, penipu! Kenapa kamu menangisi kami sedangkan air mata kami belum lagi kering kerana kezalimanmu itu. Keluhan kami belum lagi terputus oleh kekejamanmu. Keadaan kamu tidak ubah seperti perempuan yang memintal benang kemudian dirombaknya kembali. Kamu juga telah merombak ikatan iman dan telah berbalik kepada kekufuran...Adakah kamu meratapi kami padahal kamu sendirilah yang membunuh kami. Sekarang kamu pula menangisi kami. Demi Allah! Kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa. Kamu telah membeli keaiban dan kehinaan untuk kamu. Tompokan kehinaan ini sama sekali tidak akan hilang walau dibasuh dengan air apapun". (Jilaau Al ' Uyun, ms 424).

Doa anak Sayyidatina Fatimah ini tetap menjadi kenyataan dan berlaku di kalangan Syiah hingga ke hari ini.

Ummu Kulthum anak Sayyidatina Fatimah pula berkata sambil menangis di atas segedupnya, " Wahai orang-oang Kufah! Buruklah hendaknya keadaanmu. Buruklah hendaklah rupamu. Kenapa kamu menjemput saudaraku Husain kemudian tidak membantunya bahkan membunuhnya, merampas harta bendanya dan menawan orang-orang perempuan dari ahli rumahnya. Laknat Allah ke atas kamu dan semoga kutukan Allah mengenai mukamu".

Beliau juga berkata, " Wahai orang-orang Kufah! Orang-orang lelaki dari kalangan kamu membunuh kami sementara orang-orang perempuan pula menangisi kami. Tuhan akan memutuskan di antara kami dan kamu di hari kiamat nanti". (Ibid, ms 426-428)

Sementara Fatimah anak perempuan Sayyidina Husain pula berkata, " Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami kemudian telah membunuh datukku Ali (Sayyidina Ali). Sentiasa darah-darah kami menitis dari hujung-hujung pedangmu……Tak lama lagi kamu akan menerima balasannya. Binasalah kamu! Tunggulah nanti azab dan kutukan Allah akan berterusan menghujani kamu. Siksaan dari langit akan memusnahkan kamu akibat perbuatan terkutukmu. Kamu akan memukul tubuhmu dengan pedang-pedang di dunia ini dan di akhirat nanti kamu akan terkepung dengan azab yang pedih ".

Apa yang dikatakan oleh Sayyidatina Fatimah bt. Husain ini dapat dilihat dengan mata kepala kita sendiri di mana-mana Syiah berada.

Dua bukti utama yang telah kita kemukakan tadi, sebenarnya sudah mencukupi untuk kita memutuskan siapakah sebenarnya pembunuh Sayyidina Husain di Karbala. Daripada keterangan dalam kedua-dua bukti yang lalu dapat kita simpulkan beberapa perkara :

1.    Orang-orang yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk memberontak adalah Syiah.

2.    Orang-orang yang tampil untuk bertempur dengan rombongan Sayyidina Husain di Karbala itu juga Syiah.

3.     Sayyidina Husain dan orang-orang yang ikut serta di dalam rombongannya terdiri daripada saudara- saudara perempuannya dan anak-anaknya menyaksikan bahwa Syiahlah yang telah membunuh mereka.

4.     Golongan Syiah Kufah sendiri mengakui merekalah yang membunuh di samping menyatakan penyesalan mereka dengan meratap dan berkabung kerana kematian orang-orang yang dibunuh oleh mereka.

Mahkamah di dunia ini menerima keempat-empat perkara yang tersebut tadi sebagai bukti yang kukuh dan jelas menunjukkan siapakah pembunuh sebenar di dalam sesuatu kes pembunuhan, iaitu bila pembunuh dan yang terbunuh berada di suatu tempat, ada orang menyaksikan ketika mana pembunuhan itu dilakukan. Orang yang terbunuh sendiri menyaksikan tentang pembunuhnya dan kemuncaknya ialah pengakuan pembunuh itu sendiri. Jika keempat-empat perkara ini sudah terbukti dengan jelas dan diterima oleh semua mahkamah sebagai kes pembunuhan yang cukup bukti-buktinya, maka bagaimana mungkin diragui lagi tentang pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain itu ?


