Salam petang Jumaat kedua bulan Sya'aban. Jumaat lalu saya telah menulis dan mempersembahkan artikel Tentang kemahiran menafsir untuk menceritakan tentang majlis ilmu yang berlangsung di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi itu. Ini pula adalah tentang majlis ilmu seterusnya yang berlangsung di institusi sama petang semalam.
Majlis kali ini diberi tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Mengingati Ahmad Adam : Sejarawan dan ahli mengkaji Indonesia". Ia merujuk pada almarhum Profesor Emeritus Ahmat Adam yang meninggal dunia pada 3 November 2025, pada usia lebih 84 tahun.
Untuk itu sejumlah pembentang akan bercakap tentang tokoh.
Selepas menunaikan solat kemudian beriktikaf juga menyambung bacaan Al-Quran bagi proses pengkhataman bulan Sya'aban baru ke dewan untuk majlis yang bermula jam 2.30.
Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang mengetuai unit Tamadun Melayu di ISTAC memperkenalkan majlis. Beliau yang bertindak sebagai convener iaitu penganjur menyatakan Ahmat Adam sebagai tokoh yang patut diraikan. Diceritakan bagaimana semenjak almarhum meninggal dunia kurang 3 bulan lalu telah difikirkan mahu menganjurkan majlis. Akhirnya baru jadi...
Di sini tak perlulah dinyatakan biodata atau kredibiliti Ahmat Adam. Almarhum cukup dikenali sebagai seorang intelektual negara. Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar mengambil tempat sebagai pembentang pertama. Diceritakanlah beliau mengenali Ahmat ketika sama-sama belajar di London tahun 60an. Kedua-duanya aktif dalam kalangan pelajar Malaysia memikirkan hal-hal kenegaraan dan nasib bangsa.
Pembentang kedua Profesor Dr Zaid Ahmad, seorang pensyarah UIAM, menceritakan pengalaman mengenali Ahmat sejak hadir sebagai anak murid dalam satu kelas pada tahun 1980an. Beliau melihat almarhum sebagai seorang yang gigih mengkaji lalu mempertahankan integriti keilmuan.
Pembentang ketiga, Profesor Dr Mohd Samsudin, timbalan pengerusi jawatankuasa eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia menyatakan hal serupa. Cuma jika Zaid pernah mengikuti satu sahaja kelas, Mohd memang anak murid Ahmat sepanjang membuat ijazah pertama di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) tahun 1980an.
Pembentang keempat, Dr Siti Hadija Mohd, pembantu profesor di Jabatan Sejarah, UIAM pula mengaku mengenali Ahmat dari jauh.
Beliau yang kelihatan dua dekad lebih muda daripada dua pembentang sebelumnya adalah satu-satunya pembentang yang mengemukakan sejumlah slaid.
Hadija menyatakan diri sebagai generasi kemudian sejarawan yang cuma dapat mengikuti pemikiran almarhum melalui penulisan, syarahan umum dan sebagainya.
Sifat-sifat almarhum dalam menanggapi ilmu dilihat sebagai contoh yang patut diikuti para sejarawan kemudian.
Beliau menyatakan ada menulis satu bab buku yang didekasikan kepada almarhum.
Seterusnya Murad Merican bercakap lagi, kali ini sebagai pembentang kelima.
Ditunjukkan gambar beberapa buku tulisan almarhum. Dinyatakan buku bertajuk "Suara Minangkabau" menarik minat untuk berhubung lalu selalu bertukar fikiran. Dinyatakan Ahmat sebagai seorang sejarawan intelektual dan ahli falsafah bidang. Disebut almarhum sebagai seorang Indonesianist (seperti terpapar pada tajuk majlis, saya terjemahkan sebagai ahli mengkaji Indonesia) kerana banyak mengkaji tentang hal pulau Jawa dan struktur masyarakat lalu memberitahu umum.
Pembentang keenam, Profesor Madya Dr Mehmet Ozay dari ISTAC merupakan satu-satunya bangsa asing berkongsi pengalaman. Berasal dari Turki tapi kemudian berumahtangga dengan wanita Aceh beliau menyatakan mula berhubung lalu mengenali Ahmat 3 tahun lalu untuk kajian tentang Sumatera Utara.
Pembentang ketujuh dan terakhir, saudara Imran Hidayat pula berkongsi pengalaman sebagai anak. Sifat tegas ayahandanya dalam memartabatkan ilmu sudah disebut pembentang-pembentang lain, Lalu beliau kelihatan lebih meluahkan rasa tentang bagaimana susahnya membesarkan dalam bayangan bapa yang dianggap sebagai seorang tokoh ilmuwan besar sebelum dapat menentukan hala tuju hidup sendiri dengan penuh keyakinan. Untuk mengikuti sendiri majlis sila tonton rakaman di bawah...
Saya sendiri telah mengenali almarhum selewatnya tahun 2011, kerana selalu terserempak di majlis ilmu. Dalam beberapa majlis kelihatan beliau 'bertekak' dengan sejarawan-sejarawan lain, agak selalu juga dengan Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, tokoh yang dianggap guru utama saya dalam dunia kajian sejarah. Ada sekali itu terserempak di UKM ketika berjalan kaki untuk menunaikan solat Jumaat di masjid selepas menghadiri satu majlis. Beri salam pun tidak, helo pun tidak tiba-tiba sahaja dengan suara lantang beliau menyebut Hang Tuah tidak wujud. Nampaknya itu reaksi akibat melihat saya memakai busana tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Lihat tulisan-tulisan lama saya melibatkan almarhum.
1. Sepetang di Universiti Malaya (2011)
2. Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu (2013)
3. Pintu gerbang, gajah, meriam dan gendang Patani (2014)
4. Pelancaran kitab Sulalatus Salatin versi Krusenstern di DBP (2016)
5. Batu Bersurat Terengganu - Pentarikhan 708 Hijrah dan kritikan-kritikan berkenaan (2018)
6. Bila Jomo bercakap tentang Melaka abad ke-15 - Kenapa ramai bukan Melayu nak ambil tahu? (2019)
7. Pelancaran pembacaan baru Hikayat Raja Pasai oleh Timbalan Perdana Menteri (2019)
Empat artikel melibatkan Ahmat sebagai pembentang utama, satu sebagai seorang daripada ramai pembentang, satu sebagai hadiran terhormat, dan satu yang nama dan kata-kata almarhum dipetik untuk menguatkan dakwaan seorang pembentang.