Pages

Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts

Tuesday, 12 October 2010

Ulasan Berharga Dari Seorang Sasterawan

Alhamdulillah, Allahuakbar!

Pemudaiman tidak menyangka yang setiap kerja amal dakwah yang kami usahakan mendapat perhatian dari orang ternama. Hasil karya pertama kami berjudul Mutiara Wahyu yang diterbitkan dua minggu yang lalu turut tidak terlepas dari pelbagai komen dan ulasan dari pelbagai pihak yang pelbagai latarbelakangnya. Terbaru, seorang yang kami anggap sasterawan dan mentor kami dalam bidang penulisan yang baru sebulan kami menziarahinya turut memberikan ulasannya. Sememangnya ulasan beliau mengenai buku ini tidak kami jangkakan kerana seorang yang telah bergelumang selama 40 tahun dalam bidang penulisan serta diiktiraf sebagai penulis prolifik di nusantara ini sudi meluangkan masa beliau, membeli, membaca serta memberi komen terhadap hasil karya kami yang tidak sehebat novel-novel karya beliau.

Pemudaiman ingin menyampaikan segunung penghargaan buat Ustaz Azizi Abdullah (Tukya) yang sudi menulis ulasan ringkas mengenai buku kami yang tidak seberapa ini. Kami mengharapkan tunjuk ajar ustaz dalam bidang penulisan yang kami usahakan dalam blog ini. Segala galakan yang ustaz berikan semasa pertemuan kita tempoh hari ( http://pemudaiman.blogspot.com/2010/09/jejak-ziarah-ke-teratak-tukya.html) serta komen ustaz mengenai blog pemudaiman dalam blog http://aziziabdullah.blogspot.com/ akan kami gunakan sebaiknya dalam usaha dakwah kami.

Buat pembaca dan peminat pemudaiman, kami sertakan di sini keseluruhan ulasan berharga dari seorang sasterawan:


Pemudaiman dan Mutiara Wahyu
Aidil Fitri hari ke empat 1431 yang lalu, saya dikunjungi oleh tiga anak muda dari pengajian tinggi. Seorang pensyarah dari UIA, seorang dalam proses PhDnya di USM yang bukan bidang keagamaan dan seorang lagi saya sudah lupa, tapi berperanan dalam ilmu-ilmu kebajikan.

Mereka datang menziarahi orang-orang yang mereka rasa patut diziarahi dan mereka memberitahu, mereka adalah kumpulan dari blog http://pemudaiman.blogspot.com. Mereka mewujudkan blog tersebut hanya semata-mata sebagai wadah dakwah, menyampaikan apa yang dirasakan patut, sesuai dengan ilmu dan perjuangan mereka.

Saya tersentak kerana ada juga golongan anak muda yang begitu prihatin tentang perlunya ilmu disebarkan dan ia tentunya secara percuma. Saya berfikir, alangkah baiknya jika ramai lagi yang dengan sukarela berbuat begini. Mereka dari kalangan terpelajar dan tentunya ilmu yang mereka lontarkan tidak sia-sia.

Baru-baru ini saya ke Medan Indonesia dengan hasrat mencari sedikit buku-buku. Di antara buku yang saya beli ialah “Menyibak Rahsia Sains Bumi Dalam Al-Qur`an’, ‘Mencari Tuhan Yang Hilang’, ‘Islam & Ekologi Manusia’ dan ‘The Amazing Stories of Al-Qur`an’. Buku-buku ini sangat hebat, termasuk juga dari segi jodolnya. Kehebatan jodol buku-buku Indonesia, menjadikan saya melontar kata dalam wacana TVRI SUMUT di hari saya ke sana, sebagai buku-buku yang penuh dengan penipuan jodol, touching dan memancing.

Kembalinya, saya menemui sebuah buku kecil dan nipis dari Pemudaiman ini, yang ditulis oleh Mohd. Syauqi Mod Zahir, salah seorang penggerak blog dan kerjamal ini bertajuk ‘Mutiara Wahyu.’


Huraian dan penulisan buku ini tidaklah sehebat mana, tetapi pemilihan mauduk (tematik) yang kemudian diadakan sedikit rengkasan, ulasan menjadikan buku ini sangat perlu dibaca oleh semua peringkat.

Saya tertarik dengan pancingan tajuknya seperti Qur`an dan Gunung, di mana sebuah buku Indonesia yang saya beli bertajuk Murka Alam, seakan begitu persamaannya. Kemudian ‘Manusia Pemakan Bangkai’, ‘Anak dan Isteri Menjadi Musuh,’ ‘Eksperimen 4 Ekur Burung,’ dan lain-lain.

