script data-ad-client="ca-pub-8413987413612695" async src="https://pagead2.googlesyndication.com/pagead/js/adsbygoogle.js">
Selamat Datang Ke Blog Pahang Daily Online (PDO) | Terima Kasih, Sila Berkunjung Lagi

..............................

Hits Pelawat PDO Mulai 31.08.2008

Jalan Bermasalah Di Gebeng, Amanah Pahang Dakwa Telah Angkat Isu Tersebut Sejak 2018 !

KUANTAN - Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed mendakwa parti itu sebenarnya  telah mengangkat isu jalanraya yang menjadi masalah kepada pengguna seperti didedahkan oleh seorang aktivis masyarakat, dilaman facebooknya baru-baru ini. 

Aktivis terbabit kelmarin menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap jalanraya dua lorong menjadi satu lorong di jalan Kuantan ByPass, berdekatan Balai Polis Gebeng dekat sini. 

Jalan tersebut adalah laluan utama orang ramai terutamanya mereka yang bekerja di kawasan perndustrian Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan sekitarnya. 

Terdahulu, Zulkifli mengadakan tinjauan ke lokasi yang dilaporkan oleh aktivis terbabit petang semalam. 

"Isu ini menjadi perhatian utama saya, selepas dilantik sebagai Penyelaras DUN Beserah pada tahun 2018 iaitu sejurus selepas Pakatan Harapan memerintah Malaysia. 

"Isu jalan ini menjadi perhatian yang utama saya dan saya telah pun mengangkat perkara ini ke peringkat kemeterian ketika itu.  Satu pertemuan telah pun saya lakukan dengan pihak menteri  ketika itu YB Baru Bian, untuk mengangkat isu-isu yang berkaitan di Indera Mahkota, khususnnya di DUN Beserah ketika itu," katanya.

Menurutnya lagi, isu  yang dibangkitkan menjadi keutamaanya dan beliau telah membincangkan secara serius  perihal isu tersebut kerana baginya ia adalah isu yang penting  kepada ekonomi dan sosial masyarakat di sekitar Kuantan. 

"Alhamdulillah, walau pun isu ini telah lama dibangkitkan oleh rakyat berkali-kali namun ianya tidak mendapat perhatian atau pun tindakan yang tuntas daripada pihak kerajaan ketika itu. 

"Namun, pada tahun 2018 selepas pertemuan demi pertemuan dilakukan diperingkat kementerian dan peringkat menteri sendiri, akhirnya kerajaan ketika itu (PH) bersetuju untuk meluluskan sejumlah peruntukan bagi menaiktaraf jalan Gebeng ke Pelabuhan," tambah Zulkifli.

Menurut beliau lagi, ketika itu (2018) dia dimaklumkan proses tender telah dilakukan, cuma ia mengambil sedikit masa untuk pelaksanan.

"Walau pun sekarang saya agak terputus hubungan dengan pihak kerajaan untuk meneruskan isu ini, tapi saya berkeyakinan  usaha-usaha yang telah dimulakan oleh saya ketika itu mendapat perhatian dari pihak kementerian dan jabatan . 

"Saya yakin, dalam tempoh yang mendatang isu jalan ini akan diselesaikan dengan secepat mungkin . Saya berharap kerajaan harus melihat isu-isu sebegini menjadi keutamaan demi kepentingan rakyat, khusus di Kuantan dan demi kepentingan pekerja-pekerja yang menjadikan jalan ini sebagai laluan utama untuk mereka bekerja di Gebeng, di pelabuhan dan sekitarnya," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu Zulkifli juga berharap, semua pihak sama-sama bergerak, mendesak dan juga berusaha bekerja keras supaya isu jalan ini diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat ini. #PDO

Share:

Piala Malaysia: Sri Pahang FC Belasah Penang FC 4-0 Di Stadium Darul Makmur Malam Tadi !

KUANTAN - Skuad Sri Pahang FC bangkit mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Penang FC 4-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kemenangan itu menghidupkan kembali peluang skuad Dollah Salleh untuk menempah tiket ke suku akhir piala berprestij itu. 

Ini kerana pada dua perlawanan sebelum ini skuad Tok Gajah tewas 1-3 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sarawak United (0-1). 

Pada perlawanan ketiga Kumpulan A itu, skuad Tok Gajah yang perlu menang bermain dengan baik dan tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan.

Gol pendahuluan dijaringkan oleh penyerang, Abdul Malik Mat Ariff yang berjaya menewaskan penjaga gol Penang FC, Tian Keat See pada minit ke-11.

Tersentak jaringan itu, Penang FC turut melakukan asakan ke kubu tuan rumah tetapi berjaya dinafikan jentera pertahanan yang diketuai kapten pasukan, Herold Goulon.

Peluang terbaik dimiliki penyerang import Penang FC, Sheriddin Boboev tetapi bola daripada sepakan percuma sedikit melepasi palang pada minit ke-23.

Dua minit babak kedua bersambung, pemain import tuan rumah, Manuel Hidalgo menjaringkan gol kedua untuk mengukuhkan kedudukan pasukan.

Belum sempat lawan mengatur strategi, Abdul Malik menjaringkan gol ketiga buat Sri Pahang pada minit ke-55 sebelum Abubakar Yakubu menyumbang gol keempat pada minit ke-72.

Kemenangan itu sudah pasti melegakan Sri Pahang manakala Penang perlu bangkit jika mahu menempah tempat ke suku akhir piala berprestij itu. #sumber

Share:

PRN Melaka: Perikatan Nasional (PN) Masih Belum Muktamadkan Lagi Penggunaan Logo !

KULIM - Perikatan Nasional (PN) belum membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan logo bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata maklumat berkaitan penggunaan logo hanya akan diumumkan selepas keputusan dicapai semua parti komponen dalam PN.

"Berkenaan pemilihan logo, ketika ini belum penamaan calon lagi, nanti kita akan bincang mengenainya, kita akan maklumkan selepas ini memandangkan hari percalonan lambat lagi.

"Sebenarnya di pihak PN, kita tumpu soal ekonomi dahulu. Seperti di Kedah, kekuatan kerajaan negeri adalah Kedah kurang berpolitik, tumpuan adalah soal pembangunan negeri serta pembangunan ekonomi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Perindustrian AT&S di Kulim Hi-Tech Park di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara sinis mencadangkan satu idea baharu agar semua parti yang akan bertanding di PRN Melaka kelak menggunakan logo parti berkenaan kerana semua termasuk UMNO bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PAS pada PRN Melaka selaras ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan MN dalam menghadapi PRN Melaka.

Selasa lalu pula, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, BERSATU, PAS dan GERAKAN sepakat untuk bertanding pada PRN Melaka akan datang menggunakan lambang PN, hasil keputuan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN pada 25 Oktober. #sumber

Share:

PRN Melaka: AMANAH 'Yakin' Mampu Menangi Semua Sembilan Kerusi Yang Mereka Tandingi

IPOH - Parti Amanah Negara (AMANAH) yakin mampu memenangi semua sembilan kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Asmuni Awi berkata, semua kerusi sudah dikenal pasti dan pihaknya melihat peluang cerah di PRN Melaka.

