Friday, 30 January 2026

HILANGKAN STRES DENGAN BERNIAGA


Hanya beberapa hari saja lagi iaitu pada 1 Februari 2026 perayaan Thaipusam akan bermula di Batu Caves Selangor.

Ketika ini ramailah rakyat marhaen sedang sibuk merancang percutian bersama dengan keluarga tersayang.

Yalah setiap hari dari Isnin sampailah Jumaat, ibubapa sibuk dengan kerja ataupun mungkin terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi menambah pendapatan keluarga.

Bila tiba saja cuti hari kelepasan am, maka inilah peluang terbaik untuk menghabiskan masa dengan isteri dan juga anak-anak.

Semua itu normal dan menjadi kebiasaan ibubapa atau sesiapa saja.

Namun diri lebih memilih sesuatu yang mungkin pada pendapat orang lain remeh dan tidak menguntungkan.

Setiap hari sibuk dengan pekerjaan utama dengan pendapat bulanan yang tidak sampai Rm2k sebulan. Ditambah lagi dengan banyaknya bayaran bulanan perlu diselesaikan setiap bulan.

Mencari masa berniaga secara buka bonet kereta ataupun car boot sale. Jujurnya ini bukanlah pengalaman pertama. Malah sudah berkali-kali diri terlibat dengan berniaga car boot sale ini.

Semua persediaan untuk menjual secara car boot sale ini banyak diri lakukan sendiri berdasarkan pengalaman terdahulu berniaga dengan adik.

Walau pada awalnya agak memenatkan namun tidaklah mengambil masa panjang untuk menyiapkan tapak untuk berjualan car boot sale. Semua dilakukan sendiri dan antara sesama peniaga car boot sale bukanlah orang dikenali.

Berkenalan dengan kawan baru serta dapat juga bertukar pandangan. Lagipun berniaga begini tidaklah memenatkan sangat. Hanya senyum, menyapa pelanggan dan memberi sedikit penerangan yang dijual itu.

Car Boot sale di daerah ini hanya diadakan pada malam Ahad setiap minggu dalam sebulan. Tapak dibuka hanya 10 tapak sahaja dan terpulang kepada para peniaga jika mereka tidak terlibat dengan aktiviti perniagaan lain.

Berniaga dari pukul 8 malam sehinggalah 12 malam. Tidak dibenarkan pulang awal kecuali hujan dan perkara yang tidak dielakkan.

Kebiasaannya pelanggan datang bersama keluarga, rakan-rakan ataupun saudara-mara. Berniaga secara car boot sale ini, masa lebih banyak berdiri.

Barang-barang yang dijual secara car boot sale  adalah baju lama ataupun baru tetapi jika baju lama pastikan tiada koyak, kotor dan masih dalam keadaan elok.

Walaupun keuntungan tidaklah sebanyak mana namun sekurang-kurangnya dapat jualkan semua barang yang tidak diperlukan lagi kepada orang lain.

Dan dalam masa yang sama keadaan dalam rumah kemas dan tidak menyebabkan ruang dalam rumah lebih kemas dan bersih.

Harapan diri ini semoga setiap malam minggu dikurniakan rezeki melimpah-ruah lagi berkah untuk urusan perniagaan berjalan lancar.

Sariah 
Hulu Bernam
12.06 malam.

Tuesday, 16 December 2025

PANGGILAN CINTA SI SCAMMER

 

 Kebiasaannya hanya mendengar saja orang lain yang terkena pasal si scammer ini. Hari ini Allah uji sedikit tempias dengan perangai scammer ini. Ketika sedang sibuk bekerja, tiba-tiba mendapat satu pesanan dari wasap mengatakan ada barang sedang di hantar ke rumah. Mulanya ingat kemungkinan ada barang yang anak-anak order. Maka berpesanlah kepada rider itu untuk letakkan barang dalam bekas ais box berwarna putih. Kemudiannya rider itu memberitahu bahawa dia bukan hendak hantar barang. Dia hendak mengambil barang yang hendak di return.

Bertambah pelik dan teringat juga, bila masa pula ada barang return. Barang yang hendak dihantar kepada anak, adalah. Itupun sudah selesai hantar petang semalam. Berkali jugalah si rider itu membuat kepastian, betulkah tiada barang. Maka tegaslah memberi jaminan bahawa memang tiada barang apa-apa.

