Tinta Dari Dasar Hati Insan ....

Showing posts with label Mauizah. Show all posts
Showing posts with label Mauizah. Show all posts

UNTUKMU IBU & ANAKKU




“Umi, ini untuk umi…..” tangan  kakak menghulur  sambil  menyerahkan sekeping kertas . Zaid dan  Adam tersenyum sambil menyerahkan juga sekeping kertas . Masing-masing  menghasilkan kreativiti     bakat melukis  mereka. Tertera di dalamnya kata-kata ucapan seorang anak kecil yang gembira menyambut Hari Ibunya.
Aku sekadar mengucapkan terima kasih  bagi  menghargai  mereka  . Namun sehingga kini  ibu mereka belum pun dapat menunaikan permintaan  mereka. Permintaan mereka agar kad ucapan mereka dipamerkan dalam blog keluarga. Bagiku , cukuplah sekadar mereka memahami bahawa  , keutamaan Hari ibu itu bukanlah pada sekeping kad dan ucapan. Malah ia lebih jauh dan lebih besar dari itu.
Ah…anak-anak !! Apa yang engkau  fahami dan mengerti  di saat kedewasaanmu  yang belum tiba.Aku ibumu di sepanjang hidupmu hingga ke syurga. Pengasuh  pembesaranmu , pendidik  peribadimu,pecinta abadi untukmu.Ibulah segalanya pada setiap anak yang dilahirkan ke dunia.

Wahai insan bergelar Ibu!!
Suatu ketika nanti saat hidup  membuah bahagia, kejayaan diraih, berstatus kerjaya  yang baik, punya keluarga bahagia, ibumulah yang paling bahagia. Bahagia bukan kerana  mengharap semua  itu dari anak, tetapi bahagia  dalam kepuasan dapat  menunaikan tanggungjawab  sebagai  menjaga  amanah Allah.
Namun  ketahuilah sekalian yang bergelar  ibu ,tanggungjawab tidak berhenti sama sekali di situ.Bagaimana didikan agamanya, bagaimana pilihan calon pasangan  hidupnya ,bagaimana rumahtangganya?Semuanya memerlukan kata nasihat dan panduan .Ini tidak bermakna mencampuri urusan hidup si anak, tetapi bagaimana membimbing anak itu hingga berjaya dunia akhirat. Wahai Ibu…. Tanggungjawabmu masih panjang!!

Wahai  anak yang dilahirkan!!
Bagaimana ungkapan  kasih ibu hingga ke syurga  perlu  difahami  sedalamnya?Atau kata-kata biasa kita dengar  syurga itu di bawah telapak kaki ibu? Ketahuilah…… sehingga ke penghujung usia , si anak akan terus menuntut kasih sayang  berpanjangan dan si ibu pula menuntut  perhatian mesra .  Si ibu yang tua  lemah tidak berdaya lagi. Nah , bagaimana nanti si anak akan menghadapi situasi ini? . Benci atau masih ada ihsan? Derhaka atau soleh yang engkau pilih? 
Wahai anak!! Apakah perasaan mulia yang mesti ada pada seorang anak terhadap  ibunya? Tentu hanya satu sahaja iaitu kasih sayang.Betapa besarnya nilai kasih sayang . Usahlah hendak dibandingkan dengan kekayaan dan kemewahan yang mengulit hidupmu.Lalu usah dibayar pengorbanan  orang tuamu dengan  kata yang menghancur hati meluluh jiwa kecilnya.

PESAN IBU
Mari  fahami anakku !Hari Ibu bukan pada sambutannya, bukan pada kad ucapan dan bukan pula pada hadiah yang diberi. Saat dewasa dan kau membaca tulisan ini nanti, fahamilah sedalamnya akan pengertian seorang insan bergelar ibu!!