"Peluang baik, cerah, bagus. Bagi AMANAH, sudah tentu kita nak menang kesemuanya. Saya berpesan kepada semua petugas di sembilan DUN yang kita akan bertanding, saya nak menang sekurang-kurangnya sembilan kerusi, maksudnya semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen AMANAH Negeri Perak 2021 yang dirasmikan Naib Presiden parti, Dr Siti Mariah Mahmud di sini hari ini.

Asmuni berkata, pihaknya membuat kajian lapangan dan secara rambang untuk mengenalpasti sokongan pengundi dan setakat ini melihat peluang AMANAH adalah cerah.

"Setakat ini (peluang cerah), tetapi kita sentiasa menghormati pihak lawan, jangan pandang rendah kekuatan pihak lawan sebab mereka ini ahli politik lama. Kita tak boleh terlalu yakin dan pandang rendah sebab kadang-kadang, kelemahan (lawan) itu dapat diatasi melalui pengalaman yang ada," katanya.

Asmuni yang juga Pengarah Jentera Operasi PRN Melaka, berkata pihaknya juga sudah mula bergerak mendekati pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

"Kita sudah mula bergerak mendekati pengundi dengan cara tersendiri, dengan cara yang dibenarkan undang-undang ataupun dengan kata lain kita mengelak daripada pelanggaran kepada arahan (SOP)," katanya.

Mengenai calon parti itu bagi PRN Melaka, beliau berkata, senarai pendek sudah ada, tetapi belum boleh diumumkan buat masa ini.

"Kita pun belum buat keputusan, senarai pendek sudah ada. Sehari dua ini, insya-Allah kita akan umumkan calon," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), AMANAH menang dua daripada enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, iaitu Durian Tunggal dan Bukit Katil. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Semalam, Pakatan Harapan (PH) dilapor sudah memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN Melaka dengan jumlah akan ditandingi DAP kekal lapan kerusi; AMANAH sembilan kerusi dan PKR sejumlah 11 kerusi. #sumber

Share:

Program Rumah Rakyat Pahang Di Perluaskan Ke Tanah Hak Milik Di Dalam Kawasan FELDA !

KUANTAN - Kerajaan negeri meluaskan pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada golongan memerlukan meliputi tanah hak milik dalam kawasan FELDA di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu bagi membantu golongan memerlukan dalam kalangan generasi kedua FELDA memiliki rumah di atas tanah hak milik ibu bapa iaitu generasi pertama dalam kawasan rancangan tanah berkenaan.

Katanya, RRP bernilai RM65,000 seunit yang diberikan secara percuma akan dibina di kawasan sama dengan rumah ibu bapa mereka.

"Bagaimanapun, keizinan daripada bapa, ibu serta adik beradik diperlukan terlebih dahulu sebelum rumah dibina.

"Keputusan mesra generasi kedua ini dicapai pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, kelmarin.

"Ia satu lagi usaha kerajaan negeri dalam membantu generasi kedua FELDA memiliki rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, semakan undang-undang mendapati keputusan itu tidak bercanggah, manakala FELDA pula tidak mempunyai sebarang halangan kepada pengenalan dan pelaksanaannya.

"Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terbabit diminta bertindak memudahcarakan supaya program ini berjalan lancar dan berkesan serta memanfaatkan pihak penerima.

"Pegawai Daerah seperti mana peranan mereka dalam mengenal pasti dan memilih golongan layak menerima RRP di kawasan lain turut dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti dan memilih penerima RRP di kawasan FELDA," katanya. #sumber

Share:

Kerajaan Negeri Pahang Menubuhkan Pasukan Khas Tangani Penerokaan Tanah Secara Haram

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Pasukan Khas Elit Penguat Kuasa Negeri Pahang bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penerokaan tanah secara haram di negeri ini.

Pasukan khas di bawah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu disertai 20 anggota berusia di bawah 35 tahun.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui pasukan itu, aktiviti penguatkuasaan ke atas kawasan yang diteroka haram di negeri ini dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Menurutnya, usaha membendung kegiatan penerokaan tanah secara haram negeri ini agak sukar dan ia terus berlaku hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan negeri.

"Kegiatan itu terus berlaku dan memberikan gambaran seolah-olah kerajaan negeri gagal membendungnya.

"Melalui pasukan khas yang terlatih ini, kami berharap kes penerokaan tanah secara haram dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pasukan Khas Elit Penguat Kuasa Negeri Pahang di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA), Kem Galing di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner, Hassan Basri Ahmad Safar.

Wan Rosdy berkata, anggaran implikasi kewangan bagi penubuhan pasukan itu mencecah RM2.9 juta setahun termasuk bayaran emolumen, keperluan pejabat, aset dan kelengkapan diri anggota.

"Peruntukan ini agak tinggi namun ia bukti komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menangani kes penerokaan tanah secara haram di negeri ini," katanya.

Mengulas berhubung pasukan tersebut, beliau berkata, 20 anggota pasukan yang terpilih itu bukan bekas anggota mana-mana pasukan keselamatan, namun mereka diberikan latihan intensif menerusi kursus selama sebulan.

"Pemegang diploma ini perlu melepasi saringan kecergasan, ujian fizikal, tapisan keselamatan, tapisan insolvensi dan ujian personaliti sebelum dipilih menjalani latihan.

"Mereka juga wajib melepasi latihan asas kepolisan merangkumi latihan fizikal, latihan penggunaan senjata api dan latihan lain yang diperlukan," katanya.

Wan Rosdy berkata, pasukan itu diumpamakan sebagai 'pasukan komando' dan peranannya tidak bertindih dengan UPNP," katanya.

Tambah beliau, anggota pasukan itu juga diberi kuasa memegang dan menggunakan senjata api. #sumber

Share:

PRN Melaka: Sidang Majlis Syura Ulamak PAS Tentukan Keputusan "Guna Lambang" Ahad Ini

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan lambang yang akan digunakan oleh parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulamak yang akan bersidang Ahad ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, kenyataan akan dikeluarkan selepas mesyuarat itu berhubung penggunaan logo itu pada PRN Melaka

Sambil mengalu-alukan keputusan UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan parti itu, Ahli Parlimen Kubang Krian itu menegaskan bahawa pertembungan tiga penjuru perlu dielakkan pada PRN Melaka.

"PAS ingin tegaskan betapa perlunya elak pertembungan tiga penjuru di Melaka.

"Gambaran kerjasama dalam Kabinet hari ini perlu diterjemahkan dalam PRN Melaka dan PAS yakin rakyat ingin melihat muafakat ketiga-tiga parti kekal," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam yang memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Katanya, asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

Dalam temubual bersama BH dua minggu lalu, Tuan Ibrahim menegaskan PAS memberi jaminan parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang bakal ditandingi UMNO dan BERSATU pada PRN Melaka.