II. BUKTI-BUKTI SOKONGAN

Walaubagaimanapun kita akan mengemukakan lagi beberapa bukti sokongan supaya lebih menyakinkan kita tentang golongan Syiah itulah sebenarnya pembunuh Sayyidina Husain. Di antaranya ialah :

1. Tidak sukar untuk kita terima mereka sebagai pembunuh Sayyidina Husain apabila kita melihat kepada sikap mereka yang biadap terhadap Sayyidina Ali dan Sayyidina Hasan sebelum itu. Begitu juga sikap mereka yang biadap terhadap orang-orang yang dianggap oleh mereka sebagai Imam selepas Sayyidina Husain. Bahkan terdapat banyak pula bukti yang menunjukkan merekalah yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beberapa orang Imam walaupun mereka menuduh orang lain sebagai pembunuh Imam- imam itu dengan menyebar luaskan propaganda- propaganda mereka terhadap tertuduh itu.

Di antara kebiadapan mereka terhadap Sayyidina Ali ialah mereka menuduh Sayyidina Ali berdusta dan mereka pernah mengancam untuk membunuh Sayyidina Ali. Bahkan Ibnu Muljim yang kemudiannya membunuh Sayyidina Ali itu juga mendapat latihan serta didikan untuk menentang Sayyidina Utsman di Mesir dan berpura-pura mengasihi Sayyidina Ali. Dia pernah berkhidmat sebagai pengawal Sayyidina Ali selama beberapa tahun di Madinah dan Kufah.

Di dalam Jilaau Al' Uyun disebutkan bahawa Abdul Rahman Ibn Muljim adalah salah seorang daripada kumpulan yang terhormat yang telah dikirimkan oleh Muhammad bin Abu Bakr dari Mesir. Dia juga telah berbai'ah dengan memegang tangan Sayyidina Ali dan dia juga berkata kepada Sayyidina Hasan, " Bahawa aku telah berjanji dengan Tuhan untuk membunuh bapamu dan sekarang aku menunaikannya. Sekarang wahai Hasan jika engkau mahu membunuhku, bunuhlah. Tetapi kalau engkau maafkan aku, aku akan pergi membunuh Muawiyah pula supaya engkau terselamat daripada kejahatannya". (Jilaau Al U'yun, ms 218)
Syiah Pembunuh Sayyidina Husain Di Karbala


Tetapi setelah golongan Syiah pada ketika itu merasakan perancangan mereka semua akan gagal apabila perjanjian damai di antara pihak Sayyidina Ali dan Muawiyah dipersetujui, maka golongan Syiah yang merupakan musuh-mush Islam yang menyamar atas nama Islam itu memikirkan diri mereka tidak selamat apabila perdamaian antara Sayyidina Ali dan Muawiyah berlaku. Maka segolongan dari mereka telah mengasingkan diri daripada mengikuti Sayyidina Ali dan mereka menjadi golongan Khawarij sementara segolongan lagi tetap berada bersama Sayyidina Ali. Perpecahan yang berlaku ini sebanarnya satu taktik mereka untuk mempergunakan Sayyidina Ali demi kepentingan mereka yang jahat itu dan untuk berselindung di sebalik beliau daripada hukuman kerana pembunuhan Khalifah Utsman.

Sayyidina Hasan pula pernah ditikam oleh golongan Syiah pehanya sehingga tembus kemudian mereka menunjukkan pula kebiadapannya terhadap Sayyidina Hasan dengan merampas harta bendanya dan menarik kain sejadah yang diduduki oleh Sayyidina Hasan. Ini semua tidak lain melainkan kerana Sayyidina Hasan telah bersedia untuk berdamai dengan pihak Sayyidina Muawiyah. Bahkan bukan sekadar itu saja mereka telah menuduh Sayyidina Hasan sebagai orang yang menghinakan orang-orang Islam dan sebagai orang yang menghitamkan muka orang-orang Mukmin.

Kebiadaban Syiah dan kebusukan hatinya ditujukan juga kepada Imam Jaafar As Shadiq bila seorang Syiah yang sangat setia kepada Imam Jaafar As Shadiq iaitu Rabi' menangkap Imam Jaafar As Shadiq dan membawanya kehadapan Khalifah Al-Mansur supaya dibunuh. Rabi' telah memerintahkan anaknya yang paling keras hati supaya menyeret Imam Jaafar As Shadiq dengan kudanya. Ini tersebut di dalam kitab Jilaau Al ' Uyun karangan Mulla Baqir Majlisi.

Di dalam kitab yang sama pengarangnya juga menyebutkan kisah pembunuhan Ali Ar Ridha iaitu Imam yang ke lapan di sisi Syiah, bahawa beliau telah dibunuh oleh Sabih Dailamy, seorang Syiah kental dengan perintah Al Makmun. Bagaimanapun diceritakan bahawa selepas dibunuh itu Imam Ar Ridha dengan mukjizatnya terus hidup kembali dan tidak ada langsung kesan-kesan pedang di tubuhnya.

