script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Datang Ke Blog Pahang Daily Online (PDO) | Terima Kasih, Sila Berkunjung Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang Tidak Bersifat Kekal, Tertakluk Tempoh Masa Dan Penilaian Prestasi Dan Budi Bicara Raja



KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang tidak bersifat kekal atau seumur hidup, sebaliknya tertakluk kepada tempoh masa, penilaian prestasi dan budi bicara Raja Pemerintah.

Paduka Baginda menegaskan bahawa kuasa melantik Orang-Orang Besar adalah kuasa mutlak Raja sebagaimana termaktub dalam peruntukan yang telah dilafazkan, dan setiap lantikan adalah tertakluk kepada peraturan, tatasusila jawatan serta amanah yang besar.

“Jawatan yang disandang bukan sekadar satu gelaran, sebaliknya terikat dengan tanggungjawab untuk memelihara negeri, menjaga warisan, adat istiadat, kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negeri Pahang.

Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa setiap individu yang dilantik, sama ada dalam jawatan politik atau istana, hendaklah bekerjasama dengan Raja Pemerintah, mendokong titah perintah serta menzahirkan kesetiaan kepada Raja dan bakal pengganti.

“Pelantikan Orang Besar tidak dibuat semata-mata berdasarkan keturunan, sebaliknya mengambil kira pelbagai faktor termasuk salasilah keluarga, perwatakan, kelayakan, kebolehan dan elemen positif yang boleh disumbangkan kepada negeri.

“Sebarang perlakuan tidak sopan atau mencemarkan imej jawatan tidak seharusnya berlaku, dan setiap lantikan hendaklah berteraskan amanah, kejujuran serta kebijaksanaan,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa corak pelantikan pada zaman pemerintahan Paduka Baginda kini berbeza berbanding amalan terdahulu, selaras dengan konsep pelantikan bertempoh sebagaimana amalan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Paduka Baginda, tempoh lantikan ditetapkan iaitu Orang Besar Berempat selama lima tahun, Orang Besar Berlapan empat tahun, manakala Orang Besar Raja, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Istana selama tiga tahun, dan tempoh tersebut boleh disambung atau ditamatkan berdasarkan penilaian prestasi, kesihatan dan sumbangan sebenar.

Paduka Baginda turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya pemikiran lama diubah, termasuk memberi ruang kepada generasi muda untuk menyumbang kepada negeri, dan pengunduran secara terhormat wajar dilakukan apabila tiba masanya.

Mengakhiri titah, Paduka Baginda menegaskan peranan utama Orang-Orang Besar Negeri adalah untuk sentiasa menjunjung kedaulatan Raja Pemerintah, menasihati Raja dalam hal adat dan kepentingan negeri, menjadi penghubung antara Raja dan rakyat, memelihara keharmonian negeri serta menampilkan kepimpinan berakhlak, berintegriti dan berwibawa. #KesultananPahang

Share:

Adik Mohd Adam Dari Felda Kota Gelanggi 4 Tidak Perlu Lagi Membalut Usus Guna Beg Plastik, MUIP Bekalkan Beg Stoma

KUANTAN: Selepas setahun menanggung derita apabila terpaksa menggunakan beg plastik sebagai ganti beg stoma akibat kekangan kewangan, nasib Mohd Adam Mat Noh, 7, akhirnya mendapat perhatian apabila bantuan peralatan perubatan itu disalurkan untuk kegunaannya.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memaklumkan, bantuan beg stoma bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir itu telah diselaraskan bagi meringankan beban keluarganya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, peralatan perubatan berkenaan akan disalurkan melalui Klinik Desa Kota Gelanggi 2 bagi memudahkan urusan keluarga terbabit.

“Kita akan menghantar bekalan ke klinik berkenaan supaya bapa Adam boleh mengambil peralatan tersebut untuk kegunaan anaknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau meminta bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Noh Mohamed, memastikan Adam dibawa menjalani rawatan susulan dengan pakar mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menurutnya, rawatan pakar amat penting bagi memantau tahap kesihatan Adam, lebih-lebih lagi apabila sebelum ini terdapat laporan kegagalan menghadiri beberapa janji temu hospital yang telah diaturkan.

“Selain bekalan beg stoma, rawatan susulan oleh pakar amat penting untuk proses pemulihan. Kita berharap selepas ini tiada lagi isu gagal hadir supaya keadaan kesihatan Adam dapat dipantau secara rapi,” katanya.