Selepas itu, dia memberi pesanan menyuruh menjawab panggilannya walaupun tidak bercakap. Lagilah bertambah pelik dengan pesanannya itu. Terdetik di hati dia mungkin cara baru scammer hendak menipu pelanggan. Menurut rider itu lagi, dia kini sedang berada di hadapan rumah dan hanya menunggu saja. 

Puaslah dia merayu supaya angkat telefon ketika dia membuat panggilan kepada diri ini. Dengan alasan sibuk bekerja dan tidak boleh menjawab panggilan ketika waktu bekerja, itu sajalah alasan untuk menyelamatkan diri sendiri dan mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Lantas terus blok no telefon dan tiada lagi gangguan selepas itu.

Apa pun kejadian itu sangatlah menakutkan diri ini dan tidak dapar bayangkan apalah yang akan berlaku jika terkena kepada orang-orang tua yang langsung tidak cakna akan gelagat atau taktik terbaru para scammer jahaman ini. Mereka senantiasa ada cara baru hendak menipu dan akan gunakan pelbagai cara lebih kreatif untuk menipu semua mangsanya.

Syukurlah tiada apa yang buruk berlaku. Dan kebetulan pula aktif di socmed, maka adalah sikit pengetahunan tentang cara terbaru scammer menipu. Buat pengetahunan semua senantiasa berhati-hatilah dengan para scammer ini. Jikalau mendapat panggilan yang tidak dikenali, lebih baiklah tidak menjawab panggilan tersebut.


Sekian 

Hulu Bernam

12.20 am


Sunday, 14 December 2025

SAHABAT

Masa ingat ketika sekolah dahulu ada beberapa orang sahabat sejati. Namun bila usia semakin bertambah, tiada lagi wujud sahabat sejati.
Masing-masing sudah mempunyai kehidupan sendiri dan ada masalah dan tanggungan perlu mereka uruskan.

Sesekali bila melihat mereka meluangkan masa bersama sahabat lain, hati teringin untuk turut serta. Tetapi mereka pun mungkin sudah terlupa akan kewujudan diri ini.

Ada sedikit luka terpalit. Namun tetap diri usaha berfikiran positif. Mengenangkan diri pun tidak sehebat mereka, maka redha sambil mendoakan yang terbaik buat mereka semua.

Tidak apa yang perlu dikesalkan.
Lumrah kehidupan begitu. Jikalau hebat, kaya dan kehidupan senang maka cepat saja orang kenal dan ingat.

Tetapi jika kehidupan biasa tambah tiada apa yang dibanggakan, maka begitulah aturannya.

Hilang sahabat dan tinggallah diri dan keluarga dan kehidupan yang masih bersisa ini.

Tuesday, 2 December 2025

HARGAILAH SEBUAH RUMAHTANGGA

 


Semakin hari semakin tidak faham diri ini sebagai seorang wanita dan juga pernah bergelar seorang isteri satu masa dahulu. Berusaha juga memahami apakah yang seorang lelaki bernama suami mahukan dalam sebuah rumahtangga. Apakah hanya sekadar layanan nafsu, sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun suami. Melalui permerhatian sebagai seorang ibu tunggal adakala bertembung dengan suami-suami yang agak liar ini sangatlah menakutkan. 

Bukanlah semua, ada juga suami yang masih lagi menjalankan tanggungjawab yang baik dan menghormati isteri serta dapat menerima segala kekurangan si isteri seikhlas mungkin. Terserempak dengan lelaki bernama suami yang gemar menjamu mata memandang wanita lain penuh nafsu itu yang merisaukan. Jika dilihat ada rumahtangga yang pada pandangan mata seorang wanita khilaf ini bagaikan lengkap sebagai sebuah rumahtangga impian ramai wanita,

Mempunyai isteri cantik, berjawatan baik dan berpendidikan tinggi. Isteri pula berasal dari sebuah keluarga kaya dan ada segalanya. Tetapi tetap juga si suami seolah melihat wanita lain bagaikan tidak pernah berjumpa dengan seorang wanita. Pengalaman sendiri juga sepanjang bekerja sebagai seorang pembantu gerai, selalu berjumpa dengan lelaki-lelaki begini. Paling menyedihkan ada yang sudah berusia juga mempunyai cucu-cicit ramai.