Bagaimanapun Syiah telah menyempurnakan tugasnya untuk membunuh Imam Ar Ridha. Oleh itu tidaklah hairan golongan yang sampai begini biadapnya terhadap Imam-imam boleh membunuh Sayyidina Husain tanpa belas kasihan di medan Karbala.

Boleh jadi kita akan mengatakan bagaimana mungkin pengikut-pengikut setia Imam-imam ini yang dikenali dengan 'syiah' boleh bertindak kejam pula terhadap Imam-imamnya? Tidakkah mereka sanggup mempertahankan nyawa demi mempertahankan Iman-imam mereka? Secara ringkas bolehlah kita katakan bahawa 'perasaan kehairanan' yang seperti ini mungkin timbul dari dalam fikiran Syiah, yang tidak mengetahui latar belakang kewujudan Syiah itu sendiri. Mereka hanya menerima secara membabi buta daripada orang-orang terdahulu. Adapun orang-orang yang mengadakan sesuatu fahaman dengan tujuan-tujuan yang tertentu dan masih hidup ketika mana ajaran dan fahaman itu mula dikembangkan tentu sekali mereka sedar maksud dan tujuan mereka mengadakan ajaran tersebut. Pada lahirnya mereka menunjukkan taat setia dan kasih sayang kepada Imam-imam itu, tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.

2. Di antara bukti yang menunjukkan tidak ada peranan Yazid dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala, bahkan golongan Syiahlah yang bertanggungjawab membunuh beliau bersama dengan ramai orang-orang yang ikut serta di dalam rombongan itu, ialah adanya hubungan persemendaan di antara Bani Hasyim dan Bani Umayyah, selepas berlakunya peperangan Siffin dan juga selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala.


Tidak mungkin orang-orang yang bermaruah seperti kalangan Ahlul Bait akan berkahwin dengan orang-orang yang diketahui oleh mereka sebagai pembunuh-pembunuh atau orang-orang yang bertanggungjawab di dalam membunuh ayah, datuk atau bapa saudara mereka Sayyidina Husain. Hubungan ini selain daripada menunjukkan pemerintah-pemerintah dari kalangan Bani Muawiyah dan Yazid sebagai orang yang tidak bersalah di dalam pembunuhan ini, ia juga menunjukkan mereka adalah golongan yang banyak berbudi kepada Ahlul Bait dan sentiasa menjalinkan ikatan kasih sayang di antara mereka dan Ahlul Bait.

Di antara contoh hubungan persemendaan ini ialah:

(1) Anak perempuan Sayyidina Ali sendiri bernama Ramlah telah berkahwin dengan anak Marwan bin Al-Hakam yang bernama Muawiyah iaitu saudara kepada Amirul Mukminin Abdul Malik bin Marwan. (Ibn Hazm-Jamharatu Al Ansab, m.s. 80)

(2) Seorang lagi anak perempuan Sayyidina Ali berkahwin dengan Amirul Mukminin Abdul Malik sendiri iaitu khalifah yang ke empat daripada kerajaan Bani Umaiyah. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 9 m.s. 69)

(3) Seorang lagi anak perempuan Sayyidina Ali iaitu Khadijah berkahwin dengan anak gabenor 'Amir bin Kuraiz dari Bani Umaiyah bernama Abdul Rahman. (Jamharatu An Ansab, m.s. 68). 'Amir bin Kuraiz adalah gabenor bagi pihak Muawiyah di Basrah dan dalam peperangan Jamal dia berada di pihak lawan Sayyidina Ali.

Cucu Sayyidina Hasan pula bukan seorang dua yang telah berkahwin dengan pemimpin-pemimpin kerajaan Bani Umaiyah bahkan sejarah telah mencatatkan 6 orang daripada cucu beliau telah berkahwin dengan mereka iaitu:-

1.     Nafisah bt Zaid bin Hasan berkahwin dengan Amirul Mukminin Al Walid bin Abdul Malik bin Marwan.

2.     Zainab bt Hasan Al Mutsanna bin Hasan bin Ali juga telah berkahwin dengan Khalifah Al Walid bin Abdul Malik. Zainab ini adalah di antara orang yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain ke Kufah dan dia adalah salah seorang yang menyaksikan peristiwa pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala dengan mata kepalanya sendiri.