Untuk rekod, Mat Noh merupakan penerima zakat aktif MUIP sejak 2015 hingga tahun lalu, dengan pelbagai bantuan telah disalurkan termasuk bantuan permohonan am, bantuan bencana atau rawatan serta bantuan kemudahan asas secara berkala.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kisah menyayat hati penduduk Felda Kota Gelanggi Empat itu yang terpaksa menggunakan karung plastik sebagai ganti beg stoma sejak setahun lalu kerana tidak mampu membeli peralatan berkenaan, sekali gus menyebabkan Adam tidak dapat bersekolah.

Penyaluran bantuan itu diharap dapat mengakhiri penderitaan kanak-kanak berkenaan serta memberi ruang untuknya menjalani kehidupan yang lebih selesa seperti rakan seusia. #SinarHarian

Share:

Kuasa Pengampunan Di Bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan Tidak Boleh Di Anggap Sebagai Hadiah Politik Atau Simpati Peribadi

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dianggap sebagai hadiah politik atau simpati peribadi.

Sebaliknya, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa kuasa pengampunan itu ialah mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.

"Kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan wajar dinilai dengan emosi dan jiwa yang tenang, bukannya dengan sentimen berlebihan atau kepala yang dingin," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda bertitah sebarang pengurangan hukuman tidak sesekali memadamkan sabitan mahkamah, menghapuskan rekod kesalahan atau membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.

"Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan penjara daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan hukuman atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu," titah baginda.

Menurut hantaran itu, Sultan Pahang bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah keputusan berkenaan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.

Baginda bertitah bahawa dalam tradisi Raja Berperlembagaan, raja bukan alat sentimen awam dan tidak tunduk pada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.

"Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam," titah baginda.

Sultan Pahang turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah. #AstroAwani

Share:

Ikan Temoleh Kekal Di Lindungi, Selepas Tiada Sebarang Kes Tangkapan Atau Pendakwaan Di Rekod Dalam Tempoh 10 Tahun

KUANTAN: Ikan temelian atau temoleh kekal dilindungi selepas tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan direkodkan membabitkan spesies itu di Pahang dalam tempoh 10 tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Roslan Abu Hasan berkata, rekod itu menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan nelayan darat terhadap larangan menangkap spesies berkenaan yang dikuatkuasakan setiap tahun.

“Tahun ini, kita turut mengeluarkan larangan kepada orang ramai termasuk nelayan darat dan pemancing supaya tidak menangkap ikan temoleh mulai bulan ini sehingga April depan.

“Larangan ini bertujuan mengelakkan kepupusan dengan cara melindungi dan memuliharanya semasa musim bertelur di lubuk ikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, tempoh berkenaan merupakan musim kemarau yang menyaksikan kemunculan kawasan berpasir.

“Ikan temoleh mempunyai sifat unik, iaitu memilih kawasan cetek untuk bertelur secara berpasangan dengan cara berlaga dan menghempaskan telur.

“Selepas proses itu, induk ikan menjadi lemah dan mudah ditangkap nelayan darat,” jelasnya.

Sehubungan itu, menurut Roslan, menangkap atau memiliki ikan temoleh sepanjang musim larangan merupakan satu kesalahan.

Katanya, tindakan tegas boleh diambil di bawah Kaedah 15(1) dan (2), Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Negeri Pahang.

“Mana-mana individu yang didapati menangkap, mengambil, membunuh atau memiliki spesies terbabit boleh ditangkap, dikompaun atau didakwa di mahkamah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000, selain peralatan menangkap ikan dirampas dan dilupuskan mengikut peruntukan sedia ada,” katanya. #SinarHarian

Share:

Pembantu Pegawai Kesihatan Maut Selepas Kereta Di Pandu Terbabit Kemalangan Empat Kenderaan Jalan Jerantut-Temerloh

TEMERLOH: Seorang pembantu pegawai kesihatan maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 26 Jalan Jerantut–Temerloh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.41 pagi itu, mangsa R. Sathiyan, 43, yang memandu Proton Saga disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Nasyim Bahron berkata, kemalangan tersebut melibatkan kereta dipandu mangsa, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, trak pikap Toyota Hilux serta sebuah lori.

“Kemudian lori yang datang dari belakang telah hilang kawalan dan langgar belakang Perodua Alza menyebabkan MPV berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Proton Saga yang sedang menuju ke arah Temerloh.

“Susulan itu sebuah trak pikap yang sedang datang dari belakang kereta Proton Saga tidak dapat mengelak lalu terlanggar kereta berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. #BeritaHarian

Share:

Seorang Bapa Terpaksa Balut Usus Anak Bongsunya Dengan Plastik Karung, Kerana Tidak Mampu Beli Beg Stoma Kanak-Kanak

JERANTUT: Seorang bapa mengakui terpaksa membalut usus anak bongsunya dengan karung plastik biasa kerana tidak mampu menyediakan beg stoma bagi kanak-kanak itu.