Buku setebal hanya 104 muka, tidak membebankan untuk menghabiskan bacaan bagi mereka yang pemalas. Ia rengkas dan padat. Setiap ayat akan diulas dan disisip dengan maksud, dititip untuk amal.

Memang tepat hanya untuk mereka yang ingin Tadabbur dan tafakkur. Pelajar university sangat sesuai menjadikan ia ‘halaqah’.

Alangkah baiknya mana-mana korporat atau individu yang memiliki kelapangan kewangan, membelinya beberapa nakshah dan disedekah kepada setiap masjid sebagai pengisi khutub khanah. Ia pasti berfaedah.

http://aziziabdullah.blogspot.com/2010/10/pemudaiman-dan-mutiara-wahyu.html

Tuesday, 28 September 2010

Karya Sulung Pemudaiman

Alhamdulillah, pemudaiman amat bersyukur kerana dengan RahmatNya dan HidayatNya, setelah berusaha sedaya mampu dalam bidang dakwah Islamiah melalui karya-karya artikel ringkas, padat dan mudah, kami berjaya menerbitkan karya sulung kami iaitu buku Mutiara Wahyu. Sinopsis ringkas mengenai buku Mutiara Wahyu: Buku yang mengandungi 104 muka surat dan dibahagikan kepada 18 tajuk perbincangan yang dinamakan Mutiara Wahyu, merupakan kompilasi artikel ringkas yang telah diusahakan sejak pemudaiman ditubuhkan setahun yang lalu melalui kolum Mutiara Wahyu. Meminjam kata-kata saudara Norshahnaz dalam blog http://abuwafi98.wordpress.com/:

"Ianya dipersembahkan untuk bacaan dan memenuhi kefahaman orang awam yang mungkin sibuk untuk memahami ayat-ayat Al-Quran secara mendalam. Tiada masa untuk menelusuri tafsir secara terperinci, buku ini mempersembahkan ‘gist’ atau perincian penting di dalam Al-Quran yang boleh dikutip dan diamalkan. "

Tujuan penerbitan buku ini bukanlah untuk menonjolkan kehebatan ilmu si penulis atau aktifnya pemudaiman berbanding badan dakwah yang lain. Tetapi untuk memenuhi tuntutan dakwah Islamiah yang memerlukan kepelbagaian dalam metod dakwah;melalui alam maya dan buku tulisan- serta melihatkan kepada kerencaman latarbelakang manusia; ada yang mahukan bacaan ilmiah yang berat dan ada yang mahukan bacaan berfaedah yang mudah faham,santai dan murah. Atas pertimbangan tersebut maka buku ini diterbitkan. Buku Mutiara Wahyu ini boleh disifatkan sebagai:

Buku yang isinya mudah faham (understandable), reka bentuknya yang mudah bawa dan santai(mobile), harganya yang berpatutan (reasonable) di samping padatnya dengan tazkirah dan ilmu (comprehensive) yang diperlukan oleh semua yang ingin memahami ayat-ayat Al-Quran.

Buku ini amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dari golongan profesional dan bukan profesional, para pelajar universiti dan sekolah, yang muda mahupun yang sudah berusia, khususnya mereka yang mempunyai kesedaran untuk memahami kehendak wahyu Ilahi. Buku ini juga sesuai digunakan untuk perbincangan di kalangan muslimin di surau-surau dan masjid-masjid. Terutama sekali bagi pelajar Matrikulasi UIAM yang pernah atau akan mengambil subjek FIM1233 (Basic Themes of Al-Quran), buku ini amat sesuai untuk mengingati kembali semua yang pernah dan akan dipelajari dalam subjek tersebut.

Pemudaiman berharap agar kehadiran buku Mutiara Wahyu dipersada industri penulisan buku dapat memberi nilai tambah kepada dakwah Islamiah untuk masyarakat Islam yang sentiasa dahagakan hidayah wahyu terkandung dalam al-Quran. Adalah diharapkan juga agar para pembaca dapat menghebahkan penerbitan buku ini kepada sahabat handai, saudara mara, dan ahli keluarga masing-masing sebagai satu bentuk dakwah oleh anda sendiri. Bayangkan, sekiranya anda membeli buku ini sudah pun dianggap infaq fi sabilillah. kemudian anda menghebahkan kebaikan buku ini kepada yang lain sehingga mereka membeli, membaca dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, sudah pasti setiap usaha anda akan diganjari olehNya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sadaqah Jariah, Ilmu yang memberi manfaat, dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya. Sabda baginda dalam hadith yang lain: “Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka.

Marilah sama-sama kita bantu membantu dalam kerja dakwah ini. Firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maidah: 2)

Persoalan sekarang, adakah anda bersama kami?