3.    Ummu Qasim bt Hasan Al Mutsanna bin Hasan bin Ali berkahwin dengan cucu Sayyidina Uthman iaitu Marwan bin Aban. Ummu Qasim ini selepas kematian suaminya Marwan berkahwin pula dengan Ali Zainal Abidin bin Al Husain.

4.     Cucu perempuan Sayyidina Hasan yang keempat telah berkahwin dengan anak kepada Marwan bin Al-Hakam iaitu Muawiyah.

5.     Cucu Sayyidina Hasan yang kelima bernama Hammaadah bt Hasan Al Mutsanna berkahwin dengan anak saudara Amirul Mukminin Marwan bin Al Hakam iaitu Ismail bin Abdul Malik.

6.     Cucu Sayyidina Hasan yang keenam bernama Khadijah bt Husain bin Hasan bin Ali juga pernah berkahwin dengan Ismail bin Abdul Malik yang tersebut tadi sebelum sepupunya Hammaadah.


Perlu diingat bahawa semua mereka yang tersebut ada meninggalkan zuriat.

Dari kalangan anak cucu Sayyidina Husain pula ramai yang telah menjalinkan perkahwinan dengan individu-individu dari keluarga Bani Umaiyah, antaranya ialah:-

(1) Anak perempuan Sayyidina Husain yang terkenal bernama Sakinah. Selepas beberapa lama terbunuh suaminya Mus'ab bin Zubair, beliau telah berkahwin dengan cucu Amirul Mukminin Marwan iaitu Al Asbagh bin Abdul Aziz bin Marwan. Asbagh ini adalah saudara kepada Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz sedangkan isteri Asbagh yang kedua ialah anak kepada Amirul Mukminin Yazid iaitu Ummu Yazid. (Jamharatu Al -Ansab)

(2) Sakinah anak Sayyidina Husain yang tersebut tadi pernah juga berkahwin dengan cucu Sayyidina Uthman yang bernama Zaid bin Amar bin Uthman.

Sementara anak cucu kepada saudara-saudara Sayyidina Husain iaitu Abbas bin Ali dan lain-lain juga telah mengadakan perhubungan persemendaan dengan keluarga Umaiyah. Di antaranya yang boleh disebutkan ialah:-

Cucu perempuan kepada saudara Sayyidina Husain iaitu Abbas bin Ali bernama Nafisah bt Ubaidillah bin Abbas bin Ali berkahwin dengan cucu Amirul Mukminin Yazid yang bernama Abdullah bin Khalid bin Yazid bin Muawiyah. Datuk kepada Nafisah ini iaitu Abbas bin Ali adalah di antara orang yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain ke Kufah. Beliau terbunuh dalam pertempuran di medan Karbala .
                                    

Sekiranya benar cerita yang diambil oleh ahli -ahli sejarah dari Abu Mukhnaf, Hisyam dan lain–lain tentang kezaliman Yazid di Karbala yang dikatakan telah memerintah supaya tidak dibenarkan setitik pun air walaupun kepada kanak–kanak yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain itu sehingga mereka mati kehausan apakah mungkin perkahwinan di antara cucu kepada Abbas ini berlaku dengan cucu Yazid. Apakah kekejaman–kekejaman yang tidak ada tolak bandingnya seperti yang digambarkan di dalam sejarah boleh dilupakan begitu mudah oleh anak – anak cucu orang–orang yang teraniaya di medan Karbala itu? Apa lagi jika dilihat kepada zaman berlakunya perkahwinan mereka ini, bukan lagi di zaman kekuasaan keluarga Yazid, bahkan yang berkuasa pada ketika itu ialah keluarga Marwan. Di sana tidak terdapat satu pun alasan untuk kita mengatakan perkahwinan itu berlaku secara kekerasan atau paksaan.


Perkahwinan mereka membuktikan kisah–kisah kezaliman yang dilakukan oleh tentera Yazid ke atas rombongan Sayyidina Husain itu cerita–cerita rekaan oleh Abu Mukhnaf, Al Kalbi dan anaknya Hisyam dan lain–lain.


Cucu perempuan kepada saudara Sayyidina Husain, Muhammad bin Ali (yang terkenal dengan Muhammad bin Hanafiyah) bernama Lubabah berkahwin dengan Said bin Abdullah bin Amr bin Said bin Al Ash bin Umaiyah. Ayah kepada Lubabah ini ialah Abu Hisyam Abdullah yang dipercayai sebagai imam oleh Syiah Kaisamyyah .