Keadaan itu juga menyebabkan Mohd Adam Mat Noh, 7, yang mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir, terpaksa melupakan hasrat memulakan persekolahan tahun ini.

Bapanya, Mat Noh Mohamed, 57, berkata, masalah kesihatan anaknya dikesan sejak lahir apabila organ dalaman didapati pendek dan tersumbat, menyebabkan Mohd Adam gagal membuang air besar secara normal.

Menurutnya, Mohd Adam pernah menjalani pembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada 2022 sehingga sebahagian ususnya terpaksa dikeluarkan.

“Sejak itu, anak saya sepatutnya menggunakan beg stoma, tetapi sejak setahun lalu saya tidak mampu membelinya dan terpaksa membalut ususnya dengan plastik.

"Keadaan ini sangat berbahaya dan menyukarkan pergerakannya, jadi sebab saya tangguh dahulu anak ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mat Noh yang menetap di Felda Gelanggi Empat berkata, anaknya masih memerlukan rawatan susulan untuk memasukkan semula usus yang terkeluar.

Bagaimanapun, ujarnya, kos rawatan yang tinggi menyebabkan dia tidak mampu menampung perbelanjaan tersebut sekali gus menambah beban keluarga.

Mat Noh juga kini tidak berupaya bekerja selepas kemalangan motosikal tahun lalu yang mengakibatkan kecederaan saraf tulang belakang dan tulang paha kanan yang memendek.

“Saya kini berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tidak mampu lagi menyara keluarga atau membiayai kos rawatan anak.

"Kekangan kewangan ini bukan sahaja menjejaskan Adam, malah anak sulung saya, Mohd Razak, 11, turut kerap tidak ke sekolah,” katanya yang sudah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, nasib Mohd Adam kemudian mendapat perhatian kerajaan negeri apabila Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) Jerantut menziarahi keluarganya bagi meringankan beban mereka.

Pengerusinya, Norsarfinaz Mohd Azman berkata, Mohd Adam sepatutnya sudah memulakan persekolahan, tetapi keadaan fizikalnya yang lemah mendatangkan risiko pendarahan.

“Saya dimaklumkan Mohd Adam beberapa kali dipanggil untuk rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh termasuk pada 29 Januari lalu, tetapi gagal hadir kerana kekangan kewangan dan keadaan bapanya yang uzur.

"Jadi, kami akan membantu Mohd Adam mendapatkan rawatan supaya dia boleh hadir ke sekolah, selain memastikan dua beradik itu menerima bantuan JKM,” katanya.

Ziarah tersebut turut dihadiri Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Muhammad Syafiq Kunyahamu bagi menilai keadaan kesihatan Mohd Adam sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut.

Beliau memaklumkan, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menghulurkan bantuan segera bagi membolehkan Mohd Adam mendapatkan rawatan pada tarikh baharu yang akan ditetapkan hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Mohd Adam boleh menghubungi Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar di talian 013-9074157 (Zila Ismail). #SinarHarian

Share:

Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Bhd (KPKP) Kekal Relevan Selepas Satu Abad Penubuhan

KUANTAN: Inisiatif sekumpulan penjawat awam negeri menubuhkan koperasi 100 tahun lepas bukan sahaja memberi manfaat kepada anggotanya pada ketika itu, sebaliknya Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Bhd (KPKP) kekal kukuh dan relevan sehingga kini.

Ditubuhkan di Lipis pada 1 Jan 1926 dengan nama The Pahang Government Servants Co-operative Thrift and Loan Society Limited, koperasi itu bermula sederhana sebelum berkembang menjadi institusi yang menjadi simbol kerjasama, amanah dan bertahan daripada generasi kepada generasi.

Pengerusinya Mohd Azman Ibrahim berkata selepas satu abad penubuhan, KPKP bukan sahaja menjadi koperasi pertama di Pahang malah terus kekal sebagai institusi yang memberi manfaat kepada ribuan penjawat awam negeri Tok Gajah.

Menelusuri pelbagai fasa sebelum dan selepas kemerdekaan sehingga ke dunia digital, beliau berkata tatakelola pengurusan yang baik, barisan kepimpinan cekap dan sentiasa menjaga serta memberi keutamaan kepada kebajikan ahli ialah “rahsia” koperasi itu kekal utuh untuk jangka masa panjang. 

“Selepas melalui peredaran zaman koperasi ini masih mampu menempuh pelbagai cabaran termasuk ketika negara berdepan pandemik COVID-19 demi kelangsungan ahli. Kita juga sentiasa menjalankan perniagaan yang berdaya saing dan seterusnya memberi pulangan yang baik kepada ahli,” katanya kepada Bernama. 