Beliau menegaskan walaupun berdepan kemungkinan jumlah kerusi ditandingi mereka jauh lebih kecil berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun keputusan itu dicapai dalam usaha PAS mengelak pertandingan tiga penjuru demi mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti. #sumber

Share:

PRN Melaka: PAS Akan Bincangkan Keputusan UMNO Mahu Jalin Kerjasama Politik, Ahad Ini !

MELAKA - PAS akan membincangkan mengenai keputusan UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, Ahad ini.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, berkata setakat ini pihaknya masih belum boleh memberi maklum balas mengenai keputusan UMNO itu.

"Pada dasarnya, PAS Melaka mengucapkan terima kasih dengan perkembangan terbaru daripada UMNO itu, tetapi kami perlu tunggu maklum balas daripada PAS Pusat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka.

Keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Asas persefahaman UMNO dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

Langkah itu bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya. #sumber

Share:

Tiga Lelaki Di Dakwa Atas Tuduhan Mengambil Tual Balak "Tanpa Lesen" Dari Hutan Di Pekan !

KUANTAN -Seorang kontraktor dan dua buruh didakwa di di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengambil balak di tanah milik kerajaan di Pekan, dekat sini minggu lalu.

Muhammad Saffrin Ahmad, 36, Ahmad Mustaim Muhamad, 30, dan Muhammad Taufik Hidayah Talib, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majib.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan membawa 43 tual balak dari hutan di Kampung Perlak, Mukim Penyor di Pekan tanpa lesen yang sah pada jam 3.30 petang 21 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perhutanan Negara 1984 yang diguna pakai di Pahang yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi merayu jaminan RM20,000 seorang kepada ketiga-tiga anak guamnya dikurangkan atas alasan pendapatan kesemua tertuduh hanya sekitar RM3,000 ke RM1,500 dan digunakan untuk menanggung keluarga.

Shahrul Rizal membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 18 November ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Afidatul Azwa Kamarulanuar. #sumber

Share:

PRN Melaka: SOP Di Ragui, Tengok Bola Boleh, Nak 'Kempen' Pilihan Raya Tidak Di Benarkan !


TELOK MAS - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengeluarkan Procedur Operation Standard (SOP) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengelakkan kekeliruan kaedah berkempen.

Dakwanya, ini kerana SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak jelas seterusnya menimbulkan pertikaian dalam kalangan parti politik.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) meletakkan syarat bahawa kalau negeri fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) contohnya, penonton boleh ke stadium menonton bola sepak sehingga 20,000 orang, jadi SPR nak pakai yang mana?

"Jadi, kalau ada (perlawanan) bola sepak dalam tempoh PRN ini dari segi (menurut SOP) KKM kata tak boleh.

“Rumah ke rumah tak boleh (pergi) tetapi bola sepak (penonton) boleh penuhi stadium. 

Ini perlu diberikan penjelasan. Maknanya SOP sebenarnya kita masih menanti dan SPR tidak boleh ambil masa begitu lama kerana kenyataan dibuat KKM menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak.

“Kalau katakan itulah SOP yang akan digunakan, semua program kerajaan di Melaka mesti dibatalkan sama ada Persekutuan ataupun kerajaan negeri. 

Tidak boleh ada sebarang bentuk program bersemuka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas minum petang di Jeti Nelayan Telok Mas, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu ujarnya, blok Pakatan Harapan (PH) sentiasa bersedia dengan perjalanan kempen norma baharu, namun berpendirian kempen secara konvensional tetap perlu dilaksanakan.

“Kita mesti gabungkan kaedah baharu dengan lama kerana kaedah itu tidak boleh dielakkan, yang mana hari mengundi masih menggunakan kaedah tradisional iaitu kena beratur, kena pangkah.

"Jadi bagaimana SPR atau kerajaan kata tak boleh (kempen) bersemuka? Ini perlu difikirkan, maknanya SPR ada SOP dia pada hari mengundi dan begitu juga dari sudut kempen ini saya percaya semua parti mahupun calon yang bertanding tidak mahu ada sebarang masalah terutamanya berkaitan COVID-19 dan akan kekal mematuhi SOP,” tambahnya lagi.

Selain itu, mengulas agihan kerusi bersama rakan parti dalam PH, beliau memaklumkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dikenal pasti dan jentera semua parti juga telah digerakkan untuk mencari kaedah-kaedah baharu dalam menyampaikan mesej kepada pengundi.

“Kita akan umum bila sampai masaya dan jentera juga telah diarahkan untuk merancang program supaya semua mesej yang ingin dibawa sampai kepada pengundi-pengundi.

“Esok akan ada pengumuman di Kuala Lumpur oleh Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pergerakan PH di Melaka ini serta banyak lagi aspek dan saya tidak mahu mendahului beliau,” tambahnya. #sumber

Share:

Pembinaan 'Tapak Pelupusan Kekal (PDF)' Sisa Radioaktif Kilang Lynas Kini Masih Lagi Dinilai

KUALA LUMPUR - Pembinaan tapak pelupusan kekal (PDF) sisa radioaktif di kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dijangka dapat dilaksanakan selepas kelulusan diperoleh dari Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sehingga kini tapak yang dikenal pasti bagi pembinaan kemudahan itu adalah di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan yang sedang melalui proses penilaian sebelum diberi kelulusan pembinaan.

Beliau berkata, pemindahan sisa radioaktif itu boleh disegerakan dengan mempercepatkan pembinaan kemudahan PDF.

"Sebelum kelulusan pembinaan, LPTA mensyaratkan dua aspek penilaian utama dipatuhi iaitu Penilaian Impak Radioaktif (RIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). 

"Penilaian RIA dan EIA sudah dihantar ke LPTA dan JAS pada September lalu dan bulan depan keputusan akan dibuat," katanya pasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Tack (PH-Bentong) sama ada LPTA masih berpendirian bahawa sisa radioaktif yang terkumpul di kilang Lynas perlu dipindahkan segera.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, penilaian awal RIA mendapati PDF di Gebeng itu diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko rendah dan tapaknya dinaikkan setinggi lima meter dari paras laut bagi mengelak kejadian banjir. #sumber

Orang ramai boleh semak laporan EIA tapak pelupusan Lynas

Share:

Terbuka Perancis: Lee Zii Jia Tewas Mengejut Kepada Pemain Rangking 40 Dari Singapura !

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menerima tamparan hebat apabila tersingkir di pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Perancis, hari ini.

Juara All England yang juga pemain ranking kelapan dunia itu tewas kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew 22-24, 14-21 dalam aksi selama 39 minit di Stade Pierre de Coubertin.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh memperagakan kebangkitan pada set pertama apabila menyamakan kedudukan 20-20 selepas ketinggalan 14-18.

Namun, jaguh perseorangan negara itu terpaksa akur tewas 22-24 kepada pemain ranking ke-40 dunia itu.

Kekalahan itu jelas menjejaskan aksi Zii Jia pada set kedua apabila dia gagal bangkit untuk mengheret aksi ke set penentuan apabila tewas 14-21.

Ia adalah kekalahan pertama Zii Jia kepada pemain Singapura itu dalam tiga pertemuan mereka setakat ini.