Demikianlah serba ringkasnya dikemukakan hubungan persemendaaan yang berlaku di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim terutamanya dari anak cucu Sayyidina Ali, Hasan dan Husain. Hubungan persemendaan di antara mereka sangat banyak terdapat di dalam kitab-kitab Ansab dan sejarah. Maklumat lebih lanjut boleh dirujuk dari kitab–kitab seperti Jamratu Al Ansab, Nasbu Quraisy, Al Bidayah Wa An Nihayah, Umdatu Al Thalib Fi Ansab Aal Abi Thalib dan lain–lain .





Saringan oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff

Monday, May 31, 2010

FITNAH? FD - 1



Fitnah?  Ya "FITNAH" adalah penyakit yang terpaksa dihadapi oleh umat terakhir. Kecelakaan yang dibawa oleh fitnah ini amat besar dan merosakkan. Manusia penghuni bumi sudah memasuki fasa penghujung dalam ruang fitnah ini.  Telah lama ia menghurungi dunia meliputi seluruh urat saraf kehidupan dan hanya sedikit sahaja yang menyedari kehadirannya. Segala apa pun yang mendatang, ia akan menyakiti sama ada dalam sedar atau tidak.  Ramai yang menyedari kelibatnya, namun tidak dapat menghindar darinya.  Amat malang bagi umat akhir zaman ini.  Namun ia tidak dapat dielakkan. Apakah sudah tamat segala peluang?

Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (Riwayat Tirmizi)



Hadis di atas adalah satu kiasan yang cukup lembut, pada luarannya tidak nyata terselit kiasan.  Kalau dikaji betul-betul, Rasulullah memberi panduan dan semangat kepada umatnya.  Terdapat disitu paduan antara kejayaan dan kegagalan umatnya menghadapi saat genting tersebut.  Sabda Rasulullah saw itu dinamai kias kerana ada perkataan “laksana” didalamnya.  Maksud disini ialah”seolah-olah”, iaitu satu “gambaran” bagaimana sukarnya golongan yang memegang sunnah dan alQuran sebagai panduan. Golongan inilah yang berjaya mengharungi kepayahan dan kerumitan situasi akhir zaman, baginda juga memberitahu bahawa ramai dikalangan umatnya akan gagal, tetapi bukan keseluruhannya.

Hadis berkenaan mengingatkatkan umat Islam tentang  amaran bencana yang bakal memerangkap mereka.  Seharusnya setiap umat Islam berusaha mencintai agama suci ini dengan sepenuh hati dan mempertahankannya walau dengan darah sekalipun. Disamping itu berusaha bersungguh-sungguh mencari keselamatan pada saat-saat huruhara di penghujung zaman.  Rasulullah saw menyatakan bahawa masih ada sebilangan umat baginda (di akhir zaman) yang sayang kepada agama, hidup dengan sunnah Rasulullah saw dan mematuhi segala suruhan dan larangan Allah swt walaupun diselubungi pelbagai fitnah. Mereka menggenggam erat dan tidak sekali-kali akan melepaskannya walau apa pun yang terjadi.

Rasulullah SAW bersabda: “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang makan dengan rakus.” Sahabat bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam lemah dan musuh sangat kuat?” Sabda Rasulullah, “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak berarti dan tidak menakutkan musuh. Mereka ibarat buih di laut.” Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?” Jawab Rasulullah, “Kerana ada dua penyakit iaitu mereka ditimpa penyakit Al Wahan.” Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu Al Wahan?” Rasulullah bersabda,“Cinta dunia dan takut mati".

Mereka ini, membawa amalan Rasulullah saw  melalui 4 sifat agung kemanusiaan iaituSiddiq – Benar dalam semua tingkahlaku dan perkataan, Amanah – Jujur dalam semua urusan, Tabligh – Menyampaikan setiap kebenaran dan menunjuk ajar hal berkaitan dengan kejujuran kepada mereka yang bertanya kepadanya samada melalui perkataan atau perbuatan (hanya kepada mereka yang ikhlas serta benar-benar memerlukan), Fathonah – Bijaksana dalam semua hal, termasuk adab dan tertib menyampaikan ilmu, terutama yang berkait dengan Siddiq dan Amanah.  Hanya melakukan apa yang perlu dan mengepikan perbuatan sia-sia.  