Mohd Azman berkata KPKP yang pernah dianggotai oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein, kini merekodkan lebih 7,000 ahli penjawat awam negeri dan menawarkan pelbagai faedah kepada anggota seperti pemberian pinjaman serta bantuan kebajikan. 

Antara faedah lain koperasi tertua di negeri itu ialah bantuan persekolahan dan melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi kepada anak ahli, bencana alam, perkahwinan ahli serta khairat kematian.

“Selain itu, KPKP juga menjalankan aktiviti perniagaan hotel, stesen minyak, ladang kelapa sawit dan ladang kelapa matag serta Perkhidmatan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu),” katanya. 

Dalam pada itu, melangkah ke abad kedua, beliau berkata peranan dan perpaduan dalam kalangan ahli memainkan peranan penting bagi memastikan koperasi terus relevan sepanjang zaman serta kekal unggul menjadi antara terbaik di Malaysia, khususnya Pahang. 

“Koperasi ini milik kita bersama-sama. Sokongan, penglibatan aktif dan idea baharu daripada ahli ialah kekuatan sebenar koperasi,” katanya. 

Sempena ulang tahun ke-100 penubuhan, beliau berkata pelbagai pengisian dirancang sepanjang 2026 seperti Fun Run dan Sukan Rakyat di Kuala Lipis semalam sebagai simbolik lokasi penubuhan KPKP yang menarik penyertaan lebih 500 peserta manakala sambutan utama dijadualkan pada Jun.   

Menyingkap sejarah penubuhannya, Pengurus Besar KPKP Abdul Rashid Abdul Rahman berkata koperasi itu mula beroperasi di Pejabat Penerangan Kuala Lipis sebelum berpindah ke Transit Quarters di Jalan Kuantan apabila daerah itu menjadi ibu negeri Pahang.

Beliau berkata pada 1960, KPKP membeli sebuah bangunan kedai dua lot tiga tingkat di Jalan Mahkota, di sini dengan nilai RM108,000 menjadikan mereka sebagai koperasi pertama di Pahang mempunyai pejabat sendiri.

“Koperasi ini terus berkembang sehingga membolehkan KPKP memiliki sebuah bangunan kedai empat lot tiga tingkat di Jalan Gambut 2 di sini pada 1994 dengan nilai RM1.4 juta yang digunakan sebagai pejabat urusan KPKP sehingga dikenali sebagai Wisma KPKP kini,” katanya. #Bernama

Share:

Seorang Penternak Rugi Lebih RM100,000 Dalam Tempoh Lima Tahun, 30 Ekor Lembu Milik Keluarga Dicuri Dan Diracun Di Maran


KUANTAN: Seorang penternak rugi lebih RM100,000 dalam tempoh lima tahun apabila 30 ekor lembu milik keluarga dicuri dan diracun dalam kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Kertam, dekat Maran.

Terbaharu dalam kejadian kelmarin, dua bangkai haiwan terbabit yang dipercayai diracun.

Penternak, Mohamad Asyri A Majid, 30, berkata, episod lembu mati berlaku setiap tahun sejak awal 2022 hingga kini.

Katanya, penternakan lembu secara bebas terdedah dengan kes kecurian termasuk diracun kerana merosakkan tanaman mereka terutama pokok kecil.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap itu semua ujian, sudah tertulis rezeki saya termasuk ahli keluarga yang turut memiliki lembu dalam kumpulan sama tidak menjadi kenyataan.

"Jumlah lembu yang banyak dalam satu kumpulan merumitkan lagi untuk saya mengawal haiwan terbabit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, dia kini memiliki lebih 100 lembu baka Kedah-Kelantan termasuk kepunyaan ahli keluarga. #HarianMetro

Share:

Kerajaan Madani Lulus Peruntukkan Sebanyak RM350,000 Untuk Baik Pulih Dua Buah Pusat Pendidikan Islam Di Negeri Pahang


KUANTAN: Kerajaan Madani terus memperkukuh pendidikan Islam dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi menyokong pembinaan serta kerja-kerja baik pulih fasiliti dan infrastruktur Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa dan Ribath Az-Zahra Al-Batul di Pahang.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, komitmen kerajaan itu dizahirkan menerusi pelbagai dasar, program dan intervensi strategik yang menyeluruh bagi memartabatkan syiar Islam di negara ini.

Menurut beliau, komitmen tersebut turut diterjemahkan melalui Belanjawan 2026 apabila sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh pendidikan Islam serta pembangunan sektor berkaitan, termasuk maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok di seluruh negara.

"Kelulusan peruntukan itu dibuat susulan lawatan kerja ke Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa, Sungai Karang Pantai, bagi meninjau secara langsung keadaan fasiliti dan infrastruktur pusat pendidikan berkenaan yang diasaskan oleh Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lawatan tersebut turut disertai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razihan Adzharuddin.