Sementara itu, pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampak tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara yang bergerak secara profesional, Goh V Shem-Low Juan Shen 25-23, 21-12.

Turut melangkah ke pusingan kedua beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen yang menewaskan pasangan dari Ukraine, Maria Stoliarenko-Yelyzaveta Zharka 21-12, 21-17.#sumber

Share:

"Calon Bebas" Di PRK DUN Chini, Blogger CMK Buat Kejutan Akan Kembali Sertai Parti Politik

KUANTAN - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada Julai 2020, Mohd Shukri Mohd Ramli akan membuat kemunculan semula bersama sebuah parti politik dalam masa terdekat ini. 

Beliau yang berehat daripada politik dan menjadi aktivis masyarakat sejak 11 Februari 2011 itu berkata, kemunculan semula beliau bagi memeriahkan kembali iklim politik dan demokrasi. 

"Selama 10 tahun saya berjuang sebagai aktivis, kini tiba masa saya menyertai semula politik untuk meneruskan perjuangan rakyat marhaen," katanya.

Menurut Shukri yang juga dikenali sebagai Blogger Cucumatkilau (CMK) itu, hasrat untuk kembali timbul selepas melihat amalan demokrasi di negara ini perlu disuburkan. 

"Saya dah lama berehat, banyak isu yang saya angkat termasuk isu penyelewengan rumah  murah dan tanah, isu kemusnahan alam sekitar,isu pencerobohan hutan, isu pencemaran Tasik Chini, isu pencerobohan haram durian Musang King di Raub, isu penindasan pekerja MCKIP, isu susur keluar LPT Pekan Tajau- Jengka  dan banyak lagi.

"Maka saya rasa sudah tiba masanya isu-isu ini diangkat oleh rakan-rakan politik ke dewan yang mulia sama ada DUN atau Parlimen. Maka itulah saya rasa perlu kembali kepada platform politik agar isu yang dibangkitkan itu lebih bergema selepas ini," tambah beliau.

Difahamkan beberapa buah parti politik membuka ruang untuk beliau setakat ini.

"Setakat ini ada tujuh buah parti termasuk dari kerajaan dan pembangkang yang menawarkan peluang untuk saya kembali aktif. Namun, saya hanya akan memilih salah satu daripadanya sebagai wadah perjuangan baharu saya untuk masa  hadapan.

Ketika ditanya apakah keputusan  itu bermakna beliau akan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 menggunakan lambang parti, Shukri mendakwa buat masa ini beliau belum terfikir ke arah itu. Namun katanya, terpulang kepada parti terbabit.

"Jika saya dicalonkan, saya terima. Jika tidak dicalonkan saya akan teruskan perjuangan seperti biasa. Bukan soal mahu menjadi calon atau tidak. Apa yang penting saya tidak akan menjadi calon bebas lagi bermula PRU-15 ini. 

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pimpinan parti yang memberi ruang kepada saya untuk berbincang dan menyatakan hala tuju parti masing-masing. Soal parti mana yang saya pilih itu adalah hak saya. Tidak perlu ada pihak yang kecewa atau sebaliknya," tambahnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang akan menyerang dan mengutuk keputusan beliau itu, namun baginya dia sudah lali dengan komen, kritikan, cacian, fitnah dan penghinaan yang dilontarkan terhadapnya.

"Saya jadi aktivis pun orang marah, saya bertanding bebas pun orang pertikai... maka tidak perlulah saya nak marah orang yang menyerang saya kerana kembali aktif berpolitik. Apa yang penting mereka tahu pinsip asas perjuangan saya ialah bukan membina kekayaan peribadi tetapi membela rakyat marhaen dengan lebih telus, adil dan berani," dakwa beliau.

Keputusan Shukri ini pastinya ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana kelantangan dan keberanian beliau menegur dan membangkitkan isu amat disokong oleh rakyat terutamanya dalam isu penyelewengan tanah yang melibatkan orang-orang dalam jabatan. 

Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi beliau dalam masa terdekat ini. #sumber

Share:

PRN Melaka: Gara-Gara Menganjurkan Sidang Media, MUDA Di Kompaun Sebanyak RM4,000

MELAKA -  Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dikompaun RM4,000 selepas mengadakan sidang media berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bangunan Stadthuys, di sini pada Rabu.

Kompaun itu dikeluarkan susulan penganjuran berkenaan dikatakan menyebabkan hampir 40 individu berhimpun sehingga menyukarkan kawalan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kompaun itu dikeluarkan kepada penganjur program, yang juga Pegawai Media Muda Melaka, Muhammad Adly Farhan Abdullah.

“Pihak polis telah menasihatkan penganjur untuk memberhentikan program tersebut kerana SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 bertarikh 24 Oktober lalu, melarang apa-apa program berkaitan PRN Melaka mulai 25 Oktober sehingga 27 November depan.

“Tetapi beliau tidak memberikan kerjasama dan meneruskan sidang media tersebut yang mana ia menyebabkan kehadiran orang ramai berkumpul dianggarkan 30 hingga 40 orang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ujar Afzanizar, polis kemudian memanggil penganjur sidang media berkenaan untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum kompaun dikeluarkan.

“Penganjur itu kemudian dimaklumkan telah melakukan kesalahan di bawah peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Pihak polis juga kemudian telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,000 kepada individu berkenaan kerana menganjurkan sidang media yang berkaitan PRN Melaka yang telah menyebabkan orang ramai berhimpun,” tambahnya.

Terdahulu pada sidang media itu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memaklumkan parti itu akan bertanding dalam PRN pada bulan depan.

Jelasnya pada sidang media yang berlangsung kira-kira 10 minit itu, ketika ini rundingan sedang diadakan bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan soal agihan kerusi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media sebelum ini, memaklumkan aktiviti perhimpunan serta majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November depan.

PRN Melaka bakal melibatkan 495,196 pengundi di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). #sumber

Share:

PRN Melaka: Barisan Nasional Kena Kompaun Anjur Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya !

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengadakan majlis perasmian Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di World Trade Centre (WTCKL) malam tadi.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kemas kini di Instagram malam ini, kompaun itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Kepong di bawah Akta 342 kerana menganjurkan majlis sosial.

Terdahulu, BN mengadakan perasmian Pelancaran Jentera BN PRN Melaka, di di Dewan Tun Hussein Onn WTCKL.

Antara yang hadir ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Penganjuran majlis sosial itu mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan banyak pihak mendesak KKM mengambil tindakan tegas terhadap penganjur.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021. #sumber

Share:

Dikaitkan Dengan Kes Pembunuhan Altantuya, Najib Saman Peguam Negara Tommy Thomas !

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan sebuah syarikat penerbitan berhubung kenyataan fitnah membabitkan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam buku berjudul 'My Story: Justice in the Wilderness.'

Bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman fitnah tersebut melalui Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di sini hari ini serta menamakan Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Penyataan tuntutan Najib, 68, mendakwa pada 31 Jan lepas, Thomas telah mengarang dan menyebabkan penerbitan buku itu yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya.