Umat ini amat takut kepada kemurkaan Allah dan amat kasih (tak berbelah bahagi) kepada baginda Rasulullah saw.  Setiap malam mereka menangis mengenangkan kedudukan mereka disisi keagungan Allah swt.  Tersedu sedan meminta keampunan dan berhiba mensyukuri segala kurniaan dariNya.  Mereka tidak akan mempertontonkan segala amalan yang mereka lakukan kerana ia khusus untuk Allah semata-mata.  Kata lain yang lebih mudah, mereka bimbang dan takut terbawa bersama sifat yang "mensyirikkan Allah" iaitu Riak, Sam'ah dan 'Ujub.  Menghidupkan malam, kurang tidur, kurang makan, kurang berkata-kata.  Hati mereka hidup dan berterusan mengingati Allah swt, tidak pernah lalai.  

Inilah kumpulan manusia beriman yang digelar sebagai “Ahli Sunnah wal Jamaah” oleh Rasulullah saw.  Pada masa ini, ramai yang menyangka dan mengambil faham nahawa Ahli Sunnah wal Jamaah yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu adalah kalangan umat dalam 4 mazhab kumpulan ASWJ atau pun Sunni.  Kedudukan sebenar sabda Rasulullah saw itu ialah umat baginda yang benar-benar mengamalkan Siddiq Amanah Tabligh Fathonah, tidak kira dari mazhab mana sekalipun.
Memang diketahui bahawa tidak ramai dikalangan umat Rasulullah saw yang mampu melaksanakan tanggungjawab berat sebagai KHALIFAH di muka bumi ini.  Inilah pakaian para Khalifah Allah yang selama ini tidak diambil peduli malah ada yang mempersenda dan menganggapnya sebagai lapuk, kuno dan ketinggalan.  Ada juga yang lebih berani sanggup mengkritik peribadi Rasulullah saw dengan sindiran yang tidak wajar sambil tersenyum simpul.

Malah lebih melucukan, bila ulamak yang disegani serta disanjung telah memberi kata-kata pujian kepada kaum kuffar (terutama jika mereka dari jenis HARBI) yang memperolokkan ayat-ayat alQuran dalam ucapan semata untuk memancing sokongan dari orang Islam.  Apakah kaum kuffar yang engkar itu ikhlas dalam ucapannya dan adakah dia benar-benar memahami agama suci ini?  Apa yang kita lihat ia hanya sandiwara, sekadar mainan kata-kata dan tidak mustahil pula tersenyum lebar dan berseloroh dengan rakan-rakan di belakang kita.  Orang Islam Malaysia sangat naif dan daif, begitu mudah tertipu.

Sebenarnya itulah realiti umat Islam sekarang, umpama buih di lautan.  Mudah diperkotak katik sewenang-wenangnya.  Musuh Islam tidak sedikit pun merasa takut dan gentar kepada orang Islam.  Sepatutnya ada lah sekelumit rasa hurmat serta malu untuk memperlakukan perbuatan yang boleh melukakan hati orang Melayu (Islam?) yang mana selama ini melayan mereka dengan baik.  Sehingga sanggup menerima mereka dengan tangan terbuka, memberi mereka tumpang sambil mengaut kekayaan di negara ini.


Kita lupakan dahulu soal politik dan demokrasi sekular ini.  Demokrasi sekular ini juga merupakan salah satu fitnah yang tersangat sadis, yang mana telah meruntuhkan kekuatan iman dan memecah belahkan umat (menjadi seteru antara satu sama lain).  Perbuatan yang amat dilarang dalam Islam.  Panjang kisahnya jika hendak diperkatakan.  Jika ada kesempatan saya akan menghuraikan kenapa demokrasi ini dianggap sebagai satu fitnah besar akhir zaman, insyaallah.


Pada pandangan awam (bukan mukhlisin wa lahuddin walau karihal kafirun), ia kelihatan amat perit, berat dan sukar untuk melaksana sifat Rasulullah saw itu lantaran keegoan melampau dan habitat moden melayani hawa nafsu..  Padahal Rasulullah saw melaksanakan peribadi mulia ini sebagai contoh ikutan kepada umatnya.  Itulah cara hidup Islam sebenar yang sewajarnya diamalkan. 


Umat yang hidup pada akhir zaman ini, adalah manusia yang terlalu banyak terdedah dan tercemar dengan pelbagai virus fitnah dan akhirnya menjadi alat penyambung fitnah pula.  Tentulah amat sukar untuk melepaskan diri darinya setelah merasa selesa.  