Ahmad Farhan berkata, peruntukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri itu bertujuan memastikan para pelajar dapat menimba ilmu agama dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan Islam serta menyuntik semangat kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama dan melahirkan insan berilmu yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.

"Kerajaan Madani akan terus komited memperkasa institusi pendidikan Islam sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan insan yang holistik dan berteraskan nilai," tambahnya. #SinarHarian

Share:

Individu Yang Mana Tanahnya Sudah Jadi Laut Akibat Hakisan Di Pahang Tetap Di Kenakan Cukai Tanah, Selagi Tak Serah Geran

PEKAN: Pemilik tanah yang terhakis oleh laut di Pahang tetap dikenakan cukai tanah. Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim menegaskan, individu yang mana tanahnya sudah menjadi laut akibat hakisan masih dianggap pemilik tanah berkenaan selagi dia tidak menyerahkan geran tanah kepada pihak kerajaan dan masih perlu membayar cukai tanah tersebut.

Malah pemilik  tanah di laut sekalipun perlu membayar cukai mengikut peruntukan undang-undang, katanya.

“Tanah yang menjadi laut akibat hakisan masih dianggap pemilik tanah berkenaan selagi dia tidak menyerahkan geran tanah kepada pihak kerajaan.

“Pemilik tanah masih perlu membayar cukai tanah tersebut,” katanya ketika diminta mengulas isu hakisan pantai di Pahang hari ini.

Tambah Razali, pihaknya sedang menyemak data berkaitan hakisan dari tahun  dalam tempoh 40 tahun bagi mengetahui jumlah keluasan tanah yang sudah terhakis.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri telah membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengawal isu hakisan pantai dan mendalamkan muara sungai.

Jelasnya, kawasan berkenaan membabitkan dari sempadan Pahang-Terengganu hingga ke sempadan Pahang-Johor.

Razali optimis isu berkenaan dapat diselesaikan namun menelan kos belanja yang tinggi menerusi pelbagai kaedah.

Ia berdasarkan sesi lawatan yang diadakan oleh beberapa pihak dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) setiapkan kejadian hakisan berlaku.

“Kita akan semak data dari tahun 1985 hingga 2025 bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan tanah yang dihadapi. Kos untuk memulihkan hakisan pantai di sepanjang pantai di Pahang menelan kos besar iaitu dianggarkan lebih RM1 billion,” katanya.

Razali menyatakan kerajaan negeri telah pun melakukan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan itu.

“Kita juga akan lihat balik data berkaitan hakisan dari tahun 1985 hingga 2025 iaitu dalam tempoh 40 tahun ini bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan tanah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata, hakisan berkenaan boleh dipulihkan kembali dengan pelbagai kaedah kejuruteraan terkini dan ia memerlukan perbelanjaan tinggi.

Di bawah Kanun Tanah Negara 1965, status sesuatu tanah berimilik yang terjejas akibat hakisan pantai atau ditenggelami laut tidak terbatal secara automatik hanya berdasarkan kejadian fizikal tersebut.

Katanya penentuan status hak milik adalah tertakluk kepada proses perundangan dan pentadbiran tanah.

Terdahulu media melaporkan kegusaran pemilik chalet susulan tanah di Pantai Tanjung Batu di Nenasi seluas kira-kira satu hektar bertukar menjadi lautan selepas kejadian hakisan pantai.

Menurut pemilik, tanah yang dibelinya seluas 1.4 hektar pada tahun 2016 kini lenyap menjadi laut kini hanya berkeluasan 0.4 heltar. #MalaysiaGazette

Share:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA), Pemuda UMNO Pahang Tempelak Pemuda PAS Tidak Gelojoh Membuat Kenyataan


KUANTAN: Pemuda UMNO Pahang menempelak Pemuda PAS negeri itu yang menyasarkan kritikan semberono terhadap projek di bawah seliaan kerajaan negeri terutamanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA).

Ketua Penerangannya, Mustaqim Zakaria berkata, sayap pembangkang itu perlu lebih berhemah, bertanggungjawab dan cermat daripada terus bersikap gelojoh dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Menurutnya, tindakannya sedemikian hanya akan mewujudkan tidak keharmonian dalam kalangan rakyat dan juga menyebabkan persepsi buruk terhadap kerajaan Pahang.

"Lebih-lebih lagi apabila membuat tuduhan status semasa projek KIA membawa implikasi negatif terhadap kewangan dan pembangunan ekonomi negeri.

"Lebih elok ambil masa untuk semak prestasi kewangan kerajaan negeri daripada terus mencipta persepsi jahat terhadap kerajaan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar sebelum ini yang menuntut kerajaan negeri menjelaskan status sebenar projek KIA di Gebeng selepas ia dikatakan gagal disiapkan.