Beliau mendakwa buku itu telah diterbitkan oleh Gerakbudaya dan diedarkan di negara ini pada hujung Januari lepas dan seterusnya diedarkan secara meluas di pasaran antarabangsa.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa beberapa ekstrak daripada buku itu termasuk pernyataan fitnah telah diterbitkan semula di laman sesawang seluruh dunia selain mendakwa kedua-dua defendan tidak membuat sebarang pengesahan fakta dengan beliau.

Najib mendakwa pernyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau telah mengarahkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk membunuh Altantuya kerana kononnya wanita itu seorang perisik yang mengancam kepentingan negara selain mendakwa beliau telah mengelirukan rakyat mengenai kejadian pembunuhan tersebut bagi menutup kesalahannya.

Dakwanya pernyataan fitnah itu turut membawa maksud beliau telah mempengaruhi peguam Sirul Azhar dan orang lain untuk berjumpa dengan anggota polis tersebut di Villawood, Sydney bagi memastikan Sirul Azhar tidak akan membuat sebarang kenyataan membabitkannya dalam pembunuhan Altantuya.

Plaintif mendakwa tindakan defendan menulis dan menerbitkan pernyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan memperlekeh beliau dalam kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

"Tuduhan-Tuduhan yang dinyatakan dalam buku itu tiada merit, skandal dan dibuat untuk tujuan kolateral politik.

"Oleh itu, Thomas telah menyalahgunakan jawatannya sebagai Peguam Negara untuk mendapatkan 'keterangan' bagi menentang saya berhubung pembunuhan Altantuya," katanya.

Menurut Najib, pada Feb lepas, beliau telah menghantar surat kepada kedua-dua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf, kos dan pampasan namun mereka menafikan dakwaan itu serta enggan menerbitkan permohonan maaf atau membayar ganti rugi yang dituntut.

Najib mendakwa akibat penerbitan pernyataan fitnah itu, reputasinya terjejas dan beliau dipandang serong oleh masyarakat.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah dan satu perintah agar defendan mengeluarkan pernyataan fitnah daripada buku tersebut.

Turut dituntut, satu injunksi bagi menghalang defendan atau ejen mereka menerbitkan penyataan serupa selain permohonan maaf sekurang-kurangnya dalam tiga akhbar utama pilihan Najib selama tiga hari berturut-turut. #sumber

Share:

Tak Ada Masalah Menang: Ulama PAS Ingatkan Pemuda UMNO, Padah Jika Berlagak Sombong

KUALA LUMPUR - Seorang ulama kanan PAS 'mentarbiah' Pemuda UMNO berhubung isu hubungan di antara kedua-dua parti yang ketika ini dilihat tidak menentu.

Anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat Ustaz Mokhtar Senik berkata apabila Tuhan memberi peluang untuk sesuatu pihak menjadi insaf, peluang tersebut perlu direbut segera.

Peluang itu juga kata Mokhtar berupa kesempatan mengenal rakan dan lawan.

Dia juga mengingatkan bahawa kesombongan hanya akan mengundang kehinaan kepada pihak terbabit.

"Ingat, sekali lagi kita sengaja menyombongkan diri atas peluang yang Allah beri maka Allah akan timpakan kehinaan tiada tiada lagi kemuliaan yang tersisa dan berbaki," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Mengiringi kenyataan itu adalah tangkap layar laporan media yang memetik kenyataan Ketua Pemuda  UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berita itu bertajuk "60 tahun  UMNO bertanding sendiri, tak ada masalah nak menang: Asyraf" yang melaporkan pandangan pemimpin kanan  UMNO menjelang pilihan raya negeri (PRN) di Melaka pada bulan depan.

Laporan Agendadaily itu menyatakan UMNO dan BN tidak berdepan masalah untuk memenangi PRN Melaka walaupun perlu bergerak tanpa kerjasama parti lain.

“Kita ( UMNO) telah bertanding sendiri selama lebih 60 tahun sebagai BN.

“Atas asas itu, saya tak fikir kita akan berdepan masalah sangat (untuk melakukannya),” katanya.

PAS kini bertegas mahu mempertahankan kerjasama mereka dengan  UMNO dalam Muafakat Nasional dan pada masa sama kekal dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada masa sama  UMNO pula bertegas enggan bekerjasama dengan Bersatu yang dipimpin oleh bekas timbalan presiden mereka.

 UMNO juga pernah memberi gambaran bahawa parti itu terkilan dengan tindakan PAS membuat keputusan sendiri untuk menyertai PN walaupun ketika itu mereka sudah memeterai piagam bersama. #sumber

Share:

MUDA Umum Untuk Bertanding Dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, Pada 20 November Ini !

MELAKA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu kini dalam proses rundingan dengan parti dari blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) bagi pengagihan kerusi.

"Muda telah buat pendirian tetap untuk bertanding pada pilihan raya negeri ini. Kita akan berunding dengan parti-parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat.

"(Soal pembahagian kerusi) kita akan runding bersama dengan blok pembangkang dan akan diumumkan bersama selepas ini," katanya dalam sidang media," katanya pada sidang media di Bangunan Merah, Stadthuys semalam.

Mengulas lanjut penyertaan Muda pada PRN Melaka kali ini, Syed Saddiq berkata ketetapan itu diambil partinya kerana mahu mencetuskan budaya politik baru di negeri Melaka.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita cetuskan budaya politik yang baru, politik yang bermaruah, politik yang berintegriti dan untuk kita membugarkan semula politik di Malaysia.

"Politik (sedia ada di Malaysia) tidak boleh bersandarkan politik jawatan, politik wang dan politik pangkat semata-mata dan zaman di mana perebutan kuasa mengawal politik di Malaysia sudah tamat.

"Kita perlu hantar mesej yang jelas melalui pilihan raya negeri ini bahawa politik katak melompat tidak berintegriti, tidak bermaruah harus ditolak secara jelas," katanya.

Oleh yang demikian, menurut Ahli Parlimen Muar itu penyertaan Muda pada PRN Melaka kali ini akan membawa mesej yang jelas kepada rakyat mengapa pilihan raya negeri ini berlaku.

"Pilihan raya ini berlaku kerana perebutan kuasa dikalangan politik elit. UMNO tikam UMNO dan UMNO juga yang ingin bubarkan DUN (Dewan Undangan Negeri) ditengah-tengah pandemik, yang akhirnya mengakibatkan rakyat perlu membayar RM46 juta untuk membiayai PRN ini hanya kerana perebutan kuasa di kalangan politik elit.

"Tetapi dalam masa yang sama tidak cukup hanya menuding jari kepada pihak Umno semata-mata. Pada masa yang sama pihak pembangkang perlu jelas untuk menolak sesiapa saja katak-katak politik ini yang tidak mencerminkan budaya politik bermaruah dan berintegriti di Malaysia," katanya.

Kata Syed Saddiq, penyertaan Muda pada PRN Melaka juga adalah untuk menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan perubahan dan orang Melaka berhak mendapatkan kepimpinan baru yang lebih baik.