Betapa mudahnya seorang lelaki bernama suami lupa akan isteri mereka di rumah. Senantiasa tidak berpuas hati layanan isteri dengan alasan isteri sudah berumur, menoupse, sibuk banyak kerja dan lain-lain lagi. Pernah terfikir ke walau sesaat jika suami jatuh sakit, pasti isteri menjaga suami sepenuh hati dan sanggup berkorban apa saja. Bila suami sudah sihat kembali membuat onar tanpa ada perasaan bersalah. 

Itulah yang diri ini semakin tidak faham. Paling tidak boleh diterima meletakkan alasan nafsu sebagai sebuah jaminan kebahagiaan dalam rumahtangga masing-masing. Maksudnya, isteri sudah lagi tidak mampu melayan tuntutan nafkah batin kepada suaminya. Mulalah pihak suami sibuk ke sana sini memasang umpan ' memancing' ikan yang baru. Namun tidak semua perkahwinan baru itu memenuhi apa yang seorang suami mahukan. Malah menjadi satu bebanan pula kepada suami kerana terpaksa asyik menjaga hati iseri barunya itu.

Akibatnya kucar kacirlah sebuah rumahtangga. Hancur berkecai dalam usia suami dan isteri semakin bertambah, Terakhir tinggallah suami semakin lanjut usia dan sakit juga tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan lagi.

Walaupun tidak semua rumahtangga begitu, tetapi itulah hakikatnya. Sepatutnya semakin bertambah usia sebuah rumahtangga makin menghargai sesama sendiri kerana pasangan masing-masing bukanlah lagi muda dan bertenaga. Bertahun melayari sebuah rumahtangga patutnya semakin cerdik dan matang dalam memahami istilah sebuah rumahtangga. Diri bukanlah seorang pakar motivasi, tetapi rasanya tidak salah memberi sedikit pandangan berdasarkan apa yang berlaku dalam rumahtangga sendiri. 

Kurang berkomunaksi sesama sendiri, kurang memberi perhatian, berbincang dan kurang menjalankan aktviti bersama. Maka runtuhlah sebuah rumahtangga yang dibina atas nama cinta dan juga kasih sayang. Sebagai seorang wanita senantiasa berharap lagi berdoa agar tiada lagi wujud kejadian seumpama lagi.

Hargailah sebuah rumahtangga dan belajarlah memahami pasangan masing-masing. Semakin bertambah usia suami dan isteri maka banyaklah bersabar melayani kehendak pasangan. Saling bertolak-ansur, saling membantu dan berterus teranglah jika ada yang tidak berkenaan di hati masing-masing. 


Sekian
Sariah 
Hulu Bernam 
10 malam
2 Disember 2025

Monday, 1 December 2025

BERTABAHLAH DUHAI HATI


Sekian lama berkorban segalanya demi anak-anak. Bila anak-anak sudah dewasa punyai kehidupan sendiri perlahan-lahan berada diri terabai.

Adakah salah perasaan itu?
Adakah itu menampakkan ikhlas atau tidak peranan kita sebagai seorang ibu?
Adakah berdosa kepada Tuhan mempunyai perasaan begitu?

Namun hanya Tuhan maha tahu segalanya.
Mungkin ada sesuatu yang Allah sampaikan.
Atau memang khilaf diri masih mengharapkan manusia seperti satu masa dahulu.

Bukanlah selalu perasaan itu ada.
Tetapi hadir sesekali. Normal jiwa seorang ibu.
Bergelar seorang ibu mentua pun, bukanlah dalam kategori ibu mentua cerewet.
Memandang diri tiada harta, pangkat dan duit ringgit maka tiada berharap apa-apa kepada menantu.

Cukuplah tidak pisahkan kasih sayang seorang ibu dengan anak lelakinya itu saja.
Namun sesekali bagai disalah erti. Apa pun tidak mengapa.
Percaya Tuhan maha melihat dan menilai segala.
Kerana hati manusia Tuhan yang pegang dan bukannya manusia.

Kelak sebesar hama pun kejahatan pasti ada balasannya.
Tambahan lagi kejahatan kepada seorang bergelar ibu yang seluruh hidup berkorban demi anak-anak tersayang.

Tidak minta dibalas cukup sekadar kasih sayang walaupun tidak selalu.
Bakal berakhir tahun 2025 dan tirai bulan Disember berlabuh kelak senantiasa berdoa agar diri sihat dan tidak menyusahkan anak-anak.