Mengulas lanjut, Mustaqim berkata, Pemuda PAS perlu merujuk kepada agensi berkaitan bagi mengelakkan sebarang manipulasi dan salah fakta sebelum mengeluarkan kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menekankan kepentingan akauntabiliti dalam setiap pelaksanaan projek di Pahang.

"Kami di pihak Pemuda UMNO Pahang sentiasa meletakkan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Wan Rosdy.

"Rekod pencapaian dan prestasi telah membuktikan segalanya, maka tiada apa yang perlu diragukan lagi," tegas beliau. #sinarharian

Share:

Pemuda PAS Pahang Tuntut Kerajaan Jelaskan Apa Status Sebenar Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA)


KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang tuntut kerajaan negeri menjelaskan status sebenar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng dekat sini.

Ketua penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng itu sebelum ini diumumkan akan mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos mencecah berbilion ringgit

“Pengumuman projek ini telah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan sering dijadikan bahan promosi kejayaan serta bukti keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang sekarang ini dipimpin oleh UMNO PH.

“Namun, sehingga kini, rakyat masih tertanya-tanya di manakah kedudukan sebenar projek ini?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Azlan tidak melihat sebarang perkembangan fizikal jelas di tapak projek yang menandakan pembinaan sudah bermula selain tiada pengumuman rasmi mengenai kelulusan lesen aerodrom dibuat.

Justeru, Pemuda PAS Pahang berpandangan rakyat Pahang berhak mendapat penjelasan yang jujur dan berfakta bukan sekadar pengumuman berulang yang akhirnya tinggal sebagai janji politik.

“Lebih membimbangkan, projek mega seperti ini melibatkan implikasi besar terhadap kewangan negeri, guna tanah, alam sekitar serta hala tuju pembangunan ekonomi Pahang.

“Pembangunan tidak boleh berasaskan retorik semata-mata di mana setiap projek mega mesti didasari perancangan rapi, ketelusan dan keutamaan rakyat.

“Kegagalan menjelaskan status sebenar hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri,” tegasnya.

Pemuda PAS Pahang juga akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang demi memastikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri Pahang tidak terus dipermainkan. #MalaysiaGazette

Share:

Blogger Cucumatkilau Terharu Atas Kunjungan Setiausaha Politik (SUPOL) PM, Penghargaan Selepas Lebih 27 Tahun Berjuang

KUANTAN: Kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi ke kediaman reformis Mohd Shukri Mohd Ramli, 55, di sini pada Isnin memberi kesan mendalam kepada aktivis terbabit.

Farhan yang juga merupakan Ketua Cabang Keadilan Indera Mahkota dalam rangka kerja 'Santuni Madani'  program ziarah kasih @ rumah reformis 'Blogger Cucumatkilau' itu turut menyampaikan sedikit sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau.

Shukri yang kini sudah tidak aktif dengan mana-mana parti politik sejak 2011 itu berkata, kunjungan Farhan merupakan satu detik berharga dalam hidupnya. 

Menulis diblog peribadinya https://cucumatkilau.blogspot.com, Shukri berkata selepas lebih 27 tahun berjuang sebagai reformist dialam maya, jadi Blogger sejak 1998 ini kali yang pertama seorang wakil kerajaan hadir dan menziarahinya.

"Saya juga sempat menunjukkan beberapa bahan-bahan sejarah lama saya  menjadi blogger berjuang membela Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 5 Disember 1998.

"Terharu betullah, kerana hampir separuh abad saya hidup di dalam perjuangan reformasi dan rakyat, akhirnya ada pihak yang menghargainya.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Dato' Farhan dan semua AJK Keadilan Pahang juga Indera Mahkota yang mengunjungi saya,

"Memang terbaiklah, at least 'refomis' yang sekian lama berjuang di zaman derita dulu (Anwar terpenjara) dikenang jua," kata kenyataannya. #Cucumatkilau


Share:

Kerajaan Pahang Lancar e-Rakyat, Uruskan Maklumat Serta Penyelarasan Bantuan Lebih Tersusun, Bersepadu Dan Berkesan

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang melancarkan Sistem Pengurusan Bantuan Rakyat Negeri Pahang (e-Rakyat) bagi mengurus maklumat serta penyelarasan bantuan rakyat secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu selari dengan hala tuju pentadbiran negeri yang menekankan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, sebagai sebuah platform pusat sehenti, Sistem e-Rakyat membolehkan kerajaan negeri membina, mengumpul dan menyelaraskan data bantuan antara jabatan dan agensi sekali gus mengelakkan pertindihan penerima serta pembaziran peruntukan awam.