"Kalau sekadar jadi katak, melompat kerana mengidamkan jawatan ketua menteri, itu bukan dasar yang baik, bukan melompat untuk mempertahankan dan membela rakyat dan kita tak boleh lupakan perkara ini.

"Tidak kira kita di meja pembangkang atau pun di meja kerajaan dan yang akhirnya yang susah, terperangkap dengan pilihan raya semasa pandemik tidak lain tidak bukan adalah rakyat di Melaka, yang perlu membayar pilihan raya ini.

"Dan ini jelas salah, maka pendirian Muda adalah untuk menolak politik sebegini, politik yang tidak bermaruah, politik katak yang tidak mencerminkan budaya rakyat Malaysia yang sebenar.

"Ini adalah jalan untuk kemukakan salah satu landskap politik yang baru, muka-muka baru yang fokus kepada politik dasar dan khidmat untuk memastikan Melaka terus membangun," katanya.

Tambah Syed Saddiq, dia maklum partinya itu masih belum dapat didaftarkan kerana ketakutan pimpinan politik elit yang tidak membenarkannya melakukan perubahan politik di Malaysia.

"Kita juga faham, Muda bukanlah parti yang berduit, parti yang ada pangkat, parti yang ada kawalan terhadap media massa, yang ada kawalan terhadap politik wang di Malaysia.

"Tetapi apa yang kita tiada ini kita buat kerana kita ada idealisma, kita ada semangat perjuangan, kita ada prinsip yang jelas dan mereka yang sangup bersama dengan kita ini adalah mereka yang tidak mendambakan pangkat dan jawatan tetapi sanggup bekerja dari pagi hingga malam untuk pastikan prinsip dan idealisma itu diketengahkan," tegasnya.

Pada 4 Oktober, empat Adun yang diketuai oleh ADUN UMNO Sungai Udang, Idris Haron, mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman.

Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Ali membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November. #sumber

Share:

PRN Melaka: Rundingan "Pembahagian" Kerusi Komponen Pakatan Harapan (PH) Selesai 90%

MELAKA - Rundingan pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka telah selesai 90%.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp hari ini berkata pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan dalam minggu ini.

Ketika ditanya mengenai calon Ketua Menteri yang akan diketengahkan PH, Adly hanya berkata: “Dapatkan majoriti dahulu”.

Mengenai rundingan PH bersama Parti MUDA seperti yang dimaklumkan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini, bekas Ketua Menteri itu berkata PH terbuka untuk perbincangan.

“PH sedia buka pintu perbincangan supaya pembangkang boleh sepakat dan mempunyai satu calon sahaja,” katanya.

Syed Saddiq hari ini dilapor berkata MUDA berhasrat bertanding dan kini berunding dengan PH bagi meletakkan calon MUDA pada PRN berkenaan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali. #sumber

Share:

Kerajaan Persekutuan Tiada Halangan Tentang Cadangan "Bina Lapangan Terbang" Di Gebang

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan tiada halangan terhadap cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di kawasan perindustrian Gebeng di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara yang bersetuju agar projek itu dikaji secara lebih lanjut.

Menurutnya, secara dasar kerajaan serta agensi berkaitan tiada halangan terhadap projek itu dan ia boleh diteruskan.

"Projek ini merupakan perancangan jangka panjang yang akan dibangunkan mengikut fasa sehingga tahun 2050.

"Selain pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, projek itu turut melibatkan pembinaan pusat beli belah, hotel dan sebagainya yang akan dibangunkan secara penswastaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama kerajaan negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Wan Rosdy sebelum itu hadir menyempurnakan program tersebut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Wan Rosdy berkata, cadangan projek itu mengambil kira keperluan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negeri ini dan pantai timur khususnya.

"Ketika ini, Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah sedia ada 'menumpang' lapangan terbang Pangkalan Udara Kuantan (TUDM).

"Proses naik taraf atau pembesaran lapangan terbang itu tidak dapat dilakukan mengambi kira ruang yang terhad selain atas faktor keselamatan," katanya.

Tambah beliau, sekiranya lapangan terbang baharu itu berjaya direalisasikan, ia akan mewujudkan penerbangan terus dari negara luar terus ke Kuantan.

"Lapangan terbang sedia ada akan 'dikembalikan' kepada TUDM," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri menyenaraikan 13 projek mengikut keutamaan pada RMK12 termasuk tujuh projek pembinaan jalan raya di negeri ini.

Katanya, senarai itu antara 371 projek bernilai RM50 bilion yang dikemukakan kerajaan negeri.

Sementara itu, Mustapa berkata, sebanyak RM11.5 bilion diperuntukkan kepada Pahang dalam RMK11 di mana RM3.4 bilion dikhususkan untuk projek jalan raya.

"Bagi tahun ini, sebanyak RM326 juta diperuntukkan bagi tujuan itu.

"Untuk peruntukan tahun depan, ia bergantung kepada pembentangan bajet yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat ini," katanya.

Beliau berkata, perkara-perkara yang dibangkitkan kerajaan negeri pada sesi itu akan dipertimbangkan, manakala projek-projek sambungan dan projek dalam pembinaan akan diteruskan. #sumber


Share:

Kerajaan Negeri Pahang Kesan Anak Syarikat GLC Mengalami Kerugian, Terlibat Salah Laku

KUANTAN  - Sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang dikesan terlibat dalam salah laku membabitkan tadbir urus sehingga mengalami kerugian puluhan juta ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, salah laku itu dikesan selepas beliau mengarahkan audit forensik dilakukan ke atas GLC berkenaan.

Menurutnya, audit forensik adalah perkara biasa jika kerajaan negeri mendapati berlaku ketirisan yang tidak wajar berdasarkan perolehan GLC berkenaan.

“Ada satu syarikat GLC yang saya arah supaya melakukan audit forensik selepas mendapati aktiviti berjalan, perniagaan berjalan, tetapi (merekodkan) kerugian berpuluh juta ringgit.

“Saya rasakan tadbir urus syarikat ini seolah ada yang tidak betul. Apabila audit forensik dilakukan, ada pihak pengurusan GLC itu meletakkan jawatan serta-merta. Jadi, kita tidak mahu perkara seperti ini terus berlaku sebab yang menanggung kerugian adalah kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 peringkat Pahang di Kompleks Yayasan Pahang pada Selasa.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Ditanya sama ada terdapat GLC Pahang berada dalam ‘senarai merah susulan tindakan diambil ke atas GLC itu sebelum ini, Wan Rosdy berkata, keseluruhannya semua anak syarikat kerajaan negeri diuruskan dengan baik dan terkawal.

“Semua Ok (dalam keadaan baik), tapi perlu tambah baik dan setakat ini tidak ada mana-mana GLC yang berada dalam ‘list’ pemerhatian serta angka tidak pernah berbohong.

“Seperti tahun 2019, sejumlah RM19 juta keuntungan dicatatkan GLC diserahkan kepada kerajaan dan jumlahnya meningkat kepada lebih RM20 juta tahun lalu.