FITRAH KETUHANAN DAN BERAGAMA



Fitrah ketuhanan atau fitrah beragama sememangnya wujud dalam diri setiap manusia . Fitrah ketuhanan yang ada dalam diri seseorang yang menyebabkan ia sentiasa mendorong akal yang dikurniakan  Allah untuk berfikir  tentang hakikat ketuhanan yang sebenar .
Maka jelaslah fitrah bermaksud sifat semulajadi yang ada pada setiap kejadian Allah manakala fitrah beragama ialah naluri semulajadi manusia yang mengakui adanya Allah . Ini dijelaskan dalam Al-Quran yang bermaksud: 
“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu;Siapakah yang menurunkan hujan dari langit , lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?’.Sudah tentu mereka akan menjawab ; Allah”. (Al-Ankabut :63 )
Perhatikan pula dalam lembaran sejarah nabi di mana di awal kisah Nabi Ibrahim sebelum menerima wahyu pertama ,telah membantah perbuatan bapanya sebagai pengukir patung atau berhala untuk disembah oleh kaumnya dan baginda sentiasa  tercari-cari tentang hakikat ketuhanan yang sebenar untuk melahirkan kesyukuran dan ketaatan kepada-Nya sebagai seorang hamba.
Firman Allah yang bermaksud : “ Dan (ingatlah) ketika nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Azar : Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?.Seseungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. ( Al-An’am ayat 74)
Kita lihat pula sejarah awalnya  Nabi Muhammad Rasulullah saw .Baginda sama sekali menolak amalan tradisi masyarakatnya dan mengasingkan diri di gua Hira’. Motifnya hanya satu untuk bermunajat memikirkan hakikat ketuhanan dan kebenaran . Perkara ini berlanjutan sehinggalah baginda didatangi Malaikat Jibril meyampaikan wayhu

SEJAUH MANA KEFAHAMAN KITA?
Bagaimana pula dengan kita ? Ya …apa yang  dialami oleh nabi kita, begitulah juga sama dengan apa yang dialami oleh diri kita. Imbaslah kembali semasa usia kita hampir baligh. Apa yang ada dalam pemikiran kita sewaktu itu. Tidak lain hanyalah akal kita telah didatangi dengan satu pemikiran dan persoalan tentang siapa kita, dari mana kita datang, siapa pula yang mencipta kita dan seluruh kejadian di alam ini?
Saya kira anda semua juga tidak menafikan bahawa inilah yang dikatakan naluri ketuhanan yang sememangnya wujud dalam diri seseorang .Setiap orang yang bersih dan suci hatinya , mempunyai pemikiran yang matang dan penuh keinsafan .Dalam    hati setiap manusia mengakui kewujudan Allah.Buktinya  dilihat apabila  manusia itu  di saat menghadapi bencana yang dahsyat  seperti  lemas di tengah lautan . Apakah yang ada dalam fikiran kita saat itu? Sudah tentu kita  mengharapkan pertolongan dari satu kuasa yang dapat menyelamatkan diri kita.
Keadaan inilah yang berlaku pada Firaun yang memohon pertolongan Allah daripada tenggelam di lautan ketika mengejar nabi Musa dan pengikutnya.( Lihat Al-Quran surah Yunus ayat 90). Namun Firaun terlambat untuk mengakui Allah itu Tuhan Yang Esa.
Kisah Firaun yang telah dirakamkan Allah dalam Al-Quran menjadi iktibar kepada generasi muslim seterusnya agar tidak sombong dan bongkak . Ia tentunya berpunca dari penafian terhadap nalurinya pada hakikat ketuhanan sehingga mengaku dirinya Tuhan.

DIDIKAN MENGENAL ALLAH PADA ANAK-ANAK
Jesteru , pengetahuan hakikat ketuhanan ini perlu disemai dan dibaja lebih awal lagi dalam diri anak-anak. Bimbingan kefahaman ini perlu diberikan agar anak-anak akan terbentuk menjadi hamba yang meletakkan Tuhan dalam dasar jiwa dan pemikirannya. Ini  supaya setiap tingkahlakunya akan  seiring dengan akhlak Islam dan tidak akan tersasar dari landasan agama .
Ramai di kalangan ibu bapa menganggap hakikat ketuhanan ini sangat berat untuk difahami anak-anak yang dianggap masih mentah .Hakikatnya ia wajib disampaikan berbekalkan ilmu dan mantik yang boleh menarik anak tersebut  memahaminya. Mustahil jika ada anak kecil hampir baligh menafikan kewujudan Tuhan . Akal fikiran mereka yang masih bersih itu menerima dan mengakuinya jika ditimbulkan pertanyaan  . Inilah yang dikatakan naluri  beragama.
Selepas pengetahuan tentang hakikat ketuhanan ini ada pada setiap anak-anak, secara tidak langsung  mereka akan mentaati kedua ibu bapanya dan menjadi anak yang soleh. Ini kerana mereka telah mengetahui dan memahami siapa diri mereka,dan dari mana mereka datang.
Kenapa demikian?