"Matlamat utama pelaksanaan sistem ini adalah untuk memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak, disalurkan tepat pada masanya dan berasaskan keperluan sebenar rakyat.

"Melalui sistem ini, perancangan belanjawan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih tepat, realistik dan mampan di samping memperkukuh kesejahteraan rakyat serta meningkatkan keupayaan tadbir urus kerajaan negeri secara keseluruhan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Wan Rosdy menyempurnakan pelancaran Sistem e-Rakyat itu sempena Perhimpunan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Pahang di Dewan Kompleks Bandaraya Kuantan di sini.

Jelas beliau, pelaksanaan Sistem e-Rakyat akan dibuat secara berfasa.

"Fasa pertama melibatkan pendaftaran ketua isi rumah dan ahli isi rumah serta semakan penerima bantuan sedia ada khususnya di bawah Inisiatif Makmur Pahang.

"Manakala fasa kedua akan melibatkan permohonan bantuan secara dalam talian yang dijadualkan bermula April ini seterusnya diperluaskan kepada bantuan kerajaan negeri serta bantuan kerajaan Persekutuan," ujarnya.

Katanya, rakyat Pahang boleh mendaftar sistem ini menerusi portal erakyat.pahang.gov.my.

"Pelancaran Sistem e-Rakyat ini merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri Pahang bukan sekadar memberi bantuan tetapi memastikan setiap bantuan dilaksanakan secara adil, tersusun, telus dan benar-benar berkesan demi kepentingan rakyat," katanya. #SinarHarian

Share:

Seorang Pemandu Maut, Isteri Cedera Selepas Kenderaan Pacuan Empat Roda Dipandunya Terbabas Di Plaza Tol Bentong

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu melanggar tiang keselamatan batu nosing berhampiran Plaza Tol Bentong di Kilometer 61.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, semasa kejadian kenderaan tersebut dipandu dari arah Raub menuju ke Kuala Lumpur .

Menurutnya, pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik ke sebelah sisi kanan bahagian pemandu.

“Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Sapri Aziz, 65, cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala penumpang wanita yang merupakan isteri mangsa berusia 61 tahun mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zaiham berkata, siasatan lanjut masih dijalankan serta usaha mengesan saksi-saksi kejadian termasuk rakaman kamera litar tertutup (cctv) di kawasan Plaza Tol Bentong.

Zaiham meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya berhati-hati Ketika memandu. #MalaysiaGazette

Share:

Pembebasan Bekas Pengurus Perbadanan Air Pahang Berhad (PAIP) Atas 22 Pertuduhan Rasuah Dibatalkan Oleh Mahkamah

PETALING JAYA: Pembebasan bekas pengurus Air Pahang daripada 22 pertuduhan menerima rasuah RM44,700 telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Kuantan hari ini.

Hakim Samry Masri menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM239,500 kepada Sani Khan Ali Khan, 60, atau penjara 12 bulan lagi jika gagal membayar jumlah itu.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mahkamah membenarkan Sani penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Samry memutuskan bahawa mahkamah sesyen telah tersilap meletakkan beban kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur rasuah dalam pertuduhan apabila tertuduh berdepan beban yang lebih berat untuk menangkis pertuduhan.

Hakim juga berkata mahkamah rendah mengambil kira hujah pembelaan tanpa mengambil kira keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan

Tertuduh didakwa pada Januari 2020 atas tuduhan menerima rasuah RM44,700 daripada Chong Wei Peng, pemilik firma kontrak, sebagai pertukaran kontrak Air Pahang yang diuruskan oleh Sani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asraf Tahir dan Hazel Tan manakala tertuduh diwakili peguam Najib Husain.

Sani dibenarkan diikat jamin RM20,000 dan diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Kuantan setiap bulan. #FreeMalaysiaToday

Share:

JPN: Kewarganegaraan Malaysia Tidak Diberi Sewenang-Wenangnya, Setiap Permohonan Diteliti Dan Diperhalusi Sewajarnya

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada bukan warganegara tidak diberikan sewenang-wenangnya, dengan keputusan permohonan tertakluk Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala.

JPN melalui kenyataan memaklumkan setiap permohonan kewarganegraan diterima diproses dan diteliti sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.

Kenyataan itu merujuk kebimbangan dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pemberian taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada warga asing dan kewarganegaraan yang melibatkan kepentingan kedaulatan negara, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut, katanya pada masa ini kawalan prosedur utama bagi permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) berpandukan kepada Permit Masuk sah yang diperoleh oleh pemohon daripada Jabatan Imigresen Malayisa (JIM).

"Pertimbangan dan kelulusan Permit Masuk adalah sepenuhnya tertakluk kepada kriteria dan penilaian yang ditetapkan JIM.