“Untuk tahun ini pula, GLC Pahang dapat menyumbang sejumlah RM52 juta kepada kerajaan negeri, maknanya boleh dikatakan cemerlang, tapi kita jangan pula berada dalam zon selesa,” katanya.

Wan Rosdy optimis ia merekodkan perolehan RM1 bilion bagi pendapatan kerajaan negeri tahun hadapan.

Tambahnya, kadar ketirisan perolehan dan isu membabitkan tadbir urus kerajaan negeri sudah dapat diatasi secara konsisten sejak beliau memegang jawatan Menteri Besar.

“Ketika saya mula dilantik Menteri Besar Pahang pada tahun 2018, Kerajaan Pahang mencatatkan kutipan hasil lebih RM600 juta dan tahun 2019 pula sebanyak RM700 juta.

“Peningkatan hasil kutipan tahun lalu RM800 juta dan saya sudah maklumkan kepada Datuk SS (Sallehuddin), sasarkan tahun hadapan RM1 bilion," katanya. #sumber

Share:

PRN Melaka: Muka Baharu Dan Muda Akan Jadi 'Calon BN', Tiada Kerjasama Dengan BERSATU !

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan calon baharu dan muda bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN juga tidak mengetepikan calon lama jika mereka berkebolehan dan diterima masyarakat setempat.

"Seramai 497,000 pengundi Melaka mahukan sesuatu yang baharu, jadi menerusi perbincangan dengan pengarah pilihan raya negeri dan bersama Perdana Menteri selepas ini, saya yakin mereka juga akan memilih calon muka baharu.

"Tetapi ini tidak bererti yang lama tidak baik, walaupun saya tidak dapat membaca hati mereka, namun saya harap mereka memberi ruang kepada anak muda ini," katanya berucap pada pelancaran jentera PRN Melaka, di sini, malam ini.

Turut hadir, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata, calon yang akan dipilih BN juga harus mempunyai sifat 'WALI' iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disenangi) semua kaum dan masyarakat.

Katanya, beliau juga akan memastikan calon dipilih bukan calon 'kegemaran' parti atau pemimpin negeri.

"Tidak ada calon 'favouritism', tiada calon Datuk Rauf, Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali, Mad Hassan, Zahid Hamidi atau Ismail Sabri, sebaliknya mereka adalah calon yang boleh menang.

"Kita mahu kemenangan yang lebih baik dan pembaharuan kepada pengundi. Jika yang lama (pemimpin) ada sifat 'wali,' jangan khuatir ada tempat untuk anda. Tidak ada yang baharu tanpa yang lama," katanya.

Ahmad Zahid turut mengulangi tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka dengan mengambil kira suara akar umbi parti.

"Kita tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka. Ini tidak akan berlaku. Ini bukan keputusan Presiden UMNO, tetapi suara akar umbi," katanya.

Ahmad Zahid berkata, meskipun tidak menjalin kerjasama dengan BERSATU, namun kempen pilihan raya ini dijalankan berlainan iaitu tidak mengutuk parti berkenaan.

"Kempen kali ini bukan kempen biasa kerana kita tidak perlu mengutuk seteru kita, sebaliknya menceritakan apa kebaikan yang kita ada, apa kelebihan yang boleh berikan kepada rakyat.

"BERSATU bukan musuh kita, tetapi hanya seteru politik saja," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut meminta semua pihak mengetepikan perbezaan pandangan, sebaliknya memberi fokus terhadap kemenangan BN di Melaka. #sumber

Share:

"Sembilan Daripada Sepuluh" Ahli Akar Umbi Tidak Mahu UMNO Bersama Dengan BERSATU

KUALA LUMPUR - Majoriti akar umbi UMNO tidak mahu parti itu mengadakan kerjasama dengan parti BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata itu adalah ukuran yang dilihatnya membabitkan pandangan akar umbi berhubung penerimaan dalam kerjasama antara parti pada pilihan raya berkenaan.

"Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu UMNO bersama dengan BERSATU. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.

"Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira," katanya hari ini.

Mohamad berkata, isu kerjasama dengan parti lain akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam esok.

Katanya, mesyuarat juga akan membentangkan persiapan parti untuk menghadapi PRN Melaka.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerjasama berkenaan banyak bergantung kepada PAS.

"Kita sentiasa menghulurkan tangan, tetapi PAS kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.

"Kita minta PAS buat keputusan, jangan pula UMNO dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya, kita sudah katakan terpulang kepada PAS, kita sentiasa menghulurkan tangan.

"Malah, pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan BERSATU, tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi itu terpulang kepada mereka (PAS)," katanya. #sumber

Share:

PRN Melaka: Empat Bekas ADUN Umum Parti Yang Akan "Di Sertai" Mereka Minggu Depan !

MELAKA - Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan mengumumkan penyertaan ke parti lain minggu depan.

Setakat ini, pertimbangan masih dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek, terutama kelangsungan politik mereka pada masa depan, selain perancangan untuk membantu memajukan Melaka melalui parti yang disertai kelak.

Bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, berkata beliau dan tiga lagi bekas ADUN, Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) tidak perlu terburu-buru membuat keputusan.

"Dalam politik, kita tidak boleh terburu-buru kerana perjuangan dalam politik adalah untuk membantu memajukan negeri ini dari segenap aspek.

"Adat bagi sesiapa saja yang hendak berjuang dalam parti baharu, biarlah pengumuman parti yang akan disertai itu dibuat pemimpin parti yang menerima keahlian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, katanya, tidak manis jika beliau dan tiga bekas ADUN terbabit mengumumkan sendiri parti yang akan disertai mereka, sebaliknya ia diserahkan kepada pemimpin parti yang bakal menerima keahlian mereka.

Idris dan Nor Azman sebelum ini dilaporkan akan menyertai satu daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu sama ada PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

Bagaimanapun, Norhizam dilaporkan tidak diterima menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mana-mana parti komponen PH berikutan keputusan Majlis Presiden PH yang sebulat suara menolaknya.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri berkata, beliau dan tiga lagi rakannya itu menerima pelbagai tawaran daripada pemimpin parti tertentu yang disifatkan sebagai bukan setakat bersetuju dengan tindakan keempat-empat ADUN terbabit menarik sokongan terhadap Sulaiman, malah pengiktirafan terhadap perjuangan mereka menentang korupsi.

"Tawaran memang banyak, tetapi biarlah kami menentukan yang mana satu pilihan kami demi perjuangan berterusan untuk manfaat rakyat Melaka," katanya yang enggan menjelaskan atau membayangkan parti yang bakal disertai mereka kelak.

Beliau turut mengakui pengumuman itu akan dibuat sebelum waktu sudah terlalu suntuk menjelang hari penamaan calon pada 8 November ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Idris yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi, manakala Nor Azman (BN) menewaskan Juhari Osman (PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Norhizam adalah bekas pemimpin DAP yang bertanding atas tiket parti itu, tetapi dengan menggunakan logo PKR pada PRU-14 menang dengan undi majoriti 2,756 selepas menewaskan Chua Lian Chye (BN) dan Ramli Dalip (PAS).