Jikalau ditimpa kesusahan ataupun kesakitan, biarlah diri sendiri menanggungnya.
Wahai hati, bersabarlah mengharungi kehidupan singkat lagi sementara.

Pujuklah hati untuk memaafkan segala kekhilafan dan berdoalah agar Tuhan ampunkan segalanya.
Aamiin Ya Rabbialamiin.



Hulu Bernam
2.04 petang.

Thursday, 27 November 2025

HANYA BERHARAP KEPADA-NYA

Agak lama tidak menulis perkembangan terkini tentang kehidupan di ruangan blog ini. Hampir bersawang dan kini berusaha untuk jadikan seperti diari menulis tentang apa saja tentang rutin kehidupan.

Jujurnya hari ini berdebar-debar. Tambahan lagi perkembangan terkini tentang keadaan cuaca dan juga musibah banjir sedang melanda beberapa negeri sejak kebelakangan ini.

Siapalah yang tidak risau? 
Tinggal sendirian, anak-anak jauh belajar dan sudah pun mempunyai kehidupan sendiri.

Hendak mengadu apa saja, bimbang menjadi beban kepada anak-anak pula. Risau juga timbul salah pada anak menantu.
Namun sekarang keberkesanan terus kepada maha pencipta.
Dia yang berkuasa atas segala apa berlaku kini dan perkara yang akan datang.

Sebagai hamba yang banyak kekhilafan lagi kekurangan hanya mampu berdoa, solat, zikir dan juga selawat.

Itu sajalah jalan terakhir.
Setiap kali lintasan risau bertandang terus saja mulut zikir lantas berdoa.

Hanya itu kekuatan saat ini.
Perasaan hati senantiasa berdebar-debar.

Apa pun berserah hanya kepada-Nya.
Yakin tiada yang lebih berkuasa selain Allah maha esa.

Sebelum masuk beradu menadah tangan memohon atas segala kekurangan diri ini.
Dan semoga esok semua dilindungi dari apa saja musibah dan perkara yang tidak diingini.
Aamiin Ya Rabbialamiin.


Hulu Bernam
27 November
00.23 pagi.

Monday, 3 November 2025

SYUKURILAH

Alhamdulillah. Agak lama juga tidak menulis di ruangan yang mula-mula mengasah bakat menulis ini. Apa pun bersyukur Allah masih kurniakan kesempatan untuk ada ilham menulis walaupun sibuk dengan rutin kehidupan.

Sejak anak lelaki mendirikan rumahtangga juga anak perempuan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda, adakala perasaan sunyi bertandang juga di hati ini. Kerinduan mengenang momen-momen indah menguruskan anak-anak sekolah rendah dan juga menengah. Kemudian mereka melangkah menyambung pengajian di peringkat seterusnya.

Sangat sedar anak-anak sudah punyai kehidupan sendiri. Namun kadangkala teringin juga di hati ingin perhatian dari mereka sebagai seorang ibu.
Namun hasrat itu dipendam dan disimpan kemas sebaik mungkin dan hanya menadah tangan terus berdoa kepada-Nya.

Memadam keinginan seorang ibu kerana sedar anak sudah punyai tanggungjawab utama. Selayaknya utamakan apa yang lebih penting dari segala hal utama.

Jauh di sudut senantiasa tidak lelah berdoa maafkan kekhilafan anak-anak kerana tidak mahu Allah menghukum mereka pula. Cukuplah diri seorang ibu ini redha dan restui setiap perjalanan mereka. Dan perkara lebih penting berusaha isikan setiap masa terluang dengan anak perkara lebih berfaedah sekaligus menjadi tiket ke syurga di sana nanti.

Sementara masih ada ruang dan peluang banyaklah melihat diri dan membuat apa saja persediaan. Berusaha capai segala impian kecil dan meletakkan penghargaan terus kepada-Nya.
Insya-Allah.

Nota : Tersenyum dan tersengih ketika kenduri pernikahan anak lelaki pada bulan lepas.

HILANGKAN STRES DENGAN BERNIAGA

Hanya beberapa hari saja lagi iaitu pada 1 Februari 2026 perayaan Thaipusam akan bermula di Batu Caves Selangor. Ketika ini ramailah rakyat ...