"Semakan silang secara bersepadu antara JPN dan JIM dilaksanakan bagi mengesahkan bahawa Permit Masuk dikemukakan adalah tulen, sah dan dikeluarkan kepada individu yang benar-benar layak," katanya.

MyPR adalah kad dikeluarkan JPN kepada individu bukan warganegara yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia, membolehkan mereka menetap dan bekerja secara sah di negara ini selepas diberikan status pemastautin tetap melalui Permit Masuk oleh JIM.

Sehingga 31 Disember 2025, seramai 261,156 pemegang MyPR direkodkan di seluruh negara.

Tambah JPN, selain tertakluk Panel Jawatankuasa Pertimbangan Kelulusan yang dijalankan secara berkala, setiap permohonan juga akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan kesahihan dan kelayakan pemohon.

Katanya, status dan kad pengenalan MyPR boleh ditarik balik sekiranya pemegangnya didapati terbabit dalam apa-apa kesalahan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam atau kepentingan negara.

"Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan sewenang-wenangnya.

"Setiap permohonan kewarganegraan yang diterima diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dengan mengambil kira kepentingan nasional serta keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada

"KDN dan JPN akan sentiasa peka dan menjalankan proses sebaik-baiknya berkenaan perkara ini kerana setiap permohonan akan diteliti mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan.

"Pertimbangan yang teliti perlu dilaksanakan bagi memastikan taraf kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu yang benar-benar layak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan berkaitan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kepentingan negara dan warganegara sedia ada," katanya. #BeritaHarian

Share:

Projek Persimpangan Bertingkat Jalan Panching FT02 Bernilai RM120 Juta Dijangka Akan Siap Dibina Menjelang Tahun 2029

KUANTAN: Persimpangan bertingkat Jalan Panching FT02 di sini dijangka siap dibina menjelang tahun 2029.

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri  sedang melalui proses pengambilalihan empat lot tanah yang terlibat bagi projek terbabit.

“Projek telah secara rasmi bermula pada 13 Januari 2026. Kita meluluskan peruntukan siling berjumlah RM120 juta bagi projek ini.

“Saya lihat projek ini sangat mendesak kerana laluan ini sudah mencapai tahap kesesakan agak luar biasa setiap kali hujung minggu, musim cuti umum dan cuti perayaan.

“Jadi, hari ini saya panggil semua pihak termasuk JKR, syarikat kontraktor dilantik, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Koridor Utiliti Pahang dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Penerangan dan Pendengaran Awam Projek Persimpangan Bertingkat Jalan Panching di Masjid Al-Bukhori Nurul Aman, Taman Mahkota Aman, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 100 penduduk setempat.

Mohd Shahar berkata, sebuah jejantas motosikal dan tiga buah tempat menunggu bas akan dirobohkan sebelum pembinaan projek berkenaan dan akan dibina semula kontraktor selepas projek siap.

Selain itu terdapat tiga lagi projek berkepentingan awam bagi kawasan Paya Besar yang akan dilaksanakan iaitu Persimpangan Bertingkat Bukit Rangin, naik taraf jalan di Taman Tas dan Permatang Badak.

“Kita buat secara berfasa. Untuk persimpangan bertingkat Bukit Rangin telah diluluskan RM28 juta bagi proses awalan iaitu reka bentuk, pengambilan tanah dan kajian.

“Seterusnya JKR akan membawa kepada kementerian untuk proses seterusnya termasuk lantikan kontraktor,” katanya lagi.

Salah seorang penduduk, Rahimi Abdul Rahman, 56, ketika ditemui pada sesi itu menyambut baik pelaksanaan projek persimpangan bertingkat di lokasi itu.

Dia turut menyeru agar pembinaan projek terbabit disiapkan secepat mungkin agar dapat dimanfaatkan semua pihak sebaiknya.

“Saya sebagai penduduk kawasan sini rasa suka dan lega sebab seperti yang diberitahu JKR dalam sesi penerangan tadi pun, level of service sudah tahap F iaitu aliran trafik yang sangat teruk di situ.

“Dikatakan kalau projek ini siap, level of service akan jadi tahap B di mana perjalanan akan lebih lancar dan ia satu kemudahan yang bagus untuk penduduk Kuantan dan Paya Besar khususnya,” katanya.

Rahimi yang tinggal di Perumahan Bukit Rangin sejak 25 tahun dahulu pernah menghabiskan masa selama hampir 40 minit melalui jalan itu untuk pulang ke rumah dengan jarak kira-kira lima kilometer sahaja. #MalaysiaGazette

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

Lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang Tidak Bersifat Kekal, Tertakluk Tempoh Masa Dan Penilaian Prestasi Dan Budi Bicara Raja

KUANTAN : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.