PENCIPTAAN MANUSIA
Saya yakin kebanyakan kita  mengetahui  bagaimana bermulanya penciptaan Adam a.s.
Allah berfirman bermaksud : “ Apabila aku telah meniupkan roh-Ku ke dalam dirinya (Adam) , maka bersujudlah kamu”.
Kejadian Adam sebagai manusia pertama kejadian, tidak sama dengan diri kita ini yang melalui proses pencantuman benih dan hidup di alam rahim. Namun Allah meniupkan ruh-Nya ke atas janin dalam kandungan sewaktu berusia 4 bulan hakikatnya menyamai penciptaan Adam yang ditiupkan ruh.
Apa yang hendak dijelaskan di sini, betapa mulianya seorang ibu yang mana rahimnya ditumpangkan Allah ruh-Nya dalam diri setiap anak yang dilahirkan. Atas sebab inilah saya  yakin mengapa Allah itu meletakkan  ibu insan yang wajib ditaati.
Jesteru kembalilah kepada kefahaman fitrah beragama dan ketuhanan sejak awal lagi kerana ia titik permulaan untuk menyeru manusia menjadi dan mengakui sebagai hamba kepada Allah penciptanya sehinggalah kita  mati pulang ke pangkuan-Nya. 

ISLAM DAN PEKERJAAN


Tajuk yang mudah dan ringkas ini biasa kita dengar dan baca di mana-mana. Walaubagaimanapun , sejauh mana pula umat Islam itu memahami dan menghayati seterusnya mengaplikasikannya dalam menjalani kehidupan sebagai muslim dan mukmin.

Dewasa ini kerap kita baca di dada akhbar tentang kes rasuah sentiasa berlaku di mana-mana. Kerap pula kita dengar ia terjadi dalam kalangan orang Islam itu sendiri . Sedangkan agama Islam yang dianuti itu telah menggariskan halal haram sesuatu itu yang  wajib dipatuhi umat sebagai penganutnya
Pekerjaan ialah satu kegiatan yang dilakukan untuk mendapatkan pendapatan yang halal 
Pandangan Islam terhadap pekerjaan ialah sesuatu yang mulia, merupakan satu ibadat ,satu cara melahirkan masyarakat yang tolong menolong,juga ianya satu kewajipan yang mesti ditunaikan.Islam menuntut umatnya bekerja kerana ia akan dapat meningkatkan taraf hidup seseorang, membolehkan seseorang itu berdikari tanpa bergantung kepada orang lain, malah ia menjadi tanggungjawab individu.
Matlamat bekerja dalam Islam ialah supaya manusia itu dapat mencari rezeki yang halal, membangun dan memajukan ekonomi serta yang paling utama mendapatkan keredhaan Allah.
Namun apakah ciri-ciri pekerjaan yang dianjur dan digalakkan dalam Islam? Pekerjaan itu hendaklah halal, tidak mengganggu orang lain, tidak membahayakan diri sendiri  serta tidak melalaikan  diri beribadah kepada Allah

BEKERJA KERANA ALLAH
Maksudnya ialah melibatkan diri dalam satu kegiatan secara berterusan untuk mencari nafkah kerana Allah
Apabila bekerja itu disandarkan kerana Allah , kesan dan implikasinya sangat besar .Jiwa pasti tenang, hidup diredhai dan diberkati Allah malah masyarakat akan memandang mulia.
Apa pula syarat yang menjadikan sesuatu pekerjaan itu menjadi ibadah? Pekerjaan itu hendaklah yang halal , ia tidak melalaikan  kita beribadah kepada Allah,seterusnya  pekerjaan itu tidak mengganggu kepentingan awam.
Bekerja kerana Allah juga mestilah mengikut etika yang telah ditetapkan oleh Islam seperti ikhlas kerana Allah,melaksanakan tanggungjawab dengan amanah , bekerja bersungguh-sungguh dan tekun serta sentiasa mematuhi ketua selagi ia tidak bertentangan dengan Islam
Langkah-langkah mempertingkatkan kualiti kerja pula ialah sentiasa membuat perancangan yang rapi , berdisiplin dan menilai  semula kerja yang telah dihasilkan untuk penambahbaikan.Justeru kelebihan yang akan diperolehi sekiranya bekerja kerana Allah sudah tentu akan melahirkan pekerja  yang ikhlas, amanah, bermotivasi , produktif dan cekap.