Tanpa disedari mereka telah terpedaya dan keliru sehingga gagal memperbaiki diri walaupun berusaha bermati-matian  mencari kebenaran. Mencari kebenaran atas flatfom palsu.  Fitnah itu ditegakkan atas landasan DUSTA (kepalsuan).  Raja Dusta ialah manusia paling terkutuk di atas muka bumi iaitu Dajjal yang dilaknat Allah.  Sebab itulah ia disebut Fitnah Dajjal walaupun Dajjal belum menzahirkan diri.  Saya ada sentuh soal ini dalam post yang terdahulu. (klik)

Fitnah akhir zaman itu mempunyai sifat yang berlawanan dengan sunnah Rasulullah saw (Siddiq, Amanah, Tabligh, Fathonah).  Sebab itu ia kelihatan janggal pada mereka yang telah terpengaruh dan selesa hidup dalam kepalsuan.  Mereka (orang awam) telah mengamalkan tatacara hidup moden dan mempelajari falsafah hidup dari kumpulan yang bergelumang fitnah dan menyebar fitnah. Oleh itu tidak hairanlah mereka membuat tanggapan yang salah dan menilai melalui akal, hati dan pengalaman mereka yang telah dipesongkan.  

Sebagai manusia yang ikhlas dan jujur, lain pula keadaannya.  Mereka tidak pernah memikirkannya pun (fitnah), kerana hati mereka tidak merasai sebarang kepayahan dan kegetiran melakukan amalan agama dalam kehidupan seharian.  Hidup mereka sangat sederhana dan tenang walaupun tidak mempunyai kekayaan material.

Dalam amalan seharian, mereka tidak mencampuri urusan selain dari keperluan diri dan keluarga mereka malah tidak pernah terfikir pun apa yang diperkatakan oleh orang lain (mengenai kesukaran itu).  Mereka tidak merasakan bahawa mereka itu adalah golongan manusia yang memegang bara api.    Perkataan “umpama” itu adalah penilaian orang sekeliling yang memandang kesusahan luaran.  

Mereka sendiri dengan sengaja memilih untuk hidup dalam keadaan sebegitu kerana keperluan dan keutamaan mereka bukanlah untuk dunia ini.  Dunia sekadar perhentian sementara sebelum menyambung perjalanan yang jauh lebih panjang selepas itu.  Pada zahirnya tentulah kelihatan susah dan miskin, ketinggalan dari arus perdana.  Mereka tidak ambil kisah pun kerana hati mereka puas dengan ketenangan dan kebahagiaan yang Allah anugerahkan kepada mereka.  Mereka hanya menyahut seruan fi sabilillah apabila tiba waktu.

Hidup low frofile adalah lebih aman dan sentosa dari terkejar-kejar harta benda dunia yang tak seberapa pada pandangan mereka.  Mereka dilihat sebagai orang susah dan menderita akibat melarikan diri dari fitnah yang dianjurkan oleh Yakjud Makjud bersesuaian dengan fitnah Dajjal tersebut.  Seolah betapa sakit dan deritanya manusia yang menjaga agamanya. 

Pemerhati lazimnya akan bersangka sebagaimana yang dia rasa jika dia yang berada ditempat itu dan melakukan ritual golongan Sunnah wal Jamaah tersebut. Padahal keikhlasan hati manusia beriman ini mempunyai kuasa yang cukup hebat dan sebab itulah mereka dapat melindungi diri mereka dari tercemar.  Sesuai pula  disebut sebagai pertolongan terus dari Allah serta mendapat rezeki yang tidak terhitung. Hanya orang sekeliling sahaja sebagai pemerhati melihat betapa perit dan beratnya para mukhlisin ini melaksanakan perintah Allah.  Orang yang ikhlas sahaja yang akan dapat menikmati kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Di akhir zaman akan wujud kecelaruan yang amat dahsyat sehingga kumpulan yang lemah dan tidak berilmu akan tertipu dengan mudah.  Kumpulan ini akan mempercayai sepenuhnya apa yang diperkatakan oleh orang-orang yang mereka anggap "berstatus tinggi dalam institusi agama", yang ada nama dan kedudukan.  Sementara kumpulan yang cerdik berakal dan berpelajaran tinggi pula bersikap amat kritis, memperincikan setiap keterangan kerana mereka ini telah dijangkiti satu wabak yang amat serius iaitu penyakit was-was. 

Bagi yang lebih ekstrim pula, gemar berhujah mempersoalkan sesuatu hukum, atas tujuan kononnya untuk mempastikan ia adalah benar sebenar-benarnya (kebenaran umpama 1+1=2).  Seringkali pula mereka menolaknya kerana hujah yang diberi tidak memuaskan hati mereka.  Sebahagian lagi sudah tidak mempercayai hadis Rasulullah saw kerana bimbang (kononya) tertipu oleh Hadis Palsu.  Kumpulan ini kerapkali menempelak orang yang tak se"genius" mereka.  Mereka terlupa bahawa kedangkalan ilmu hakiki dan tasauf yang mereka miliki menyebabkan mereka sukar memahami kedudukan sebenar isu agama.  Tambahan pula sumber ilmu mereka berpaksikan dunia Barat.