Noor Effandi pula menewaskan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Fendi Ahmad (PKR) dengan majoriti 1,288 undi. #sumber

Share:

Kes 1MDB: Najib Buat Laporan SPRM Terhadap Bekas Pengurus 'Goldman Sachs' Tim Leissner !

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak pagi ini membuat laporan kepada SPRM terhadap Tim Leissner, yang merupakan bekas Pengurus Kanan Goldman Sachs yang telah mengaku bersalah di mahkamah Amerika Syarikat kerana merasuah pegawai 1MDB dan pegawai kerajaan Malaysia.

Menurut Najib, laporan itu bertujuan mendapatkan senarai pegawai yang disogok Leisner berhubung skandal 1MDB, yang dipercayai boleh membersihkan namanya.

Awal tahun ini, peguam saya telah memenangi kes di AS untuk mendapatkan senarai nama, yang didedahkan oleh Leissner dalam pengakuan bersalahnya.

“Bagaimanapun, kerajaan AS melalui Jabatan Kehakimannya telah mencabar keputusan mahkamah AS dan menghalang nama daripada didedahkan.

“Pada masa yang sama, seorang peguam dari Brahman and Associates yang mewakili seorang lagi pengurus kanan Goldman Sachs, Roger Ng telah mengeluarkan kenyataan media mengatakan senarai nama itu adalah ‘bukti ekskulpatori’ yang boleh membersihkan nama saya daripada terlibat dalam penipuan 1MDB,” kata Najib dalam satu kenyataan.

Bekas Perdana Menteri itu juga telah membacakan kenyataan itu kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya awal hari ini.

Menurut DOJ, Leissner, yang merupakan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara dan pengarah urusan institusi kewangan itu, telah mengaku bersalah pada 1 Nov 2018 atas pertuduhan jenayah dan diperintahkan untuk membayar wang sebanyak ASD43.7 juta.

Dia mengaku bersalah kerana "bersubahat untuk mengubah wang dan berkomplot untuk melanggar FCPA dengan membayar rasuah kepada pelbagai pegawai Malaysia dan Abu Dhabi serta memintas kawalan perakaunan dalaman Institusi Kewangan".

Awal tahun ini, Najib telah diberikan sepina oleh mahkamah di Daerah Selatan New York, untuk bank itu dan Leissner menyerahkan kepadanya bahan yang dipertikainya sebagai penting untuk pembelaannya terhadap tuduhan jenayah berkaitan 1MDB di Malaysia.

Bagaimanapun, kerajaan AS telah memfailkan penangguhan perintah mahkamah AS kerana ia berusaha untuk campur tangan dalam hal Najib di sana.

Najib dalam kenyataannya hari ini berkata satu lagi percubaan pasukan peguamnya untuk mendapatkan senarai daripada mahkamah dan pendakwaan dalam kes 1MDB juga tidak berjaya.

“Saya hairan mengapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan bertindak seperti mereka tidak tahu (senarai) dan tidak mahu mengambil tindakan terhadap 1MDB dan pegawai kerajaan yang disogok oleh Tim Leissner, yang menyebabkan Goldman Sachs membayar RM16.4 bilion penalti dan pampasan kepada kerajaan Malaysia.

“Saya dinasihatkan dan memutuskan untuk membuat laporan kepada SPRM hari ini terhadap Tim Leissner, supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal atau membawanya ke Malaysia, atau meminta senarai nama daripada DOJ, supaya nama-nama itu boleh disiarkan kepada umum dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka." #sumber

Share:

PRN Melaka: Sama Ada "Kekal" Berkerjasama Dengan UMNO Atau Tidak, PAS Tetap Bersedia

KUALA LUMPUR - Sama ada kekal bekerjasama dengan UMNO atau sebaliknya, PAS sudah membuat persediaan sewajarnya, kata salah seorang pemimpin parti itu hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri  Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pada dasarnya mereka mahukan "ketiga-tiga parti" yang membentuk kerajaan pusat sekarang bersama dalam PRN pada bulan depan.

Katanya sebarang perpecahan dalam kalangan parti berkenaan antara UMNO, PAS dan Bersatu  hanya akan menggembirakan Pakatan Harapan.

PAS juga katanya akan menentukan langkah selanjutnya buat parti itu di Melaka selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan muktamad esok.

"Apa pun keputusan MKT UMNO pada Khamis ini akan menentukan segalanya, seperti jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh PAS, bentuk muafakat politik dan penyusunan jentera pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Status hubungan di antara PAS dengan UMNO  yang sebelum ini dimeterai melalui Muafakat Nasional masih menjadi tanda tanya menjelang hari penamaan calon PRN Melaka pada 8 November ini.

Di sebalik hubungan tersebut, PAS juga menjadi anggota komponen Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu sebuah parti serpihan UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menegaskan rancangan parti itu serta Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo mendepani PRN Melaka. Bersatu pula sudah menyatakan pendirian mereka yang bersedia meletakkan calon di semua 28 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimanapun beberapa kenyataan pimpinan UMNO di bawah Ahmad Zahid membayangkan bahawa mereka cenderung untuk terus bekerjasama dengan Bersatu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru bersama Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod PH merupakan parti yang mentadbir Melaka selepas mendapat mandat dalam PRU ke-14 pada 2018 sebelum berlaku 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan perubahan kerajaan negeri.

Bagaimanapun hayat kerajaan negeri itu tidak bertahan lebih lama selepas empat Adunnya menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.

Ekoran kehilangan sokongan majoriti speaker yang juga Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh kemudian mengumumkan pembubaran DUN bagi membuka kepada PRN. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 November ini sebagai hari mengundi.

Semalam Pemuda UMNO berpendapat kerjasama berkenaan kini bergantung kepada PAS. 

MKT UMNO dijangka bermesyuarat sekali lagi esok untuk memuktamadkan pendirian mereka berhubung PRN Melaka.

Menurut Tuan Ibrahim PAS berpendapat UMNO, PAS dan Bersatu wajar terus bersama untuk melalui PRN Melaka.

"Namun PAS bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya. #sumber

Share:
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN
[ Klik DI SINI Untuk Belajar Membaca Al-Quran Digital Online ]
PERINGATAN: PDO TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KOMENTAR YANG DI BUAT DALAM PORTAL INI. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI PEMILIK AKAUN BERKENAAN DAN TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN PENDIRIAN KAMI. SEGALA RISIKO AKIBAT KOMEN YANG DISIARKAN MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMILIK AKAUN TERBABIT. HARAP MAKLUM ~ ADMIN

Translate

Kunjungan Pelawat

Tukaran Matawang Asing

USD MYR CHARTS

Arkib Blog

Artikel Terkini

Lantikan Orang-Orang Besar Negeri Pahang Tidak Bersifat Kekal, Tertakluk Tempoh Masa Dan Penilaian Prestasi Dan Budi Bicara Raja

KUANTAN : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad...

Media Pilihan

Blogger Pahang

PDO. Dikuasakan oleh Blogger.