Oleh itu penulisan ini sangat penting diketahui dan difahami serta dihayati supaya kita saling mengingatkan antara satu sama lain.

AMAL : IMPAK DAN KEPERLUANNYA


Manusia itu tidak lari dari  amal perbuatannya seharian. Setiap orang berbeza amalnya  masing-masing mengikut kefahaman dan penghayatan agamanya.Sejauh mana kita memahami maksud amal dan sejauh mana pula kepentingan , keperluan dan impak amal itu dalam hidup kita...

Amal Dan Perumpamaannya

Amal merupakan satu usaha untuk menghilangkan keburukan yang tidak sepatutnya ada pada diri seseorang itu. Kita ibaratkan  manusia itu umpama cermin . Cermin yang sempurna ialah berupaya menerima bayangan sesuatu dan memantulkannya sesuai dengan bentuk aslinya. Namun bagaimana hendak mengekalkan fungsi cermin itu dengan baik?

Ada dua kaedah atau cara :

a)Menggilap cermin tersebut dengan cara membersihkan dan menghilangkan kekotoran yang melekat di permukaannya
b)Mengarahkan cermin tersebut ke arah benda yang ingin kita pantulkan bayangannya. 

Kaitan dengan Jiwa Manusia





Jiwa itulah umpama cermin tadi yang perlu digilap dan disucikan agar memantulkan kebenaran dan kesempurnaan sehingga membezakan antara jiwa manusia dan jiwa binatang. Jiwa yang kotor dan berdebu mana mungkin dapat memantulkan kebenaran seumpama jiwa yang dimiliki haiwan  . Apatah lagi  amal perbuatannya sentiasa bergelumang dengan dosa, sudah tentu hatinya  menjadi hitam pekat dan mati  umpama cermin yang berselaput debu yang  tebal yang tidak akan memantulkan bayangan dan tidak lagi  berfungsi atau telah rosak.




Rumusan

Beramal adalah menundukkan kekuatan hawa nafsu dan memalingkan jiwanya dari menuju darjat ketuhanan yang tertinggi serta menjauhkannya dari segala  sesuatu yang membinasakan jiwa  dari menjadi rosak.Sebagaimana manusia itu yang sentiasa berusaha mencari rezeki untuk kesinambungan hidup, begitulah juga amal kita yang memerlukan mujahadah dan pengorbanan untuk menempa kesucian  jiwa bagi kesinambungan kehambaan kita kepada Ilahi.

Rasulullah saw bersabda : "  بني الدين علي النظافة "  yang bermaksud "Agama itu dibangun di atas kesucian".

والسلام

TERHAPUSNYA AMALAN SEDEKAH


 Setiap hari kehidupan kita tidak lari dari amalan bersedekah sama ada secara langsung dan tidak langsung. Banyak contoh-contoh sedekah yang telah saya terangkan pada artikel sebelum ini  yang bertajuk Amalan Manusia Dan Keadilan Allah.
Di sini saya menyenaraikan banyak lagi contoh-contoh amalan sedekah iaitu :

1.Berbakti kepada kedua ibu bapa. 
2.Menghormati serta memuliakan guru
3.Membantu orang buta  melintas jalan
4.Senyum dan berwajah ceria sesama Islam
5.Menolong rakan dalam pelajaran atau dalam kesusahan

Walaubagaimanapun ketika melaksanakan amalan sedekah ini  . kita tidak boleh meninggalkan adab-adab ketika bersedekah iaitu:

a)Bersedekah dengan ikhlas kerana Allah
b)Bersedekah dari sumber yang terbaik dan halal
c)Menyembunyikan pemberian dari pengetahuan orang ramai
d)Menunjukkan muka yang manis ketika menghulurkan sedekah itu
e)Tidak riya', menunjuk-nunjuk dan bermegah dengan banyaknya sedekah yang diberikan
f) Tidak mengungkit semula sedekah yang telah diberikan dan memperlekehkan orang yang menerima sedekah

Apa yang hendak ditekannkan di sini ialah, jika salah satu adab di atas tidak dijaga atau  tidak melakukan  semua perkara di atas, sudah tentu amalan sedekah kita akan terhapus umpama debu berterbangan dan amalan yang kita lakukan itu menjadi sia-sia!!