Walaupun mereka (sebahagian) dari kedua-dua kumpulan ini tidak bersalah disebabkan "kejahilan" tetapi malangnya golongan ini tetap akan menjauhi agama dalam "arti kata sebenar" (Lillahi Taala).  Mereka hanya akan menzalimi dirinya sendiri dalam kancah fitnah dan terus menerus mencipta fitnah demi fitnah kerana kedangkalan ilmu.  Punca kenapa mereka tidak dapat menghayati keindahan Islam ialah kerana mereka hanya meneroka ilmu dari kumpulan professional terutama yang ada gelaran Phd atau sekurang-kurangnya berkelulusan Universiti Azhar, Mesir.  Dengan sebab itu mereka mudah dijadikan tawanan serta hamba Dajjal sekaligus menyertai kumpulan Yakjuj dan Makjuj (99.9 peratus penduduk dunia).

Golongan yang hidup atas sikap jujur dan ikhlas, hati dan fikiran mereka bersih dari kekotoran nafsu serakah mazmumah.  Hidup secara sederhana, besyukur dengan apa yang ada, tidak sombong dan kurang berkata-kata kecuali perkara perlu (yang berkaitan dengan diri dan keluarga mereka sahaja).  Tidak menyakiti makhluk dan tidak suka bermusuh.  Mereka inilah yang Berjaya melepasi sebarang fitnah kerana fitnah tidak melekat pada hati mereka, cuma ianya  melintas lalu hadapannya sahaja. Bukankah Allah pernah berfirman mengenai "hati" ini bahawa Dia tidak memandang apa yang kita lakukan tetapi memandang "hati" kita.  "Hati" inilah nilai diri kita yang sebenar.

Sayangnya golongan yang berjaya ini teramat sedikit bilangannya tambahan pula mereka terselindung dan tersisih akibat dari kurangnya percampuran dalam masyarakat.  Itulah maksudnya “di akhir zaman golongan soleh dan bertaqwa membawa iman mereka dari satu bukit ke satu bukit dari satu gua ke satu gua”.  Hidup mereka diibaratkan oleh orang ramai sebagai “melukut ditepi gantang” tidak diperdulikan.


Kumpulan yang terselamat dari fitnah hanyalah satu dari 73 fikrah (golongan), daripada kumpulan yang satu ini terbahagi pula kepada 3 kumpulan kecil dan hanyasatu sahaja yang benar-benar selamat iaitu mereka yang ikhlas (mukhlisin), membawa sunnah nabi dan menerima alQuran sebagai pegangan mutlak (Ahli Sunnah wal Jamaah).  Tidak mustahil inilah kelompok manusia pilihan yang akan menganggotai bala tentera Imam Mahadi di akhir zaman.  
Sementara dua pecahan lagi hanya terselamat setelah mereka melakukan pengorbanan yang besar dan bersungguh-sungguh untuk mencapainya.  Jika tidak mereka terpaksa melalui peroses "penyucian" di alam akhirat nanti.  Mereka inilah kumpulan yang menjaga agamanya seperti "meggenggam bara api".   72 dari 73 kumpulan Muslimin yang lainnya terperangkap dan terjebak ke dalam kancah fitnah,  akan menghuni neraka jahannam bersama Yakjuj dan Makjuj.

Kita berbalik kepada hadis yang selalu disebutkan sejak akhir-akhir ini iaitu hanya satu dari seribu anak Adam yang selamat dari api neraka, sementara 999 lagi tergolong dalam kumpulan makhluk perosak yang bernama Yakjuj dan Makjuj (didalamnya termasuk juga 72 golongan umat Muhammad).  Allah lebih mengetahui segala rahsia.

……. Bersambung, insyaallah.

siri berikutnya: FD II nanti, akan saya akan cuba kupaskan apakah bentuk-bentuk  fitnah yang melanda umat hari ini.  Bilakah ia bermula dan apa yang dapat kita lihat tandanya dihadapan mata kita. Dunia reality.

Apa yang dimaksudkan alQuran akan diangkat, hilang? ….. kita akan bicarakan mengenainya nanti. Insyaallah.



Terima Kasih kerana membaca, wassalam.