Oleh itu  di sini saya sengaja tidak menyatakan kelebihan , kesan dan hikmah amalan sedekah yang terlalu banyak untuk diceritakan di sini kerana saya percaya ramai yang mengetahuinya. Oleh itu lihatlah dahulu adakah semasa kita melakukan amalan sedekah , adab-adabya dijaga bagi mengelakkan terhapusnya amalan tersebut begitu sahaja!!

AWAS!!!!!

AMALAN MANUSIA DAN KEADILAN ALLAH


Kebanyakan kita ramai yang tahu akan 3 amalan yang tidak akan terputus setelah kita meninggal dunia.
3 perkara itu ialah :
  1.            Ilmu yang dimenfaatkan
  2.      Amal  Jariah
  3.           .Doa anak yang soleh
Cuma di sini saya hendak mengaitkannya dengan sifat Allah yang MAHA ADIL…….

Kepentingan Ilmu dan Anak Yang Soleh

Ilmu pengetahuan diciptakan oleh Allah untuk menyempurnakan ibadah  dan sabagai  cahaya kehidupan.Ilmu pengetahuan yang berguna pastinya untuk mendekatkan diri kepada Allah.  
Siapakah  golongan yang terlibat bagi amalan pertama di atas?
Senarainya dinyatakan di bawah ini berdasarkan hadis Riwayat Imam Malik:

a) Guru
b) Pelajar
c) Pendengar ilmu
d) Orang yang cintakan ilmu

Dengan sifat Allah yang Maha Adil, kita boleh tergolong dalam mana-mana 4 golongan di atas. Jika tidak pun kita bukan seorang guru , kita tentunya menjadi seorang pelajar , atau pendengar ilmu atau paling tidak pun kita cintakan ilmu itu. Namun janganlah kita jadi golongan yang kelima (selain dari di atas ), maka apa lagi amal jariah hendak kita bawa selepas mati nanti???


Anak yang soleh pula adalah harta yang tidak ternilai di dunia mengalahkan semua jenis harta benda.Beruntunglah mereka yang memiliki anak yang soleh. Didikan dan ilmu yang dicurahkan kepada anak-anak perlu disemai dari kecil lagi.Maka doa anak yang solehlah yang kita perlukan. Bukan harta yang mendoakan kita di alam barzakh nanti.

Bagaimana pula bagi pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan zuriat? Siapakah yang dapat membantu mereka  selepas mati nanti?
Allah Maha Pengasih dan Maha Adil kepada hamba-Nya. Mereka  masih berpeluang beramal untuk membantunya di akhirat kelak.

Lihat  pula tentang amal jariahnya…..

Mudahnya bersedekah

Amalan ini tidaklah ditujukan khas untuk orang kaya dan hartawan yang memiliki segunung emas. Tidak adil Allah itu kiranya orang kaya sahaja yang dapat bersedekah.Orang miskin juga dapat bersedekah  kerana selain dari  bersedekah wang dan harta, ada amalan lain yang juga dianggap sedekah .

Mari lihat senarai amalan sedekah  di bawah ini :

a)Berjalan kaki menuju ke masjid
b)Mengeluarkan perkataan yang baik seperti nasihat dan kata perangsang
c)Menegakkan keadilan dan mendamaikan antara dua orang yang berbalah
d)Membuang benda yang menyakiti atau menghalang  di jalanan seperti membuang batu atau kayu
e)Membantu orang lain menaiki kenderaan seperti mendahulukan orang tua atau wanita yang mengandung.
f)Senyum dan mengucapkan perkataan yang baik seperti memberi  salam,berdoa, berselawat dan berzikir.

Semua  perkara dan situasi  di atas  sentiasa melingkari   kehidupan kita  seharian  sama ada secara langsung atau tidak langsung. Walaubagaimanapun semua amalan di atas akan terhapus jika tiada keikhlasan. Pastinya  ikhlas  itu  syarat  utama  sedekah!!!

Nah,Siapakah Yang Maha Adil pada kita semua yang bernama manusia ???

ADAB MENYAMBUT HARI RAYA

 
Perkara yang patut dilakukan semasa menyambut perayaan (Aidil Fitri dan Aidil Adha)ialah:


- Disunatkan mandi dengan niat mandi sunat Aidil Fitri untuk raya puasa dan mandi sunat Aidil Adha untuk raya korban.


- Pakai pakaian yang terbaik yang mengikut syariat (tidak semestinya yang baru). Baginda s.a.w ada mempunyai pakaian yang dipakai khusus untuk hari raya.


- Pakai wangi-wangian (atar)


- Bersiwak (menggunakan miswak)


- Disunatkan makan dahulu sebelum pergi solah sunat Aidil Fitri, tetapi untuk Aidil Adha disunatkan makan selepas solah. Baginda s.a.w makan kurma dalam bilangan yang ganjil sebelum pergi solah sunat Aidil Fitri.


- Banyakkan ucapan takbir.


- Pergi untuk solah dengan berjalan kaki dan sepanjang perjalanan ucapkan takbir dengan suara perlahan bagi Aidil Fitri dan suara yang kuat bagi Aidil Adha.


- Solah sunat Aidil Fitri & Aidil Adha diadakan di lapangan/padang. Boleh juga dilakukan di masjid.


- Solah sunat Aidil Fitri dilewatkan sedikit (sekira-kira waktu dhuha) dan solah sunat Aidil Adha diawalkan sedikit (sekira-kira waktu isyrak).


- Tidak ada adzan dan iqamah untuk solah sunat hari raya.


- Selesai solah akan disampaikan 2 khutbah.


- Tidak disunatkan bersalaman atau berpelukan selepas selesai solah, cuma dibolehkan untuk mengucapkan “Eid Mubarak” sesama jemaah.


- Pulang ke rumah melalui jalan yang berlainan.


- Banyakkan sedekah kepada kaum kerabat dan fakir miskin.


Demikianlah secara ringkasnya amalan yang dianjurkan oleh ulamak berpandukan kepada sunnah Baginda s.a.w dalam menyambut Aidil Fitri dan Aidil Adha. Selain daripada amalan yang disebutkan di atas, maka itu adalah amalan tradisi masyarakat semata-mata. Ia bergantung kepada kekuatan iman masing-masing untuk terus mengamalkan adat tersebut atau meninggalkannya secara beransur-ansur. Mudah-mudahan Allah s.w.t mengurniakan kita kekuatan dan hidayahNya untuk mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w secara istiqomah dalam kehidupan kita selamanya.Amin.

Wallahua’lam.

Selamat Hari Raya semua.Semoga Aidilfitri kali ini memberi erti dan penuh makna dalam hidup sahabat-sahabat sekalian.  

SERUANKU



Dalam keghairahan dan keterujaan melayari teknologi ciptaan insani yang dicipta pula oleh Allah swt,janganlah kita leka dan alpa dengan penipuan dunia yang sementara ini sehingga kita lupa dengan alam akhirat yang kekal abadi.

Apalah kenikmatan di sini melebihi kenikmatan di sana yang tidak dapat digambarkan betapa indahnya.Perbandingan di sini ialah masa di dunia dan masa di akhirat yang tidak diciptakan oleh Allah.

Allah menggambarkan di syurga nanti ahlinya akan sentiasa muda dan tidak sakit kerana tidak terikat dengan waktu dan usia.

Masakan digambarkan dalam Al-quran itu bahawa kehidupan di sana adalah beratus ribu tahun dibandingkan hanya beberapa tahun di dunia yang hanya sesingkat cuma.Janji Allah tidak pernah bohong.....

MAN JADDA WAJADA



Akhirnya aku berjaya membuat blogku sendiri.berkat kesungguhan dan tidak berputus asa..aku dapat menggunakan teknologi yang kuanggap aku telah ketinggalan...walaupun ia mengambil masa yang panjang , aku pastikan semua tanggungjawabku yang lain disempurnakan terlebih dahulu..

Semoga blog ini akan menjadi medan perjuangan,dakwah,islah dan bertukar fikrah sesama insan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...